Alternatif makanan sihat di Aidilfitri - Utusan Malaysia

Alternatif makanan sihat di Aidilfitri

Dr. Lim Sim Yee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan juadah raya antara yang dinanti-nantikan ketika sambutan Aidilfitri. Malah semua juadah popular ini bukan hanya dihidangkan pada hari raya pertama dan kedua, sebaliknya sebulan lamanya.
Namun, di sebalik kegembiraan menyambut Aidilfitri, kesihatan diri tidak boleh diketepikan dan perlu pengawalan terutama bagi yang berisiko menghidap penyakit.
Bagi Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Lim Sim Yee berkata, selain itu jumlah hidangan juga perlu dikawal bagi mengelakkan pertambahan berat badan.
“Makan berlebihan semasa Raya boleh menyebabkan berat badan bertambah, terutamanya apabila mengambil lebih banyak kalori daripada yang dibakar.
“Ini boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan bagi jangka masa panjang, misalnya peningkatan risiko obesiti serta penyakit berkaitan seperti diabetes dan penyakit jantung,” katanya baru-baru ini.
Tambah Dr. Sim Yee, makan terlalu banyak atau mengambil hidangan yang mengandungi lemak dan gula yang tinggi juga boleh menyebabkan masalah penghadaman seperti senak perut, kembung perut dan sembelit.
Justeru beliau menyarankan agar memilih makanan lebih sihat seperti hidangan yang dipanggang atau dibakar bagi menggantikan hidangan bergoreng atau mengandungi lemak tinggi.
“Pilih juadah yang mengandungi protein tanpa lemak, bijian penuh dan perbanyakkan sayur-sayuran.
“Anda boleh juga mengawal saiz makanan dengan menggunakan pinggan lebih kecil atau mengambil kuantiti yang lebih sedikit bagi setiap hidangan. Makan dengan perlahan juga boleh membuatkan anda cepat kenyang selain dapat mengelakkan makan berlebihan,” ujarnya.
Selain itu katanya, ada beberapa kaedah alternatif lain yang boleh diambil bagi menggantikan sumber yang mengandungi lemak atau gula yang tinggi.
“Anda boleh memilih air mineral atau minuman tanpa gula atau membuat minuman sendiri dengan mencampurkan air kosong dengan hirisan buah-buahan serta herba. Buah-buahan segar boleh menggantikan keinginan terhadap makanan manis tanpa mengandungi gula tambahan.
“Di samping itu, boleh cuba membuat versi pencuci mulut tradisional yang lebih sihat dengan menggunakan pemanis semula jadi bagi menggantikan gula putih seperti kurma, madu dan sirap mapel. Kurangkan kandungan gula dalam resipi dan lebihkan pengambilan serat seperti bijirin atau buah-buahan,” jelasnya.

Rendang
Gunakan potongan daging yang lebih nipis seperti dada ayam atau daging lembu tanpa lemak, dan kurangkan jumlah santan yang digunakan. Anda juga boleh memasukkan lebih banyak sayur-sayuran seperti lada benggala dan brokoli untuk menambah khasiatnya.
Ayam Masak Merah
Pilihlah dada ayam tanpa kulit untuk menggantikan paha ayam yang tinggi lemak, dan kurangkan minyak sewaktu memasak. Masukkan lebih banyak sayur-sayuran seperti lobak merah dan bayam untuk meningkatkan densiti nutriennya, dan gantikan garam dan gula dengan pilihan lebih sihat seperti herba dan rempah ratus bagi menambah rasa hidangan.
Kuah Kacang
Gunakan mentega kacang asli dan bukannya mentega kacang yang diproses kerana ia mungkin mengandungi garam dan gula tambahan. Kurangkan kandungan gula dan masukkan bahan-bahan lain yang kaya dengan khasiat seperti halia dan bawang putih untuk meningkatkan manfaat kesihatannya.

Sayur Lodeh
Kuah sayuran ini selalunya dimasak dengan pelbagai jenis sayur-sayuran termasuk kekacang, terung dan kubis. Ia adalah hidangan rendah kalori, padat dengan nutrien yang mengandungi serat tinggi serta antioksidan. Bagi menjadikannya lebih sihat, kurangkan santan atau pilih jenis rendah lemak.
Acar
Acar merupakan sayur jeruk yang sering disajikan sebagai hidangan sampingan. Ia adalah hidangan rendah kalori, mengandungi serat yang tinggi dan kaya dengan vitamin dan mineral. Bagi menjadikannya lebih sihat, kurangkan jumlah garam dan gula.
Lemang
Pilih versi yang dibuat dengan beras perang bagi menggantikan beras putih kerana ia mengandungi lebih banyak serat dan nutrien. Anda juga boleh mengurangkan pengambilan santan atau memilih jenis rendah lemak.

Ketupat
Juadah yang dibuat daripada beras dan dibalut dengan daun kelapa ini membe­kalkan sumber tenaga yang baik untuk tubuh badan. Ia juga rendah lemak dan tidak mengandungi kolesterol. Walaupun ia pilihan yang sihat, anda boleh menjadikannya lebih sihat dengan menggan­ding­kannya dengan lauk-lauk berasaskan sayuran. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya