Puasa tak jamin berat badan turun - Utusan Malaysia

Puasa tak jamin berat badan turun

Nur Atika Mhd Razali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemeriahan Ramadan di negara ini diraikan oleh semua kaum dalam menikmati pelbagai jenis makanan pada bulan ini. Bazar Ramadan menjadi tumpuan. Peniaga-peniaga mengambil peluang menjual menu popular bulan Ramadan seperti kebab, roti john, ayam bakar, kuih muih dan pelbagai jenis air balang.
Perubahan gaya hidup, corak pemakanan dan aktiviti berbeza sewaktu Ramadan berbanding bulan lain boleh menjadi salah satu cabaran besar dalam mengekalkan kesihatan dan gaya hidup sihat. Kenaikan berat badan, gangguan pencernaan seperti sembelit atau perut berasa tidak selesa selepas makan dan pelbagai lagi masalah kesihatan seperti diabetes dan gula tidak terkawal banyak berlaku ketika Ramadan.
Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pakar KPJ Kluang, Nur Atika Mhd Razali, terdapat beberapa kesilapan biasa yang mungkin dilakukan ketika Ramadan yang perlu disemak bagi mengekalkan gaya hidup sihat dan berat badan tetap terkawal.
“Antaranya, makanan sahur tidak seimbang kandungan makronutrien seperti karbohidrat, protein dan lemak. Pemakanan yang sihat bukanlah semata-mata merujuk kepada jenis makanan secara asas tetapi bagaimana ia diolah untuk mendapatkan sumber makronutrien yang lengkap dan serat tinggi. Makanan lengkap dengan sumber makronutrien dan serat tinggi boleh membantu mengurangkan rasa lapar, membekalkan zat dan dapat mengurangkan rasa letih ketika berpuasa,‘‘ katanya.
Tambah Nur Atika, berat badan juga menjadi tidak menentu apabila ramai tidak bersahur pada waktu pagi sebelum berpuasa.
Katanya, amalan tidak bersahur kerana mengantuk atau menganggap mengambil makanan di malam hari sebelum tidur sebagai sahur boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan dan berat badan. Tanpa sahur, badan boleh mengalami kekurangan tenaga dan mudah lesu sepanjang tempoh berpuasa.
“Kemudiannya, badan berpotensi untuk mengurangkan aktiviti fizikal dan boleh mengundang malas untuk melakukan senaman. Tabiat mengambil makanan pada waktu malam dan menganggap sudah bersahur juga boleh mengakibatkan ketidakstabilan gula di dalam darah,” jelasnya.
Selain itu, rata-rata yang berpuasa mengambil minuman manis dan membiarkan badan dalam keadaan dehidrasi. Hasilnya, ia boleh mengundang bahaya kepada kesihatan dan berat badan naik.
‘‘Sebagai contoh, satu sudu besar susu pekat manis sudah mengandungi kira-kira 15 gram gula. Pengambilan gula tambahan secara keseluruhan termasuk dalam minuman dan makanan yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia adalah hanya 37.5 gram bagi lelaki dewasa iaitu kira-kira sembilan sudu kecil (tiga sudu besar) sehari dan 25 gram bagi wanita dewasa iaitu kira-kira enam sudu kecil (dua sudu besar) sehari.
‘‘Banyak mengambil minuman manis selain air kosong juga boleh menyebabkan dehidrasi, pening kepala dan sembelit,“ katanya.
Tidak ketinggalan, ramai yang makan semua makanan berat dan ringan sekaligus ketika berbuka puasa.
Kata Nur Atika lagi, terlebih makan ketika berbuka puasa adalah perkara biasa disebabkan oleh rasa lapar setelah seharian berpuasa. Namun, hal ini boleh menyebabkan pertambahan berat badan jika dibiarkan berlarutan setiap hari.
Oleh itu, makanlah secara bersederhana dan tidak tergesa-gesa untuk memberi ruang kepada badan menghantar isyarat kenyang kepada otak. Mengikut sesetengah kajian, badan memerlukan anggaran masa sebanyak 20 minit untuk menghantar signal tersebut.
‘‘Malah ketika berpuasa, jangan terlalu banyak mengambil makanan yang berminyak, berlemak dan bergoreng untuk memastikan tubuh badan kekal sihat.
‘‘Memakan makanan bergoreng, berlemak dan berminyak boleh menyumbang kepada kenaikan berat badan dengan cepat. Hal ini kerana, makanan yang bergoreng dan berminyak mempunyai kandungan kalori yang tinggi.
‘‘Sebagai contoh, satu sudu kecil minyak mempunyai kira-kira 45 kalori manakala dua sudu besar santan sudah menyumbang 90 hingga 100 kalori. Selain itu, makanan seperti ini juga boleh menyebabkan gangguan pencernaan dan pedih ulu hati,“ katanya.
Penjagaan berat badan ditentukan oleh jumlah tenaga yang digunakan di samping makanan yang diambil. Jika jumlah kalori makanan berlebihan daripada jumlah tenaga diperlukan, berat badan akan bertambah. Begitu juga sebaliknya. Kekerapan waktu makan yang berkurangan sewaktu bulan Ramadan tidak menjamin kenaikan atau penurunan berat badan.
Oleh itu, masih belum terlambat untuk mengubah gaya pemakanan. Gunakan pinggan suku-suku separuh yang dicadangkan Kementerian Kesihatan sebagai panduan pemakanan ketika bersahur dan berbuka.
Sentiasalah bersederhana dalam meraikan Ramadan agar kesihatan dapat dipelihara sehingga Syawal menjelma.

TIPS

Lewatkan pengambilan sahur seeloknya sebelum waktu fajar dan tingkatkan aktiviti fizikal dengan melakukan senaman aerobik ringan.
Sebaiknya minum lapan gelas air kosong sehari ketika puasa secara berperingkat. Minum satu gelas air ketika bangun tidur, selepas sahur, selepas azan Maghrib, selepas solat Maghrib, selepas makan, selepas solat Isyak, selepas solat Tarawih dan sebelum tidur.
Berbukalah dengan satu sajian kurma/ buah terlebih dahulu dan makan secara bersederhana (sukatan kecil) sebelum menunaikan solat Maghrib. Gula semula jadi daripada buah boleh membantu menghantar isyarat dengan cepat dan mengelakkan anda makan secara berlebihan. Jangan makan tergesa-gesa!
Masakan berasaskan sup, singgang dan bakar.
Gunakan santan yang telah ditrim jumlah lemak dalam masakan untuk mengurangkan jumlah pengambilan kalori. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.