Gigi putih bersih, tidak berlubang atau sakit tetapi mengapa ia bergoyang? Tidak ramai yang sedar gigi yang nampak elok dan sihat boleh terancam jika kesihatan gusi diabaikan. Agak mengejutkan data Kementerian
Kesihatan menunjukkan seramai 94.5 peratus orang dewasa di negara ini yang mendapatkan rawatan gigi di klinik pergigian, mengalami gusi yang tidak sihat.
Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian, Dr. Noormi Othman yang menjelaskan bahawa penyakit gusi yang dihadapi dalam kalangan rakyat Malaysia adalah serius.
“ Ia kerap berlaku dalam kalangan orang dewasa di negara ini yang berumur 35 hingga 44 tahun, dengan seramai 96 peratus dewasa menghadapi cabaran kesihatan berkaitan gusi,” kata Dr. Noormi pada kempen kesihatan gusi #GumHealthFirst yang dianjurkan Systema baru-baru ini sempena Hari Gusi Sedunia pada 12 Mei lalu.
Kempen itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Periodontologi Malaysia (MSP) Kementerian Kesihatan.
Turut hadir, Pengarah Urusan Southern Lion, Tomotaka Oka, Presiden MSP dan Dr. Mohd. Faizal Hafez Hidayat.
Dr. Noormi berkata, gusi adalah komponen penting dalam kesihatan mulut dan kesejahteraan umum.
Penyakit gusi adalah ancaman senyap namun berlaku secara meluas dan berakar umbi dalam masyarakat kita. Implikasinya sangat mendalam, bukan melangkaui kesihatan mulut sahaja.
“Ramai di antara kita mungkin tidak menyedari peranan gusi dalam membantu kita kekal sihat.
“Hakikatnya, gusi bukan sahaja menjadi penjaga pintu terhadap bakteria dan jangkitan di dalam mulut tetapi juga memberikan sokongan penting kepada gigi kita,” katanya.
Jejas organ penting
Dr. Mohd. Faizal Hafez pula menjelaskan, ramai tidak sedar risiko lebih serius yang boleh menjejaskan kesihatan akibat tidak menjaga gusi.
“Bukan itu sahaja, gusi yang tidak dirawat boleh menyebabkan keadaan kesihatan yang serius seperti osteoporosis, penyakit kardiovaskular, masalah pernafasan, strok dan diabetes. Ini menunjukkan betapa pentingnya kesihatan mulut untuk kesejahteraan keseluruhan diri kita.
“Kuman dalam gusi yang bengkak dan luka, boleh memasuki badan melalui salur darah dan pergi ke organ seperti jantung. Secara tidak langsung boleh memburukkan jantung bermasalah atau mencetuskan penyakit berkaitan jantung,” katanya.
Punca penyakit gusi
Punca utama penyakit gusi adalah bakteria yang terdapat di dalam mulut dan sisa makanan di celah gigi.

“Kalau ada kotoran melekat, anda perlu memberus dan sental gigi serta bersihkan gusi.
“Bakteria datang daripada makanan terutama makanan bergula dan minuman manis. Walaupun kita berus gigi selepas makan atau minum, ia akan datang semula. Itu sebab kita kena berus gigi setiap kali selepas makan,” katanya.
Dr. Mohd. Faizal Hafez berkata, penyakit gusi biasanya tidak menyebabkan kesakitan dan penghidapnya tidak menyedari gusi mereka bermasalah.
Penyakit gusi hanya disedari apabila gigi mula bergoyang, berdarah ketika memberus gigi dan sensitif kepada minuman sejuk atau panas.
“Gusi yang sihat akan kelihatan merah jambu. Sebaliknya, gusi bermasalah akan nampak merah, berdarah dan lama-kelamaan akan ‘memakan’ tulang yang memegang gigi seterusnya menyebabkan gigi bergoyang,” katanya.
Rawatan
Penyakit gusi terbahagi kepada empat tahap iaitu tahap satu, gingivitis, periodontitis ringan, periodontitis sederhana dan periodontitis lanjutan.
Gingivitis berlaku apabila plak berkumpul pada permukaan gigi dan menyebabkan gusi dan gigi meradang dan menjadi lebih sensitif.
Tahap kedua adalah periodontitis ringan di mana terdapat ruang antara gigi dan pembentukan poket pada gusi untuk pembiakan bakteria. Pada tahap ini sebaiknya elakkan makanan yang mudah melekat pada gigi seperti daging.
Tahap ketiga pula adalah eriodontitis sederhana di mana gusi lemah dan senang berdarah, gusi menyusut dan gigi kelihatan memanjang.
Dalam peringkat ini, berhati-hati apabila menggigit epal atau mengunyah makanan kerana gusi senang berdarah.
Tahap akhir atau periodontitis lanjutan, tulang gigi merosot, gigi mereput dan perlu dicabut. Anda hanya boleh makan makanan yang lembut supaya tidak memburukkan lagi keadaan penyakit pada gusi.
Dr. Mohd Faizal Hafez berkata, pemeriksaan gusi perlu dilakukan apabila mengalami petanda penyakit gusi seperti berdarah ketika menggosok gigi, gusi kemerahan, ulser atau gigi sensitif.
“Sekiranya penyakit gusi berlaku akibat gingivitis, doktor akan menasihatkan cara-cara menjaga kebersihan gigi yang optimum. Gingivitis berlaku apabila plak berkumpul dan menyebabkan radang gusi dan rasa sensitif.
“Pesakit juga perlu menjalani rawatan membersihkan gigi iaitu ‘scaling’ untuk membuang karang gigi dan plak. Mereka digalakkan menjalani pemeriksaan dengan doktor gigi sekurang-kurangnya setahun sekali,” katanya.
Sekiranya penyakit gusi berada pada tahap lanjut atau serius, pesakit perlu segera mendapatkan rawatan pakar gusi bagi mencegah daripada risiko lebih serius atau memburukkan penyakit kronik sedia ada.
Kepentingan menangani kesihatan gusi ditekankan lagi oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa 2020.
Lebih-lebih lagi, dalam kalangan individu yang mempunyai periodontal yang dalam, sebahagian besar menghidap diabetes dan penyakit kardiovaskular, masing-masing 27.5 peratus dan 24 peratus.
Ini menunjukkan bahawa adanya hubungkait kesihatan mulut dan kesejahteraan sistemik. –UTUSAN









