Beberapa hari lagi kita akan menyambut Aidilfitri, pelbagai juadah istimewa dihidangkan seperti rendang ayam atau daging, lemang, kuah kacang dan sebagainya.
Namun awas, mungkin ada hidangan yang biasanya sudah dimasak sehari lebih awal itu mula berubah daripada segi rasa dan bau.
Termakan makanan hampir basi atau sudah luput tarikh boleh memberikan kesan keracunan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan.
Anda perlu lebih berhati-hati apabila menjamu selera dengan memastikan makanan bukan saja enak tapi bersih dan selamat dimakan.
Pegawai Dietetik, Jabatan Dietetik, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Aishah Zafirah Abdul Azim berkata, orang ramai perlu peka dengan tanda-tanda makanan yang hampir atau sudah basi.

“Tanda-tanda makanan yang tidak boleh dimakan boleh dikesan melalui perubahan bau, rasa, tekstur atau warna makanan.
“Makanan yang tidak boleh dimakan akan mengeluarkan bau atau rasa aneh, masam, tengik atau busuk; menandakan makanan ini sudah rosak,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambahnya, makanan yang sepatutnya dihidang kering tetapi berubah kepada lembik dan berlendir atau ada cecair yang keluar daripadanya juga petanda ia sudah rosak.
Anda juga perlu memerhatikan makanan sekiranya terdapat pertumbuhan kulat, ini juga antara tanda-tanda yang jelas makanan berkenaan sudah tidak selamat untuk dimakan.
“Makanan yang sudah rosak juga akan mengeluarkan gas atau terdapat gelembung udara atau buih di permukaan makanan yang berkuah.
“Selain tanda-tanda fizikal, terdapat juga tanda-tanda lain seperti perubahan suhu makanan dan cara penyimpanan makanan,” katanya.
Cara menyimpan makanan
Cara menyimpan makanan yang dimasak lebih awal penting bagi memastikan kualiti hidangan terjaga. Makanan seperti rendang atau bersantan perlu disimpan dengan baik bagi mengelakkan kerosakan dan keracunan apabila dimakan.
“Makanan bermasak akan berisiko tidak selamat dimakan apabila terdedah dengan suhu bilik tanpa apa-apa pemanasan yang melebihi empat jam selepas dimasak.
“Makanan yang tidak ditutup dengan rapi juga boleh menyebabkan risiko makanan rosak disebabkan oleh kontaminasi sama ada daripada mikroorganisme, serangga perosak dan fizikal seperti rambut dan serpihan kayu,”katanya.
Tambah Aishah Zafirah, penyimpanan makanan bermasak bergantung kepada jenis makanan, cara penyimpanan, sama ada dalam peti sejuk atau sejuk beku dan keadaan tempat penyimpanan.
Jika makanan dibeli, arahan penyimpanan makanan perlu dipatuhi sekiranya tersedia bersama makanan itu; sebagai contoh makanan tersedia di dalam tin atau di dalam kotak.
Makan dua jam lepas dimasak
Aishah Zafirah berkata, secara umumnya, makanan yang sudah dimasak perlu dimakan dalam masa dua jam selepas masak. Ini kerana selepas tempoh itu, terdapat risiko pembiakan mirkoorganisme disebabkan perubahan kimia dan suhu pada makanan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, makanan bermasak boleh disimpan di dalam peti sejuk yang ditetapkan suhunya pada 0°C sehingga 3°C selama tiga hingga empat hari dan disimpan dalam masa dua jam selepas masak.
“Namun, perlu diingatkan, semakin lama makanan disimpan di dalam peti sejuk, risiko pembiakan mikroorganisme berbahaya juga akan meningkat,” katanya.
Sekiranya ingin menyimpan makanan bermasak lebih lama lagi, boleh menyimpan di dalam peti sejuk beku yang ditetapkan suhunya pada -18°C hingga -25°C selama dua hingga enam bulan.
Makanan bermasak perlulah disimpan di dalam bekas kedap udara dan dilabel tarikh untuk mengekalkan kualiti makanan itu.
“Perlu diingatkan walaupun penyimpanan sejuk beku adalah salah satu kaedah mengekalkan kualiti makanan dan melambatkan pembiakan bakteria tetapi pembiakan mikroorganisme masih boleh berlaku, terutama semasa memanaskan semula makanan.
“Kita perlu memastikan ia dipanaskan dengan betul dan secara teknikalnya, perlu capai suhu dalaman makanan lebih daripada 74°C untuk membunuh bakteria yang berbahaya,” katanya.
Disarankan juga untuk memanaskan sekali sahaja untuk mengekalkan kualiti dan keselamatan makanan berkenaan.
Langkah-langkah apabila makan di rumah atau rumah terbuka:
Basuh tangan dengan baik:
Sebelum penyediaan makanan,
selepas siap membersihkan bahan mentah, selepas masak
dan selepas membersihkan peralatan dan kawasan dapur
Asingkan penggunaan peralatan semasa menyediakan bahan mentah untuk mengelakkan pencemaran silang antara daging, ayam, ikan, makanan laut dan sayur-sayuran.
Pastikan makanan dimasak sepenuhnya sebelum dihidang, tiada darah yang mengalir, tidak berbau dan tiada tanda-tanda kurang masak kelihatan.
Makanan yang dimasak sepenuhnya akan memberi suhu dalaman sebanyak 71°C untuk daging, 74°C untuk ayam dan 63°C untuk ikan.
Sentiasa membuat semakan tarikh luput makanan.
Buang makanan yang telah lebih tarikh luput walaupun disimpan di dalam peti sejuk beku.
Memastikan pembungkusan makanan dalam keadaan baik.
Buang makanan yang mempunyai bungkusan yang sudah bocor, koyak, kemek dan berkarat.
Dinasihatkan untuk tidak membekukan semula bahan mentah yang sudah dikeluarkan daripada peti sejuk beku.
Adalah dicadangkan untuk menyimpan bahan mentah dengan membahagikan kepada beberapa bekas yang berlabel dan keluarkan bahan mentah yang perlu dimasak sahaja.
Kaedah simpan ayam, daging, ikan
Makanan protein daripada sumber haiwan boleh dikategorikan sebagai bahan makanan mudah rosak kerana ia adalah tempat yang sesuai untuk pembiakan bakteria sekiranya tidak disimpan dan dibersihkan dengan betul.
“Walaupun tempat penyimpanan sejuk boleh melambatkan pembiakan bakteria tetapi ia tidak membunuh bakteria berkenaan.
“Bakteria seperti Salmonella, Escherichia coli (E.coli) dan Listeria Monocytogenes masih boleh membiak dalam suhu lebih daripada takat sejuk beku, lebih-lebih lagi sekiranya kita menyimpan bahan makanan ini secara mentah di dalam peti sejuk dengan jangka masa yang lama,” katanya.
Sebaiknya simpan bahan makanan ini tidak lebih daripada tiga hari selepas pembelian dan sebaiknya terus disimpan di tempat sejuk beku. Tempat penyimpanan juga perlu diasingkan dengan makanan lain terutamanya makanan bermasak dan disimpan di dalam bekas bertutup kerana risiko pencemaran silang boleh berlaku di dalam peti sejuk. –UTUSAN










