Gertak Gantung Sungai Nal saksi pertempuran Jepun, British

Gertak Gantung Sungai Nal saksi pertempuran Jepun, British

Jambatan Sultan Ismail yang dikenali sebagai Gertak Gantung Sungai Nal kini terbiar usang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU setiap binaan lama yang tinggi nilai sejarahnya dijaga rapi, tidak mustahil Malaysia diangkat sebagai salah sebuah negara yang mempunyai banyak produk pelancongan berasaskan histourism (pelancongan sejarah) seperti Gertak Gantung Sungai Nal.

Setiap tempat ada kisah yang belum dirungkai dan diceritakan sepenuhnya kepada umum termasuk Jambatan Sultan Ismail atau dikenali sebagai Gertak Gantung Sungai Nal.

Hanya segelintir pihak sahaja mengetahui sejarah yang tersimpan pada jambatan yang terletak di laluan antara Kuala Krai dan Kota Bharu, Kelantan.

Secara asasnya, jambatan ini merentasi Sungai Nal dan menghubungkan jalan dari Kuala Krai ke Machang ini dibina kerajaan Kelantan pada ketika itu selepas dirasmikan oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Muhammad IV pada 19 April 1932.

Strukturnya menggunakan bahan yang terdiri daripada simen sebanyak 50 peratus; 40 peratus besi dan 10 peratus kayu dengan panjang 21 meter.

Fungsi utamanya pada ketika itu sudah semestinya untuk menjadi nadi pengangkutan darat antara beberapa kawasan termasuk dari Kuala Krai ke Kota Bharu.

Selain itu, jambatan ini mempunyai signifikan tersendiri kepada Kuala Krai yang merupakan bandar kedua termaju selepas Kota Bharu pada ketika itu.

Bagaimanapun, jambatan usang yang diibaratkan retak menanti belah itu tidak lagi digunakan sejak tahun 1986 – terbiar begitu sahaja tanpa ada usaha pemulihan selama lebih 30 tahun.

Walhal jambatan ini bukan sekadar jambatan biasa kerana tercatat sejarah semasa zaman pendudukan Jepun dahulu iaitu ketika era Perang Dunia Kedua.

Malah, ia pernah menjadi lokasi dan saksi pertempuran antara tentera Jepun dan British di Kuala Krai.
Mingguan Malaysia turut difahamkan jambatan ini telah diletupkan bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke Kuala Krai.

Timbalan Presiden Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHGSoc), Nor Hisham Zulkifle memberitahu, tentera Jepun mendarat dan menawan Kota Bharu pada 8 Disember 1941, sebelum mara serta mengejar tentera British pimpinan Brigedier Key tanpa henti.

“Pada 12 Disember 1941, arahan pemerintah tertinggi tentera British dikeluarkan agar semua tentera British berundur ke Kuala Krai.

“Pertempuran antara tentera British dan Jepun berlaku di jambatan gantung ini pada pagi 15 Disember 1941.

“Tentera Jepun kira-kira 200 orang menyusup di belakang pertahanan tentera British ke arah jambatan ini. Dua kompeni tentera British dari pasukan 2/10th Baluch Regiment ditugaskan mempertahankan kawasan ini,” ceritanya.

Katanya lagi, keesokan harinya pada 16 Disember pukul 8 pagi, unit sapper (jurutera) berjaya meletupkan Jambatan Sultan Ismail ini.

“Menurut sumber, sebanyak lapan kali percubaan dilakukan tidak berjaya kerana bahan letupan yang digunakan sudah 20 tahun disimpan,” jelasnya.

Tambah Nor Hisham, ketika tentera British berundur, askar yang terdiri daripada anak tempatan diarah menjadi unit kawalan belakang bagi memastikan pengunduran lancar.

“Satu pasukan kawalan belakang yang dikenali sebagai Mcforce terdiri daripada anak watan yang merupakan pasukan tentera sukarelawan Kelantan, Pahang, Perak dan Kompeni A Batalion Kedua Askar Melayu ditubuhkan.

“Ia bagi mengawasi segala pengunduran dari Kuala Krai dan memastikan jambatan-jambatan termasuk Jambatan Gantung ini sukar dibaiki oleh tentera Jepun,” katanya.

Justeru, dengan adanya sejarah di jambatan berkenaan yang masih kekal utuh, diharapkan ia kekal terpelihara untuk tatapan warisan generasi akan datang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN