Gigi palsu segera: Ancaman kepada kesihatan awam - Utusan Malaysia

Gigi palsu segera: Ancaman kepada kesihatan awam

Dr. Tengku Fazrina Tengku Mohd. Ariff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau dulu ada pendakap gigi tiruan yang boleh mendatangkan kesan buruk tetapi kini muncul pula prostesis gigi segera atau gigi palsu segera yang dijual tanpa kawalan di atas talian.
Tinjauan jualan gigi palsu segera di atas talian, mendapati produk itu mendapat sambutan ramai kerana harganya murah iaitu serendah RM5 selain mengatasi masalah kecacatan gigi dengan cepat.
Pembeli dibekalkan dengan set gigi plastik dan gam serta bahan seperti polimer resin untuk membuat sendiri prostesis itu. Terdapat juga video yang menunjukkan cara penggunaan bahan itu dengan air panas untuk membentuk struktur gigi.
Apa yang membimbangkan penjualan gigi palsu segera tanpa kawalan ini dikhuatiri boleh mengancam keselamatan dan kesihatan penggunanya berikutan tiada maklumat lengkap bahan-bahan yang digunakan bagi menghasilkan gigi berkenaan.
Pakar Perunding Prostodontik dan Pensyarah Kanan Pergigian, Pusat Pengajian Pergigian Restoratif, Fakulti Pergigian UiTM Kampus Sungai Buloh, Dr. Tengku Fazrina Tengku Mohd. Ariff berkata, bahan pergigian ada kawalan yang dilindungi di bawah Akta Peranti Perubatan 2012.
“Semua peranti kesihatan yang dijual perlu didaftarkan di bawah akta itu termasuk bahan pergigian. Malah pengimpot, pengekspot serta pengedar peralatan itu mesti berlesen.
“Produk gigi palsu segera yang dijual di atas talian adalah diragui tahap keselamatan dan prestasinya disebabkan maklumat komposisi produk yang disertakan tidak lengkap.
“Malah berdasarkan arahan cara penggunaan, pengguna dilarang makan atau minum minuman panas ketika menggunakannya, membuktikan ia tidak berkualiti,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Berbeza dengan pengeluar bahan pergigian berdaftar, biasanya produk dihasilkan akan memaparkan secara jelas kandungan atau bahan digunakan serta peratus komposisi bahan kimia yang terdapat di dalam bahan pergigian yang dikeluarkan.
Ini kerana setiap bahan pergigian telah diuji dan dikaji secara saintifik akan sifat bio-keselamatan dan bio-kesesuaian terhadap manusia.
Jika bahan didagangkan sebagai bahan pergigian dijual secara semberono tanpa kawalan dan perakuan keselamatan, ini akan mendatangkan ancaman kesihatan kepada penggunanya.
Menurut Dr. Tengku Fazrina, prostesis pergigian terdiri daripada pelbagai bentuk dan fungsi yang dibuat mengikut keperluan dan kesesuaian khusus pesakit.
Beliau turut mengulas berkenaan rawatan pergigian estetik menggunakan prostesis seperti rawatan veneer pergigian, rawatan korona dan jambatan pergigian.
Ini kerana hasil perubahan daripada segi estetik akan dilihat secara spontan sebaik selesai rawatan. Hollywood Smile, satu tagline rawatan yang satu ketika dulu popular seantero dunia.
Beliau turut memetik beberapa selebriti yang menjalani rawatan pergigian estetik ini yang menjadi ikon ikutan peminat, antaranya Tom Cruise, Roberto Firmino dan ramai lagi.
Katanya, bahan pergigian yang digunakan untuk rawatan itu terdiri daripada seramik, komposit, simen pergigian, aloi pergigian dan beberapa bahan lain yang dikawalselia oleh Akta Peranti Perubatan 2012.
Bahan tersebut bersifat karsinogenik sekiranya digunakan secara tidak terkawal sama ada dari aspek kuantiti dan juga kaedah pengolahannya.
Tambah beliau, pihak pengilang yang mengeluarkan bahan-bahan ini turut mempro­duksikannya mengikut standard pengilangan ditetapkan. Mereka juga menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan secara berterusan terhadap setiap bahan pergigian supaya bahan ini berkualiti serta selamat digunakan di bawah kawalan doktor dan pakar pergigian.
“Bahan yang disahkan selamat perlu mematuhi beberapa syarat standard piawaian antarabangsa. Antaranya, tiada perubahan sifat sekiranya berlaku perubahan suhu atau pendedahan kepada haba.
“Tidak seperti produk dijual di dalam talian yang boleh dimanipulasi sekiranya didedahkan kepada air panas. Ia membahayakan kerana bahan ini boleh cair atau berubah bentuk semasa makan. Ini juga boleh menyebabkan ia tercabut dan berisiko tertelan seterusnya tercekik jika bahan ini termasuk dalam rongga pernafasan,” jelasnya.

JANGKITAN
Dr. Tengku Fazrina berkata, cara mengendalikan pembuatan gigi palsu segera seperti proses membancuh, membentuk acuan gigi serta melekatkan gigi di rumah adalah tidak dijamin bersih berbanding di klinik gigi.
“Di klinik, peralatan digunakan akan dinyah kuman. Ini berbeza jika proses ini dilakukan sendiri di mana kemungkinan berlaku pencemaran. Sekiranya kebersihan tidak dititikberatkan, ia boleh menyebabkan berlaku infeksi.
“Tanda-tanda jangkitan adalah gusi menjadi merah dan sakit. Ini menandakan gusi mengalami radang. Seterusnya ia membengkak dan menanah. Keadaan ini juga boleh menjejaskan gigi serta struktur mulut di sekitarnya,” katanya.
Sekiranya pesakit sememangnya sudah mengalami penyakit gusi, ia boleh memburukkan lagi masalah apabila ada struktur asing yang dimasukkan ke dalam mulut yang boleh memerangkap plak gigi.
Pembentukan struktur gigi yang tidak betul juga boleh mengganggu pembersihan mulut. Apabila sisa makanan tidak dapat dibersihkan, karies gigi terbentuk. Seterusnya menyebabkan jangkitan.
Tampalan segera
Selain gigi palsu segera, terdapat juga produk tampalan gigi segera yang dijual secara atas talian.
“Prosedur tampalan adalah bergantung kepada jenis bahan tampalan. Sekiranya tampalan tidak dilakukan dengan prosedur betul, ia mudah tanggal atau berlaku kebocoran di sekelilingnya. Menampal gigi menggunakan tampalan segera yang diragui komposisi bahan aktif ini juga boleh meninggalkan pelbagai risiko.
“Sebelum tampalan gigi dibuat, persekitaran mulut perlu dipastikan kering bagi mendapatkan tampalan berkualiti. Di klinik, doktor akan menggunakan empangan pergigian dan gigi akan dikeringkan menggunakan semburan angin. Tampalan yang dibuat juga perlu mengikut struktur anatomi asal gigi,” katanya.
Jelasnya, jika tampalan dibuat terlalu tinggi, ia akan mengganggu gigitan dan keselesaan rahang. Sebaliknya, jika tampalan yang dibuat berbeza struktur atau terlalu rendah, ia boleh menyebabkan kunyahan kurang sempurna.
Dr. Tengku Fazrina berkata, gigi palsu segera itu boleh digunakan secara sementara sebagai perhiasan kosmetik atau tujuan perfileman sahaja. Bagaimanapun, pihak pengeluar nampaknya mengesyorkannya juga untuk kegunaan fungsi harian.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai membuat pertimbangan wajar sebelum membeli dan menggunakan produk seperti ini. Harga murah tidak dapat menjamin keselamatan.
Pengguna disyorkan agar lebih peka dan boleh menyemak status pendaftaran bahan-bahan itu bagi memastikan produk adalah berdaftar di laman sesawang Medical Device Authority Register (MDAR).

Tip pembersihan gigi palsu:
Rendam dalam larutan bahan pembersih gigi palsu untuk menyingkirkan kuman. Rendaman ini boleh menanggalkan kekotoran pada gigi berkenaan.
Kombinasi memberus dan merendam dalam larutan pembersih adalah paling berkesan.
Jangan berus gigi palsu dengan ubat gigi dan berus gigi yang keras kerana ia boleh menghakis permukaan gigi palsu. Sebaliknya memberus dengan menggunakan sabun atau larutan pembersih untuk membersihkannya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya