Menangani derita kesakitan melalui prosedur RFA - Utusan Malaysia

Menangani derita kesakitan melalui prosedur RFA

Dr. Karunakgaran Kanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada yang mengatakan bahawa “kesakitan tidak dapat dielakkan tetapi penderitaan adalah pilihan.” Anda mungkin pernah mendengar frasa itu sesekali daripada pengarang, jurulatih kecergasan atau penceramah motivasi. Namun, frasa itu juga boleh dikaitkan dalam dunia perubatan.
Kesakitan adalah gejala biasa yang boleh dialami daripada pelbagai jenis kecederaan, penyakit, dan gangguan. Rawatan untuk keadaan atau penyakit tertentu seperti kemoterapi juga boleh menyebabkan kesakitan seperti sakit pada otot, sendi, sakit kepala, dan sakit perut.
Sakit, dari tahap ringan hingga melampau, boleh dalam keadaan sementara dan akan hilang sebaik sahaja anda sembuh (sakit akut), atau ia juga boleh bertahan lebih lama daripada tiga bulan, atau bahkan bertahun-tahun (sakit kronik).
Menurut Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma Hospital Pakar KPJ Kluang, Dr. Karunakgaran Kanan, kesakitan kronik biasanya boleh meninggalkan kesan yang besar pada kualiti kehidupan pesakit.
Kira-kira tujuh peratus rakyat negara ini mengalami masalah kesakitan kronik, dengan peratusan lebih tinggi dalam kalangan kumpulan umur yang lebih berusia iaitu 15.2 peratus. Ini bermakna hampir sejuta rakyat Malaysia hidup dengan kesakitan jangka panjang, yang mana sebahagian besar (82 peratus) menunjukkan kesakitan itu mengganggu aktiviti kehidupan seharian.
“Dalam perubatan, Radiofrequency Ablation (RFA) adalah sejenis rawatan kawalan kesakitan yang juga dikenali sebagai Pengurusan Kesakitan Intervensi untuk pesakit yang mengalami kesakitan kronik, direka untuk merawat pelbagai keadaan seperti tumor benigna dan malignan (kanser), serta sakit belakang dan leher yang kronik.
“Kesakitan kronik adalah kompleks dan seseorang boleh mengambil sedikit masa untuk menemui kaedah melegakan kesakitan yang sesuai untuk mereka. Pesakit boleh mempertimbangkan rawatan RFA apabila sakit kronik mereka terus berlarutan dan tidak bertindak balas terhadap rawatan alternatif seperti ubat sakit atau terapi fizikal,” ujarnya.
Tambah beliau, selain sakit berpunca daripada kanser, RFA juga boleh memberikan kelegaan berpanjangan untuk pesakit yang mengalami sakit kronik disebabkan oleh arthritis tulang belakang (spondylosis), sakit leher, sakit saraf periferal atau sakit di muka. Namun begitu, rawatan RFA paling biasa digunakan untuk menguruskan sakit kronik iaitu sakit berpunca daripada sendi (sakit sacroiliac atau SI).
KAEDAH RAWATAN
“Memandangkan sakit kronik disebabkan oleh kerosakan tisu, RFA menangani isu ini dengan menghantar gelombang radiofrekuensi ke saraf yang rosak, menggunakan jarum yang diletakkan tepat untuk memanaskan kawasan saraf dengan matlamat untuk menghalang isyarat sakit daripada dihantar kembali kepada otak, yang menyebabkan anda merasakan kesakitan pada mulanya,” kata Dr. Karunakgaran.
Beliau menjelaskan, RFA adalah prosedur invasif minima. Ia bukannya pembedahan yang memerlukan bius. Saraf sihat yang berhampiran tidak akan rosak semasa RFA dijalankan.
“Kami akan meneliti dahulu rekod perubatan lalu dan bertanya soalan tentang kesakitan anda untuk memastikan sama ada anda sesuai untuk rawatan RFA. Anda tidak layak menerima rawatan ini jikamengalami jangkitan kuman, masalah pendarahan atau mengandung,” jelas Dr. Karunakgaran.
Pesakit akan diberikan ujian blok diagnostik untuk mengesahkan punca dan tahap kesakitan. Melalui keputusan ujian ini, doktor akan menentukan jenis rawatan yang akan diberikan bagi mengurangkan kesakitan itu.
“RFA akan digunakan untuk melegakan kesakitan sekiranya keputusan ujian blok diagnostik menunjukkan kesesuaian kepada pesakit untuk menjalani kaedah rawatan ini,” katanya.
Dr. Karunakgaran menambah, selepas rawatan RFA, pesakit boleh mengalami kelegaan kesakitan serta-merta atau mungkin mengambil masa sehingga dua hingga tiga minggu untuk merasa kesannya.
“Kelegaan kesakitan boleh bertahan kira-kira enam hingga 12 bulan atau sehingga beberapa tahun,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya