Berat badan naik turun mendadak akibat gangguan hormon - Utusan Malaysia

Berat badan naik turun mendadak akibat gangguan hormon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASALAH tubuh besar, berat badan tiba-tiba naik atau turun secara mendadak atau penat keterlaluan yang tiada penyebab khusus, antara gejala gangguan hormon.
Untuk mengesahkan berlaku gangguan berkenaan, pesakit perlu menjalani ujian darah terlebih dahulu.
Gangguan hormon walaupun dikategorikan sebagai tidak berbahaya berbanding penyakit lain, namun dalam beberapa keadaan ia masih boleh mengakibatkan penyakit lain dan berisiko membawa maut.
Misalnya, masalah kekurangan hormon yang berlaku pada kelenjar pituitari, jika berlaku terhadap kanak-kanak boleh menyebabkan masalah tumbesaran, iaitu ketinggian tidak seiring usia.
Malah menyebabkan lambat akil baligh bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan akan lewat mendapat haid pertama.
Sebaliknya, jika kelenjar pituitari mengeluarkan hormon berlebihan, boleh menye­babkan agromegali iaitu tangan, tapak kaki, muka atau anggota badan lain tiba-tiba menjadi besar dan masalah prolaktinoma yang mana berlaku gangguan haid dan kesuburan wanita.
Menurut Pakar Perunding Bedah Nuerologi, Gleneagles Hospital Penang, Dr. Kelvin Lim Liang Hooi, kelenjar pituitari merupakan kelenjar kecil yang terletak dalam tengkorak, di atas rongga hidung dan di bawah otak. Ia terletak di sella turcica, kawasan tulang yang sangat kecil. Saraf optik, saraf yang menghubungkan mata dan otak, melintas rapat di atasnya. 

Dr. Kelvin Lim Liang Hooi 

“Hipotalamus, kawasan penting otak, bersambung terus dengan kelenjar pituitari. Ini mewujudkan hubungan penting antara otak dan sistem endokrin, sekumpulan kelenjar yang mengawal hormon dalam badan.
“Hormon dilepaskan ke dalam darah, yang penting dalam mengawal organ badan. Pituitari dianggap sebagai kelenjar kawalan induk kerana ia mengawal bilangan hormon yang dikeluarkan oleh kelenjar lain dalam sistem endokrin,” jelasnya.
Tambah Dr. Kelvin, adenoma pituitari membentuk kira-kira 10 peratus daripada semua tumor yang berkembang dalam tengkorak. Ia menjejaskan kira-kira 77 daripada setiap 100,000 orang, walaupun pakar percaya bahawa sehingga 20 orang akan mengalami adenoma pada satu ketika dalam hidup mereka.
“Ade­noma pituitari yang merembeskan prolaktin, dikenali sebagai prolaktinomas, adalah jenis tumor pituitari yang berfungsi paling biasa, menyumbang kira-kira 30 peratus daripada semua tumor pituitari.
“Ia adalah sejenis tumor yang menghasilkan berlebihan prolaktin, hormon yang merangsang pengeluaran susu dalam payudara.
“Ia berlaku paling kerap pada wanita berumur 20 hingga 50 tahun, dan mempunyai kelaziman 100 juta penduduk, dan menyumbang kurang daripada dua peratus daripada semua tumor intrakranial. Ia biasanya boleh dirawat dengan ubat, dan pembedahan akan dipertimbangkan untuk terapi perubatan yang gagal,” jelasnya.
Menurut beliau, hormon yang biasa terjejas oleh tumor pituitari termasuk hormon adrenocorticotrophic (ACTH), hormon pertumbuhan (GH), prolaktin, hormon perangsang tiroid (TSH), dan hormon luteinizing (LH) dan hormon perangsang folikel (FSH).
Dr. Kelvin memberitahu, ujian darah atau air kencing boleh dilakukan untuk memeriksa tahap hormon ini kerana ia mungkin terjejas oleh tumor pituitari. Bergantung pada jenis atau saiz tumor, mungkin terdapat kekurangan, atau pengeluaran berlebihan satu atau lebih hormon ini.
“Tumor pituitari yang berfungsi akan menghasilkan hormon dan boleh menyebabkan pelbagai tanda dan gejala, bergantung kepada hormon yang dihasilkannya.
“Contohnya, akromegali boleh mengakibatkan rembesan hormon pertumbuhan yang berlebihan, atau sindrom Cushing mungkin disebabkan oleh rembesan hormon adreno­kortikotropik yang berlebihan.
“Tanda dan simptom biasa termasuk sakit kepala yang kerap, dan kehilangan penglihatan terutamanya penglihatan periferi,” katanya.
Tumor yang lebih besar, jelasnya lagi boleh menyebabkan kekurangan dan simptom hormon yang termasuk loya dan muntah, lesu, rasa sejuk, gangguan kitaran haid, gangguan fungsi seksual, kerap membuang air kecil dan penurunan berat badan atau penambahan berat badan yang tidak diingini,” katanya.
Mengulas pilihan rawatan untuk tumor pituitari, Dr. Kelvin memberitahu, ia bergantung pada jenis, saiz dan lokasi tumor, pilihan pengurusan mungkin pembedahan, ubat, atau hanya pemantauan biasa oleh pakar bedah.
“Oleh kerana terdapat pelbagai jenis tumor pituitari, tidak ada satu pun rawatan terbaik. Pembedahan boleh dilakukan melalui pendekatan transsphenoidal, teknik invasif minimum iaitu pakar bedah membuang tumor melalui hidung, atau transcranial, melalui pembukaan dalam tengkorak, bergantung pada saiz dan lokasi tumor.
“Dalam kes tertentu, Stereotaktik Radiosurgery (SRS), satu bentuk radiasi terapeutik yang sangat tepat boleh dipertimbangkan,” jelasnya.

Hormon yang dihasilkan oleh kelenjar pituitari

Hormon adrenokor­tikotropik (ACTH): Merang­sang pengeluaran hormon pada kelenjar adrenal.
Hormon perangsang folikel (FSH) dan luteinizing hormone (LH):  Bekerjasama satu sama lain sebagai pengatur atas fungsi ovarium dan testis.
Hormon pertumbuhan (GH): mengatur pertum­buhan manusia, terutama pada tahun awal kehidupan. Hormon ini membantu menjaga komposisi tubuh yang sihat pada anak-anak serta menyeimbangkan distribusi lemak dan menjaga kesihatan tulang dan otot pada orang dewasa.
Prolaktin: membantu merangsang produksi ASI pada wanita. Hormon ini juga memiliki efek terhadap aktiviti seksual yang berbeza untuk lelaki dan wanita.
Hormon perangsang tiroid (TSH): merang­sang kelenjar tiroid untuk menghasilkan hormon tiroid.
Hormon antidiuretik (ADH): merang­sang ginjal untuk meningkatkan penyerapan air dalam darah sehingga mengurangi jumlah urine yang keluar.

Fungsi kelenjar pituitari
Melepaskan beberapa jenis hormon yang membantu menjalankan fungsi penting dalam tubuh manusia dan membantu mengatur mekanisme:
Pertumbuhan,
Produksi dan pembakaran tenaga (metabolisme),
Respon tubuh terhadap stres atau trauma,
Reproduksi,
Beranak/bersalin dan pasca melahirkan, hingga
Pengeluaran susu dari
kelenjar susu (laktasi).  – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.