Mendekati haiwan di Hoedspruit, Kruger - Utusan Malaysia

Mendekati haiwan di Hoedspruit, Kruger

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI mereka yang suka mengembara, Afrika Selatan mempunyai tarikan tersendiri. Malah negara yang terletak bersempadan Namibia dan Botswana ini sangat terkenal dengan taman negara dan hidupan liar sepertimana dalam rancangan dokumentari National Geographic.
Saya berpeluang mengembara secara solo ke negara ini selama dua minggu di beberapa tempat seperti Johannesburg, Hoedspruit dan Cape Town.
Bagaimanapun, Hoedspruit dan Cape Town antara tempat wajib dilawati lebih-lebih lagi bagi mereka yang mahu menikmati pengalaman safari dengan merancang perjalanan sendiri dari Malaysia.
Ada beberapa tips yang boleh dikongsikan untuk mereka yang mahu bergerak solo atau bersama keluarga terutama bagi yang berhajat ke Taman Negara Kruger.
Pertama sekali, untuk penerbangan, saya menempah tiket dari Kuala Lumpur ke Johannesburg dan Cape Town ke Kuala Lumpur. Johannesburg bukanlah pilihan dan sekadar tempat persinggahan sebelum ke Hoedspruit iaitu bandar kecil yang terletak berhampiran dengan Taman Negara Kruger dan mempunyai banyak tanah rizab perlindungan haiwan sama ada milik kerajaan atau persendirian.
Hoedspruit yang terletak dalam wilayah Limpopo menjadi salah satu destinasi pelancongan eko di Afrika Selatan.
Untuk ke Hoedspruit dari Johannesburg mengambil masa enam jam dari sini dengan menggunakan van shuttle yang beroperasi sekali sehari iaitu setiap pagi.
Bayaran yang dikenakan adalah kira-kira 850 Rand atau bersamaan lebih kurang RM220 sehala (nilai ringgit lebih tinggi berbanding rand iaitu RM1 bersamaan 3.8 Rand). Dalam pada itu, di Hoedspruit ada banyak penginapan ala resort yang boleh disewa pada kadar berpatutan. Cuma ia bergantung kepada pakej kerana ada sebahagian penginapan yang menyediakan pakej beserta trip safari ke rizab perlindungan haiwan liar.

Di samping itu ada juga kawasan rizab perlindungan haiwan liar yang dimiliki syarikat persendirian dan turut dilengkapi kemudahan penginapan (keluasan persekitaran seakan-akan Taman Negara Kruger).
Namun harga yang dikenakan agak tinggi sehingga mencecah lebih RM5,000 semalam.
Satu perkara lagi, kalau di sini, trip safari dipanggil sebagai big five game drive (angka lima merujuk kepada singa, badak sumbu, gajah, harimau bintang dan kerbau liar).
Paling menarik sudah semestinya game drive di Taman Negara Kruger yang terletak lebih kurang sejam dari Hoedspruit. Trip safari di sini bermula lebih kurang RM300 bergantung kepada pakej. Di sini singa dan badak sumbu agak sukar untuk dilihat dan bergantung kepada nasib dalam setiap trip safari (semakin banyak trip semakin tinggi peluang melihat kedua-dua haiwan ini). Namun haiwan lain seperti gajah, zirafah, impala, kudu, African wild dog, dubuk dan warthog mudah dilihat. Adakalanya boleh dilihat di tepi jalan sahaja.
Di sini juga mempunyai pelbagai tarikan lain antaranya santuari gajah Afrika yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat Mamalia ini.
Setiap gajah di sini turut mempunyai penjaganya atau mahut dan dibiarkan bebas di habitat asal sebelum di tempatkan di kandang ketika waktu malam.
Selain santuari gajah, pengunjung juga boleh melawat Jessica The Hippo dan boleh bermesra bersama dua ekor badak air yang dibela pasangan suami isteri di sini sejak tahun 2000 lagi.
Banyak lagi sebenarnya yang mahu saya kongsikan.Itu belum lagi pengalaman bertemu dan mengenali kawan-kawan di sana sehingga ada masanya saya rasa seperti berada di negara sendiri.
Pada saya, Afrika Selatan wajib dijadikan negara destinasi pelancongan bagi rakyat di negara ini dengan segala tarikan yang ada.
Paling penting, negara ini juga mesra Muslim dan mudah untuk mendapatkan makanan halal termasuk di pasar raya. – Mingguan Malaysia

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.