Gejala batuk kokol unik dan bahaya - Utusan Malaysia

Gejala batuk kokol unik dan bahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jangkitan kuman pertussis yang menyebabkan batuk kokol di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak selepas pandemik Covid-19.
Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 101 kes dilaporkan pada 2022 berbanding 11 kes pada 2021. Bagi 2023 pula, sebanyak 329 kes batuk kokol berlaku dengan 23 kematian dicatatkan sehingga 19 Ogos 2023.
Pensyarah Perubatan Klinikal, Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Mohd. Faizul Amer berkata, batuk kokol atau dikenali sebagai Pertussis adalah sejenis penyakit yang berpunca daripada jangkitan bakteria Bordetella Pertussis yang menyerang salur pernafasan pesakit.
“Berbeza dengan penyakit jangkitan kuman salur pernafasan akut (acute respiratory tract infection) yang lain, batuk kokol mempunyai beberapa gejala unik yang berbahaya. Ia boleh menjadi punca kepada kematian terutamanya kepada golongan bayi yang berumur kurang dari enam bulan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah beliau, selain kanak-kanak, batuk kokol juga boleh menyerang orang dewasa. Bagaimanapun, data menunjukkan pesakit kanak-kanak terutamanya bayi di bawah umur enam bulan, kebiasaannya mempunyai gejala lebih berbahaya berbanding pesakit dewasa dan remaja.

TIGA FASA GEJALA BATUK KOKOL
Dr. Mohd. Faizul berkata, gejala atau petanda batuk kokol boleh dibahagikan kepada tiga fasa utama.
“Pada fasa pertama (catarrhal phase) gejala batuk kokol adalah hampir sama dengan gejala jangkitan kuman pernafasan akut lain seperti demam, batuk, selsema dan bersin selama satu hingga dua minggu.
“Pada fasa kedua iaitu fasa paroxysma, pesakit kebiasaannya mengalamu gejala batuk panjang yang berturutan diikuti tarikan nafas panjang dan kemudiannya nafas terhenti seketika (whooping cough),” katanya.
Sete­rusnya ini akan menye­babkan kandungan oksigen dalam darah pesakit itu turun mendadak dan wajah pesakit akan tampak pucat dan biru (cyanosed).
Fasa ketiga pula adalah fasa pemulihan (convalescent phase) di mana pesakit akan mempunyai gejala batuk berpanjangan selama beberapa bulan juga dikenali sebagai batuk 100 hari.

KOMPLIKASI BATUK KOKOL
Data dari kajian terdahulu menunjukkan kanak-kanak terutamanya bayi kurang dari enam bulan mengalami komplikasi yang lebih teruk berbanding pesakit dewasa.
Dr. Mohd. Faizul berkata, antara komplikasi batuk kokol bagi pesakit kanak-kanak adalah jangkitan kuman paru-paru (pneumonia), komplikasi otak disebabkan kekurangan oksigen (encephalopathy) serta pendarahan otak.
“Pesakit juga berdepan masalah kekurangan nutrisi akibat gejala muntah yang disebabkan batuk yang berterusan. Bagi Pesakit batuk kokol dewasa pula, komplikasi yang biasa dialami adalah gejala batuk berpanjangan sehingga sampai enam bulan lamanya,” katanya.
Beliau berkata, batuk kokol boleh berjangkit melalui titisan cecair dari salur pernafasan pesakit melalui batuk, bersin dan bercakap pada jarak dekat.
Bakteria juga, katanya, boleh merebak melalui sentuhan pada permukaan tercemar dengan bakteria Pertussis.

BAYI PERLU PEMANTAUAN RAPI 
Dr. Mohd. Faizul berkata, rawatan penyakit batuk kokol bergantung kepada kadar keterukan dan fasa jangkitan.
“Bagi pesakit dewasa, remaja dan kanak-kanak, pengambilan ubat antibiotik berdasarkan saranan doktor kebiasaannya mencukupi. Bagaimanapun, bagi bayi berumur kurang daripada enam bulan yang dijangkiti penyakit batuk kokol, pemantauan rapi di hospital mungkin diperlukan.
“Ini kerana pesakit dalam kategori bawah enam bulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi paru paru dan saluran pernafasan seperti batuk berpanjangan dan berhenti bernafas seketika (apnoea),” katanya.
Terdapat beberapa kajian di serata dunia dijalankan untuk melihat keberkesanan vaksin bagi mencegah penyakit dan komplikasi batuk kokol dalam kalangan bayi.

VAKSIN
Hasil kajian itu menunjukkan pemberian empat dos vaksin Pertussis kepada bayi mampu menurunkan kes jangkitan sehingga 84 peratus batuk kokol dalam komuniti.
“Di samping itu, berdasarkan kajian Centre of Disease Control (CDC) AS, pemberian vaksin batuk kokol kepada ibu mengandung di trimester ketiga juga dapat mengurangkan sehingga 78 peratus risiko batuk kokol bagi bayi.
“Pemberian vaksin kepada ibu mengandung ini dapat memberi immuniti secara pasif kepada bayi sebelum pemberian vaksin pada umur dua bulan seperti dalam jadual vaksin nasional,” katanya.
Kanak-kanak yang belum mendapatkan vaksin batuk kokol, boleh ke klinik kesihatan kerajaan untuk membuat temujanji dan mendapatkan vaksinasi pertussis. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya