IPOH bukan bandar biasa-biasa. Tercatat banyak sejarah di bandar Ipoh selain beberapa bandar berhampiran.
Antara sejarah terpenting di Ipoh adalah berkaitan dengan sejarah penerbitan akhbar.
Sejarah akhbar di Ipoh dikesan seawal tahun 1904 apabila terbitnya The Times of Malaya, akhbar Inggeris harian setebal lapan muka surat. Editornya ialah J.A.S. Jennings.
Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, pejabat asal akhbar ini terletak di berhadapan Pejabat Pos Ipoh dan kemudiannya berpindah ke Brewster Road.
Katanya, selepas kematian Jennings, akhbar ini merosot dan akhirnya bergabung dengan akhbar Straits Echo.

“Selain itu, terdapat akhbar Inggeris lain seperti Malay Daily Chronicle pada tahun 1911, Malayan Observer pada tahun 1922 dan Malayan Tribute pada tahun 1935.
“Ipoh juga menjadi pusat percetakan akhbar dan kewartawanan Melayu bermula dengan terbitnya Panduan Truna oleh Percetakan Matba’ah Ar-Rahmaniah pada tahun 1930. Majalah mingguan ini diselenggara oleh Ahmad Nawawi bin Ali Basha,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Kata Nor Hisham lagi, percetakan ini seterusnya menerbitkan Sinar Malaya yang diselenggara oleh Ahmad Noor Abdul Shukor pada Julai 1931, sekali gus menjadi akhbar bulanan pertama Melayu menggunakan huruf Roman.
Ahmad Noor, perintis kewartawanan Melayu Ipoh
Dalam pada itu, menurut Nor Hisham ,Ahmad Noor atau nama asalnya Halaloedin Hamzah merupakan seorang Mandailing dari Sumatera.
Jelasnya, beliau berhijrah ke Pulau Pinang lalu bekerja di Saudara dan menulis untuk akhbar Sinar Malaya.
“Dia seterusnya membuka kedai jahit (digelar Bilik Biru) di Lam Looking Bazaar pada tahun 1931. Di sinilah, dia menjadi mentor kepada Ahmad Boestamam.
“Pada tahun 1937, Ahmad Noor bersama Ahmad Boestamam menerbitkan Warta Perak. Akhbar ini dijual setiap 10 hari sekali dengan harga 6 sen. Ia dicetak di Persama Press Pulau Pinang dan dihantar melalui keretapi ke Ipoh,”ujarnya.
Pada tahun 1937, Ahmad Noor menjadi korespoden kepada akhbar Warta Malaya, Saudara dan Majlis.
Warta Kinta, Akhbar Harian Melayu Termurah
Sementara itu, kata Nor Nor Hisham, pada Disember 1937, akhbar terkenal Jawi iaitu Warta Kinta telah diterbitkan di Jalan Datoh, Ipoh.
Menurut Nor Hisham, Raja Mansor menjadi pengurus dan editor akhbar ini pada ketika itu.
“Beliau antara individu penting. Dengan harga lima sen, akhbar ini amat popular di utara Malaya.

“Selepas Raja Mansor meninggalkan Warta Kinta pada Mei 1938, percetakan akhbar ini diteruskan oleh Abdul Rahman Rahim iaitu seorang jurnalis dan pelarian politik dari Medan, Indonesia. Dia juga menjadi editor kepada Warta Perak dan kolumis Utusan Melayu.
“Pada November 1940, Abdul Rahman membawa Ahmad Noor ke Warta Kinta. Atas kewibawaannya, Ahmad Noor menerajui Warta Kinta pada tahun 1941 sebelum ditahan bersama nasionalis Melayu lain di Penjara Changi oleh British,” katanya.
Zaman Pendudukan Jepun
Sementara itu, Nor Hisham berkata, apabila Jepun menawan Malaya pada tahun 1942, Ahmad Noor dibebaskan dan meneruskan dunia kewartawanannya di Ipoh.
“Dia bersama A. Talib bekerja di akhbar Jepun iaitu Cahaya Timur yang dinamakan semula Berita Perak pada tahun 1943. Ahmad Boestamam turut bekerja di Berita Perak untuk beberapa bulan.
Akhbar Berita Perak ini bersama Perak Shimbun beroperasi di premis terletak tidak jauh persimpangan Brewster Road dan Anderson Road,” katanya.
Jelas Nor Hisham lagi, apabila Jepun kalah pada tahun 1945, Ahmad Boestamam mengambil kesempatan menggunakan peralatan percetakan Perak Shimbun untuk menerbitkan dua akhbar harian Suara Rakyat dan Voice of the People. –UTUSAN










