SEMUA pelari denai dapat merasai keunikan, kesukaran, kesengsaraan dan kenikmatan dalam satu-satu penganjuran acara larian ini, tidak terkecuali Muallim
Apabila bercakap mengenai topik larian denai juga, sudah semestinya ia akan terkait dengan satu-satu tempat penganjuran seperti daya tarikan, tahap kecerunan dan kecantikan di sepanjang laluan.
Ada banyak daya penariknya tersendiri.

Ia hal keseronokan yang hanya boleh dirasai bagi mereka yang telah melaluinya sendiri tanpa mengira tempat sama ada di Cameron Highlands, Taiping, Merapoh atau Kemensah.
Tidak terkecuali penganjuran acara larian denai di Muallim, iaitu sebuah daerah yang terletak tidak berapa jauh dari ibu kota.
Walaupun Muallim masih belum cukup dikenali sebagaimana destinasi lain yang popular bagi aktiviti percutian berkonsepkan running (berlari) dan vacation (bercuti) atau singkatannya runcation, ada sebab mengapa ia dipilih.
Malah, cabarannya juga berbeza berbanding di tempat lain. Kelebihan ini dapat dilihat dan dirasai semua pelari denai semasa menyertai acara Muallim Cross Country Run 2024 (MCCR2024) baru-baru ini.
Hampir segenap ceruk di Muallim ada pelari denai meliputi empat kategori iaitu 50 kilometer (km);25km;10km-trail dan 5km Fun Road.
Apabila melihat kehadiran pelari-pelari denai ‘berkampung’ di sini, banyak perkara yang sangat penting perlu dibangkitkan tentang potensi Mualim sebagai destinasi eko pelancongan terutama menjelang tahun melawat Malaysia 2026 nanti.
Jika tidak, Muallim kekal sebagai sebuah daerah yang hanya popular dalam perindustrian automotif sahaja.
POTENSI MUALLIM

TETAMU jemputan mengibarkan bendera sebelum majlis pelepasan .Dengan penyertaan 1,400 peserta tempatan dan antarabangsa, ia semestinya memberikan impak besar kepada daerah yang meliputi tiga mukim iaitu Slim, Ulu Bernam Barat dan Ulu Bernam Timur.
Pulangan hasil pasti dinikmati penduduk setempat di kawasan yang berkeluasan 93,434.65 hektar dan bukan hanya kepada negara semata-mata dengan jumlah peserta sebanyak itu.
Kawasan tapak perkhemahan, perindustrian kecil dan sederhana (PKS) atau sektor pertanian mampu berkembang.
Paling menarik, acara seperti MCCR2024 ini dapat membawa peserta dan ahli keluarga mereka melihat kecantikan kawasan hidden gems (kawasan tersembunyi) yang ada di Muallim.
Peserta MCCR 2024 juga dapat menikmati kelainan dan keunikan daerah ini yang mungkin tidak dapat disaksikan orang lain lebih-lebih lagi Muallim bukanlah sebagaimana destinasi pelancongan lain.
Sebagai contoh laluan denai ke Bukit Perangin berketinggian 571 meter dan meredah kedinginan air terjun Lata Perangin sudah cukup untuk ‘mengangkat’ daerah ini sebagai lokasi pelancongan pada masa akan datang.
Peserta secara tidak langsung dapat menerokai kawasan lain yang boleh dijadikan tempat healing untuk bersama keluarga untuk trip lain pada masa akan datang.
Itu belum lagi laluan lain yang ada sebahagiannya tidak dilalui peserta dalam acara ini dengan banyak kemungkinan lain seperti menduga bentuk muka bumi yang menyajikan cabaran terhadap ketahanan mental serta fizikal peserta.
Hakikatnya, sukar untuk menceritakan tahap cabaran laluan denai yang perlu ditempuhi peserta kerana ia bergantung kepada ketahanan individu
Dalam pada itu, acara ini diadakan dengan kerjasama Majlis Daerah Tanjong Malim, Perak (MDTM) dan rakan penganjur, Kelab Sukan Kecergasan Absolute Wellness yang bertindak sebagai urusetia teknikal penganjuran MCCR2024.
Program yang merupakan kali keempat diadakan bagi mempromosikan daerah Muallim sebagai pusat kegiatan aktiviti bersifat lasak dan semulajadi yang mempunyai tarikan dan keunikannya yang tersendiri
Secara asasnya ada beberapa perkara lain yang mungkin boleh ditambah baik pada masa akan datang demi menarik lebih ramai peserta dan dalam masa yang sama mengetengahkan Muallim di peringkat dunia.
Namun, saya faham ia pastinya mengambil masa dengan usaha yang perlu dipertingkatkan lagi pada masa hadapan. – UTUSAN










