Retina mata terkoyak boleh akibatkan buta

Retina mata terkoyak boleh akibatkan buta

Koyakan dan lekangan retina adalah masalah serius yang boleh menyebabkan pesakit hilang penglihatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seriau bila mendengar cerita seorang rakan sekerja yang memaklumkan retina matanya koyak.

Berikutan itu, doktor menasihatkannya supaya tidak melakukan kerja keras kerana dikhuatiri berlaku komplikasi lebih serius.

Persoalannya, apakah punca dan bagaimana retina boleh terkoyak dan adakah ia boleh menyebabkan kebutaan mata?

Pakar Mata dan Pensyarah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Muhd Syafi Abd. Bari berkata, koyakan retina adalah keadaan di mana lapisan dalam retina terpisah daripada lapisan luar.

“Ini boleh berlaku apabila terdapat tarikan atau geseran pada retina yang sering berlaku akibat pergerakan gel vitreous di dalam mata.

“Lekangan retina pula adalah keadaan yang lebih serius di mana lapisan retina terpisah sepenuhnya daripada lapisan luar dan tidak lagi menerima bekalan darah atau nutrien yang diperlukan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau yang juga ahli Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata, lekangan retina juga boleh berlaku selepas koyakan retina atau disebabkan oleh cecair yang masuk di lapisan bawah retina.

Koyakan dan lekangan retina adalah masalah serius yang boleh menyebabkan pesakit hilang penglihatan.

“Kedua-dua keadaan ini, jika tidak dirawat segera, boleh menyebabkan kehilangan penglihatan secara beransur-ansur atau mendadak, bergantung kepada tahap keseriusan dan kawasan retina yang terjejas.

“Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan penilaian atau pemeriksaan mata segera jika anda mengalami simptom berkaitan koyakan retina atau lekangan retina,” katanya.

Punca retina terkoyak

Dr. Muhd Syafi berkata, aktiviti olahraga dan sukan lasak boleh meningkatkan risiko retina mengalami kecederaan dan terkoyak serta lekang.

“Olahraga, sentuhan atau kontak seperti tinju, ragbi atau hoki boleh meningkatkan risiko kecederaan pada mata, termasuk trauma langsung pada mata yang dapat menyebabkan retakan dan lekangan retina.

Sukan lain seperti karate, taekwondo dan seni bela yang membabitkan gerakan cepat, tendangan dan pukulan boleh meningkatkan risiko cedera mata jika tidak dilakukan dengan hati-hati.

“Mereka yang gemar menjalani aktiviti sukan ini, perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan risiko kecederaan terutama di kawasan mata,” katanya.

Tambah Dr. Muhd Syafi, selain sukan lasak, tabiat gemar menggosok mata boleh mendedahkan kepada risiko retina mata terkoyak.

“Menggosok dan menekan mata secara kuat atau trauma kepada mata boleh menyebabkan retakan dan koyakan pada retina,” terangnya.

Gejala lekangan retina

Penglihatan kabur dan terhad tanpa sebarang rasa sakit adalah antara petanda atau gejala apabila berlaku lekangan retina mata.

Selain itu, Dr. Muhd Syafi berkata, pesakit juga akan melihat peningkatan bilangan ‘floaters’ secara mendadak atau tompok-tompok hitam halus yang terapung di dalam medan penglihatan.

“Pesakit juga akan melihat kilauan cahaya seperti kilat, imej seakan-akan tabir atau langsir di dalam mata atau terdapat sesuatu menghalang medan penglihatan mata,” katanya.

Rawatan lekangan retina

Pesakit yang mengalami gejala ini perlu segera mendapatkan rawatan seawal mungkin kerana sangat penting bagi mencegah komplikasi lebih serius seperti kehilangan penglihatan.

“Rawatan laser biasanya digunakan untuk rawatan retina ‘break’ atau koyakan yang kecil. Doktor akan menggunakan laser di sekeliling struktur retina dan mencegah terjadinya lekangan retina lebih serius.

