Jangan berlengah jika diserang strok - Utusan Malaysia

Jangan berlengah jika diserang strok

Pakar Neurologi Pantai Hospital Penang, Dr. Wong Yee Choon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAPAN serangan strok hanya berlaku kepada orang yang lebih berusia dan tidak perlu dibimbangi orang muda adalah salah sama sekali, kerana berita buruk itu boleh terjadi pada sesiapa sahaja tanpa dibatasi faktor usia mahupun jantina.
Setiap tahun, lebih 50,000 kes baru berkaitan strok atau angin ahmar direkodkan di Malaysia dan ia terus meningkat dari setahun ke setahun.
Kini risiko strok terhadap golongan muda semakin meningkat dan agak membimbangkan.
Mungkin sekitar 20 tahun lepas sering kita dengar orang yang diserang strok pada usia 40 atau 50 tahun, namun sekarang ini bukan sahaja ia boleh terjadi pada kanak-kanak malah dalam usia 20 hingga 30 tahun
Pun begitu, tindakan pantas mendapatkan rawatan setelah diserang angin ahmar atau strok mungkin memberi peluang kepada pesakit pulih.
Serangan strok yang tidak dapat dijangka hingga lambat mendapatkan rawatan boleh menyebabkan berlaku lumpuh anggota badan secara kekal kepada pesakit.
Pakar Neurologi Pantai Hospital Penang, Dr. Wong Yee Choon berkata, keadaan itu disebabkan penyempitan salur darah ke bahagian otak atau disebabkan salur darah pecah.
Kesannya, sebahagian daripada tisu otak mengalami kerosakan disebabkan kekurangan bekalan oksigen.
“Strok terjadi apabila otak kehilangan bekalan darah sama ada kerana pembuluh darah tersumbat (trombosis), pembuluh darah menyempit (stenosis) ataupun pembuluh darah pecah yang menyebabkan pendarahan dalam otak.
“Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu strok disebabkan oleh salur darah ke otak tersumbat atau akibat pendarahan di dalam organ itu,” ujarnya.
Beliau membeitahu, antara punca utama yang menyebabkan seseorang itu diserang strok disebabkan faktor tekanan darah tinggi.
Menurutnya, tekanan darah tinggi berterusan akan merosakkan saluran darah di seluruh badan tetapi kesan ini lebih pada salur darah yang halus seperti di otak dan meningkatkan risiko terjadi sumbatan pada saluran darah.
Tambahnya, kolesterol yang tinggi di dalam badan juga menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan risiko serangan strok.
“Kolesterol ini akan terkumpul di dinding saluran darah yang lama kelamaan menyebabkan saluran menjadi sempit seterusnya tersumbat.
“Selain itu, tabiat merokok juga antara salah satu amalan gaya hidup tidak sihat yang menjadi punca utama strok kerana ia boleh menyebabkan salur darah tersekat seterusnya merosakkan fungsinya,”katanya.
Mengulas lanjut mengenai penyakit yang menjadi pembunuh ketiga rakyat Malaysia selepas serangan jantung dan pneumonia, Dr. Wong berkata, mereka yang berisiko perlu mengetahui antara tanda yang akan berlaku ketika diserang strok.
Antara tanda-tanda yang boleh dikesan seperti lemah dan kebas pada sebelah anggota badan, muka, lengan serta kaki; susah bertutur atau sebutan tidak jelas, penglihatan kabur dan sakit kepala yang teruk.
Jelasnya, gejala berkenaan akan terjadi dengan mendadak dan bertambah teruk.
“Strok adalah satu kecemasan dan setiap minit sangat berharga buat pesakit.Jadi sebolehnya tindakan pantas perlu dilakukan untuk membawa pesakit berkenaan ke hospital berdekatan.
“Apabila tiba di hospital, doktor akan menggunakan teknik imbasan imej otak, sama ada Computed Tomography (CT) atau Magnetic Resonance Imaging (MRI) bagi menentukan jenis strok yang dialami oleh pesakit,”katanya.
Dr. Wong berkata, dengan mendapatkan rawatan yang cepat dan mengikuti proses rehabilitasi, pesakit strok boleh pulih sepenuhnya seperti sedia kala. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya