KEBIASAANNYA, Madinah dan Mekah di Arab Saudi menjadi tempat utama apabila umat Islam menunaikan umrah tanpa melawat ke tempat-tempat lain.
Walaupun melawat ke Madinah tidak termasuk dalam rukun umrah sebagaimana di Mekah, tetapi tempat berkenaan merupakan kota suci yang terdapat Masjid Rasulullah SAW yang menjanjikan ganjaran solat.
Kerana dua tempat ini menjadi tumpuan, beberapa bandar dan negeri lain agak kurang diberi sambutan lebih-lebih lagi dalam kalangan jemaah Malaysia yang sudah berumur.
Tempat yang kurang mendapat sambutan pula terus disalah anggap sebagai tempat terkutuk dan tidak boleh dilawati – contohnya Kota Al Ula.
Secara asasnya kota yang terletak di wilayah Hijaz ini menjadi kontroversi kerana dikaitkan sebagai kota yang dilaknat Allah SWT iaitu Madain Saleh
Ini disebabkan keegoaan kaum Tsamud yang enggan menyembah Allah SWT sehingga dihancurkan ketika zaman Nabi Saleh AS.

Bagaimanapun, hakikatnya kota tersebut boleh dilawati lebih-lebih lagi untuk mengambil iktibar terhadap apa yang pernah menimpa kaum Tsamud satu ketika dahulu.
Malah, saya sendiri seronok apabila melihat ada jemaah dan rakyat Malaysia yang berpeluang ke Al-Ula walaupun tidak berkesempatan melawat ketika mengerjakan haji baru-baru ini.
Selain berpeluang melihat kecantikan dan suasana di kota berkenaan, seronok itu juga disebabkan saya tahu ia merupakan salah satu lokasi kejohanan kuda lasak terbaik di dunia iaitu Piala Fursan.
Perkara tersebut turut diakui dan dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Nuh Travel and Tours, Abdul Halim Aliumar semasa bertemu dengannya sebelum ini.

Menurutnya, terdapat kekeliruan antara Kota Al Ula dan Madain Saleh atau dikenali sebagai Hegra disebabkan kedudukannya yang terletak berhampiran antara satu sama lain.
“Jarak antara Al Ula dan Madain Saleh berdekatan iaitu antara 25 sehingga 30 kilometer (km). Larangan Nabi Muhammad SAW untuk ke Madain Saleh bukan bersifat haram mutlak sebagaimana zina, minum arak dan lain-lain.
“Jadi pergi ke Al-Ula untuk mengambil iktibar dengan apa yang telah menimpa kaum berkenaan tidak menjadi masalah,”katanya kepada Redah baru-baru ini.
Menurut Abdul Halim, Al-Ula cukup terkenal dengan keindahan gurun yang menakjubkan serta formasi geologi unik seperti The Elephant Rock dan pelbagai laman alam semulajadi yang memukau.
“Bandar ini semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan kerajaan Arab Saudi juga mengambil pelbagai inisiatif untuk mempromosikan pelancongan ke wilayah ini dengan menjaga warisan sejarah serta budayanya yang berharga,” jelasnya.

Selain Al-Ula, Abdul Halim berkata, jemaah umrah dan rakyat Malaysia juga perlu melawat Badar, iaitu tempat peperangan pertama dalam sejarah Islam.
“Terdapat satu tempat di Badar yang dinamakan sebagai Jabal Malaikah kerana di sini turunnya 1,000 malaikat yang datang membantu kaum muslimin semasa Perang Badar.
“Malaikat turun membantu selepas Rasulullah berdoa kepada Allah SWT untuk memohon pertolongan,” jelasnya.
Menurut Abdul Halim, jemaah yang menunaikan umrah pada masa sama perlu menggunakan peluang untuk melawat Taif dan Jeddah bagi mengenali Arab Saudi lebih dekat.
“Taif merupakan bandar bersejarah. Nabi Ibrahim AS pernah berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan Mekah dengan sumber rezeki terutama buah-buahan. Dan Taif memperoleh keberkatan tanah yang subuh dan digelar Kebun Kota Mekah satu ketika dahulu.
“Jeddah pula ada beberapa tempat menarik seperti Masjid Terapung; Jeddah Waterfront dan Pancuran Raja Fahd,” jelasnya.
Bagaimanapun, saya tertanya-tanya berapa lama tempoh ideal jemaah yang melaksanakan umrah dan melawat tempat-tempat berkenaan? Adakah sempat untuk beribadat dalam masa yang sama?
Menurut Abdul Halim, semua termpat berkenaan boleh dilawati dalam tempoh 10 hari lapan malam bersekali dengan melakukan ibadah umrah.