“Sekiranya lekangan retina lebih besar dan serius, pembedahan untuk melekatkan semula retina ke tempat asalnya mungkin diperlukan,” jelasnya.

Katanya, terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan pada masa kini untuk merawat lekangan retina namun ia bergantung kepada jenis dan tahap lekangan dialami.

Ia juga bergantung  kepada pilihan pesakit dan pakar bedah vitreo-retina itu sendiri, sama ada menggunakan kaedah suntikan gas atau minyak silikon, scleral buckling, pneumo-retinopexy dan vitrektomi.

Pencegahan

Gejala lekangan retina mata ini boleh berlaku kepada mana-mana individu. Namun, sekiranya anda tergolong antara yang berisiko untuk mendapat lekangan retina seperti di bawah, anda perlu untuk mendapatkan nasihat dan pantauan doktor mata secara berkala.

Anda juga perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin jika mengalami gejala-gejala lekangan retina.

“Ini termasuklah mempunyai rabun penglihatan jauh yang tinggi, golongan berusia 50 tahun ke atas, pernah mengalami kecederaan yang teruk pada mata (trauma) dan pernah melalui pembedahan mata.

“Individu yang pernah mengalami lekangan retina sebelah mata juga berisiko tinggi selain mempunyai sejarah keluarga yang mengalami lekangan retina, sejarah keradangan mata, retinoschisis dan degenerasi lattice,” katanya.

Diet yang baik

Bagi memastikan retina mata sihat, pastikan anda mengambil makanan mengandungi antioksidan bagi membantu melindungi sel-sel mata daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. Nutrisi antioksidan yang penting termasuk vitamin C, vitamin E, dan beta-karoten (provitamin A).

“Makanan kaya antioksidan meliputi buah-buahan dan sayuran berwarna-warni seperti bayam, tomato, blueberi dan strawberi. Anda juga perlu makan makanan yang kaya zeaxanthin dan lutein seperti bayam, kangkung, brokoli, jagung, kuning telur dan buah-buahan beri.

“Zeaxanthin dan lutein adalah karotenoid yang dapat membantu melindungi retina daripada kerosakan oleh cahaya biru dan ultraviolet.Omega-3, terutama DHA juga penting untuk kesihatan mata, termasuk retina,” katanya.

 

Sumber alami omega-3 termasuk ikan berlemak seperti salmon, sarden, kod, tuna dan trout. Kekacang dan biji-bijian sepert biji chia, buah-buahan seperti avokado juga mempunyai kandungan omega-3 yang tinggi.

Vitamin A penting untuk fungsi penglihatan normal. Sumber alami vitamin A meliputi hati, labu, ubi jalar dan sayuran berdaun hijau gelap. Selain memiliki sifat antioksidan, vitamin C dan E juga penting untuk kesihatan mata secara umum.

BEBRAPA FUNGSI RETINA

Penglihatan: Retina adalah tempat utama di mana cahaya yang masuk ke mata diubah menjadi isyarat elektrik yang dapat diterjemahkan oleh otak sebagai gambar. Sel-sel reseptor foto (rod dan kon) akan bertindak balas terhadap cahaya dan menghantar informasi ini melalui sistem saraf optik ke otak.

Ketajaman penglihatan: Retina juga bertanggungjawab untuk menghasilkan ketajaman penglihatan, yang merujuk pada kemampuan mata untuk membezakan dan melihat objek dengan jelas. Retina memiliki reseptor yang membantu dalam penglihatan warna dan penglihatan dalam keadaan kegelapan atau keadaan cahaya rendah.

Melindungi mata: Retina mengandung lapisan luar pigmen yang membantu melindungi sel-sel mata daripada kerosakan akibat cahaya berlebihan. Pigmen ini menyerap sebahagian besar cahaya yang masuk, melindungi retina daripada kerosakan yang disebabkan oleh radiasi cahaya berlebihan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN