Mengenali Melayu Afrika Selatan di Bo Kaap - Utusan Malaysia

Mengenali Melayu Afrika Selatan di Bo Kaap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOMUNITI Melayu ada di Cape Town, Afrika Selatan. Malah, saya fikir bandar ini perlu dimasukkan dalam senarai tempat wajib bagi destinasi percutian ke luar negara selepas ini terutama sebuah kawasan yang dinamakan Bo Kaap atau Cape Malay.
Ini kerana selain memiliki pemandangan cantik dan berlatar belakang Table Mountain, Cape Town dan Bo Kaap ada sejarah tersendiri yang begitu dekat dengan orang Melayu.
Auranya boleh terasa sewaktu saya menjejakkan kaki ke Bo Kaap baru-baru ini. Saya lihat ramai penduduk di Bo Kaap mempunyai tipikal wajah hampir sama dan berkulit sawo matang seperti saya. Di Afrika Selatan, warna kulit bersawo matang dikenali sebagai coloured, menurut pemandu teksi yang membawa saya.
Takrifan sebenar coloured itu adalah merujuk kepada sesiapa yang bukan kulit putih atau bukan orang asli Afrika semasa pemerintahan dasar Apartheid di laksanakan.
Kelas sesuatu kaum diklasifikasikan mengikut warna kulit sewaktu dasar tersebut berjalan.
Tidak mengapa. Bukan klasifikasi kaum dan dasar tersebut yang saya mahu ceritakan untuk kolum Redah kali ini. Sebaliknya berkenaan Bo Kaap dan komuniti Melayu di sini.
Pada asasnya, kawasan kejiranan penuh berwarna-warni ini sudah menjadi tumpuan kepada pelancong dari pelbagai negara sejak dulu lagi.
Mereka mahu mengetahui sejarah dan budaya masyarakat Melayu dan bukan semata-mata melihat reka bentuk dan warna rumah yang penuh berwarna-warni.
Ketika pertama kali saya jejakkan kaki di sini, saya tertanya-tanya mengapa setiap rumah mempunyai pelbagai warna.
Kata salah seorang penduduk, rumah diwarnakan sebagai simbol kepada pembebasan daripada perhambaan atau tahanan.
Generasi awal yang menetap di situ dibawa dan diasingkan penjajah Inggeris dan Belanda dari Nusantara termasuk Malaysia.
Mereka majoritinya dijadikan sebagai hamba dan merupakan tahanan politik pada satu ketika dahulu.
Jadi tidak hairanlah mengapa Bo Kaap boleh dikatakan serumpun.
Malah, saya teringat ada satu ketika sewaktu saya menyewa skuter di sebuah kedai di Bo Kaap, pemilik kedai yang merupakan lelaki mat salih terus berkata sesuatu kepada saya apabila mengetahui saya dari Malaysia.
“Awak dan Bo Kaap saling berkait. Tidak mustahil dalam kalangan mereka ada tali perhubungan dengan awak,” katanya lelaki tersebut.
Saya cuba mencari kalau-kalau ada penduduk yang masih mengamalkan cara hidup sebagaimana Melayu di Malaysia namun tiada. Mungkin disebabkan kesuntukan masa untuk saya terus berada lama di situ untuk saya berusaha mencari individu penting yang boleh menunjukkan segalanya tentang Bo Kaap.
Tidak mengapa. Saya kongsikan sedikit sebanyak tips untuk mereka yang berhajat melawat Bo Kaap dan mengenali Melayu di sini lebih dekat.
Di sini anda boleh mengikut pakej yang disediakan pemandu pelancong atau boleh sahaja berkunjung ke beberapa masjid serta bertemu penduduk setempat bagi mendapatkan maklumat.
Satu perkara perlu diingat, Bo Kaap agak besar dan adalah lebih baik menaiki kenderaan kalau mahu melihat keseluruhan kawasan ini.
Untuk mereka yang mengembara solo, kawasan ini sangat selamat dan terdapat muzium di Bo Kaap yang menceritakan segala sejarah berkenaan kawasan kejiranan ini.
Di samping itu, terdapat beberapa restoran halal yang mempunyai cita rasa Timur Tengah. Mungkin sesuai untuk mereka yang rindukan nasi briyani apabila tiba di sana nanti.
Selain melihat dan mengenali kehidupan Melayu Afrika Selatan, anda juga boleh melihat festival muzik yang diadakan sempena memperingati pembebasan hamba.
Saya difahamkan festival ini diadakan setiap kali musim panas dan mereka berhimpun di Bo Kaap serta beberapa jalan utama di sekitar Cape Town pada hari tertentu bagi meraikan pembebasan sebagai hamba.
Walaupun komuniti Melayu di negara kita tidak mempunyai festival (selain hari raya), boleh dikatakan Bo Kaap dan orang Melayu di negara ini sangat dekat.
Mungkin sudah tiba masanya orang kita diberi pendedahan lebih lagi tentang sejarah kehidupan dan budaya Melayu di Bo Kaap satu masa nanti dan menjadikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan terbaik selain Eropah. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya