Tinggalan sejarah elektrik negara di Kampar

Tinggalan sejarah elektrik negara di Kampar

TINGGALAN bangunan stesen janakuasa SEK yang dibina pada 1907.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU dibandingkan dengan daerah lain di Perak, Kampar tidaklah begitu dikenali sebagaimana Taiping, Ipoh atau Kuala Kangsar.

Malah populariti beberapa daerah berhampiran yang agak terkenal tidak terkena tempiasnya sehingga ke Kampar.

 

Namun, sejarah dan peranan Kampar tidak boleh diperkecilkan kerana daerah ini sebenarnya terkenal dengan warisan serta tinggalan elektrik negara.

Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, sejarah elektrik di pekan Kampar bermula apabila syarikat perlombongan Perancis Societe des Etains de Kinta (SEK) mula membina stesen janakuasa hidro elektrik pertama di Kampar pada tahun 1906 dan siap sepenuhnya setahun kemudian.

“Menurut maklumat Portal Kedutaan Perancis, stesen janakuasa ini adalah yang pertama di Malaysia dengan kemampuan menghasilkan tenaga elektrik kira-kira 500 kuasa kuda untuk dibekalkan kepada industri perlombongan bijih timah di Kampar dan Temoh.

“Kewujudan stesen ini juga memberikan manfaat kepada masyarakat setempat apabila Kampar menerima bekalan tenaga elektrik mendahului Ipoh,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Bagaimanapun Nor Hisham berkata, pada 1985, SEK menamatkan operasinya dan stesen tersebut mungkin ditinggalkan sejak itu.

Selain itu katanya, Kampar juga memiliki sejarah yang rapat dengan syarikat Perak River Hdyro Electric Company yang ditubuhkan pada 1926.

“Syarikat ini membina stesen janakuasa di Malim Nawar pada 1926 dan siap pada 1927.

“Stesen ini membekalkan kuasa elektrik bukan sahaja kepada industri perlombongan bijih timah di Lembah Kinta tetapi bekalan elektrik kepada penduduk di Perak,”jelasnya.

Tambah Nor Hisham, untuk menguruskan pembekalan tenaga elektrik kepada penduduk, Perak Hdyro menubuhkan anak syarikatnya iaitu Kinta Electrical Distribution Company (KED) pada 1928.

“Buktinya, terdapat lima bangunan banglo dibina di utara pinggir Kampar. Malangnya, baru-baru ini salah satu banglo KED ini telah dirobohkan.

“Semasa Perang Dunia Kedua, kawasan banglo ini pernah dijadikan pertahanan tentera British dalam Pertempuran Kampar 1941,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, berdasarkan kajian penulis sejarah Muzaffar Tate, Perak Hydro dan KED menjadi penjana serta pembekal elektrik terbesar di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua.

“Pada 1982, kedua-dua syarikat ini diambil alih oleh Lembaga Letrik Negara (LLN) yang seterusnya dijenamakan sebagai Tenaga Nasional Berhad (TNB). Sejak itu, kebanyakan tinggalan sejarah elektrik di Kampar ini ditinggalkan dan terbiar begitu saja.

“Stesen janakuasa Malim Nawar ditutup pada 1986 dan kini dijadikan Pusat Latihan TNB. Stesen janakuasa SEK pula terbiar dalam hutan manakala banglo KED di pinggir Kampar juga terbiar dan ada dirobohkan,” jelasnya.

Nor Hisham pada masa sama berharap agar stesen janakuasa SEK yang berusia lebih 100 tahun dapat dipelihara dan dijadikan sebagai tarikan pelancongan Kampar. – UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×