Perkhemahan santai keluarga dan ruang rehat di pinggir bandar

Dekampungcampsite: Perkhemahan santai keluarga dan ruang rehat di pinggir bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA dahulu aktiviti perkhemahan mungkin hanya melibatkan peralatan paling asas, tetapi kini sudah banyak aksesori dan perkakas untuk perkhemahan muncul di pasaran berikutan permintaan yang tinggi terhadap aktiviti ini.

Daripada situ, timbul konsep dan gabungan glam’ (glamor) serta camping (berkhemah), dengan penyediaan kemudahan khemah yang lebih lengkap untuk pengunjung.

Ini keunikan dan kepuasan kepada rata-rata masyarakat sehingga banyak kemudahan glamping disediakan, untuk santai bersama keluarga.

Antara yang menarik sudah semestinya tapak glamping dekampungcampsite yang terletak di Rawang, Selangor.

Saya sendiri sudah merasai pengalaman bermalam di sini.

Sepanjang pengalaman saya di dekampungcampsite, banyak kemudahan dise­diakan sama ada untuk mereka yang datang dalam satu kumpulan kecil atau kelompok yang ramai,

Tidak keterlaluan kalau saya katakan kemudahan yang ada di sini hampir setaraf lima bintang dan keselesaan bukan hanya untuk golongan dewasa, tetapi untuk kanak-kanak.

Sebagai contoh, setiap khemah di sini boleh memuatkan antara tiga hingga empat orang dengan dilengkapi tiga katil, kipas dan kemudahan alat pengecas telefon.

Bukan itu sahaja, terdapat ruang santai dengan tersedia kerusi dan meja serta berbumbungkan flysheet (atap tenda) pada bahagian tepi kawasan glamping pengunjung.

Selain itu, tandas di sini juga lengkap dan mencukupi untuk kehadiran satu kumpulan yang besar.

Kawasannya juga sangat bersih, cantik dan kemas dengan kedudukannya tidak jauh daripada tapak perkhemahan.

Ketika saya berkunjung ke dekampungcampiste, cuaca sememangnya sejuk ketika waktu malam.

Namun, apa yang menarik banyak aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung sama ada bagi mereka yang berkeluarga atau berkumpulan.

Saya seronok melihat kanak-kanak bermandi-manda di kawasan anak sungai yang selamat untuk mereka dan tidak sederas aliran air terjun di beberapa kawasan perkelahan lain.

Bukan itu sahaja, laluan anak sungai ini boleh diselusuri untuk menikmati keindahan alam sekitar serta mengenali pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan.

Menikmati glamping di sini turut memberi peluang kepada pengunjung menikmati keenakan buah-buahan tempatan seperti durian dan mangga ketika tiba musimnya.

Bagaimanapun, konsep glamping sebagaimana di dekampungcamspite menyebabkan ada segelintir yang terfikir tentang beberapa perkara terutama berkaitan keterbatasan dalam pelbagai aktiviti santai.

Tidak perlu bimbang apabila datang ke sini kerana pengunjung bukan sahaja boleh melakukan aktiviti rentas hutan, tetapi boleh berhibur dengan persembahan live band (perlu ditempah); team building; kolam renang; paint ball dan barbeku.

Sementara itu, menurut pemilik Lee Kah Long, idea pembukaan dekampungcampsite kawasan tercetus sejak penularan wabak Covid-19 dan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Saya terfikir pada masa kita semua tidak boleh bergerak dan adakalanya hanya dalam kawasan sekitar berhampiran sahaja.

 

“Maka daripada situ saya terfikir mengapa tidak untuk membuka sebuah kawasan perkhemahan untuk keluarga beriadah dan menghabiskan masa bersama,” katanya.

Dekampungcampsite terletak di Lot 1065, Jalan Tanjung 3, Kampung Tanjung, Rawang Selangor ini dibuka setiap hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN