fbpx

Jangan pandang remeh kebimbangan melampau

Hushim Salleh

Pernahkah anda tidak semena-mena berasa resah dan cemas? Berpeluh, degupan jantung menjadi laju dan akhirnya terasa sesak nafas. Kadangkala terasa diri kurang selamat dan jadi tidak keruan. Apabila menjalani pemeriksaan kesihatan, keadaan darah, oksigen dan organ lain berada dalam keadaan normal.
Perkara seperti ini tentu menimbulkan tanda tanya mengapa berlaku, sedangkan sihat dan tidak menghidap penyakit.
Sebenarnya, perkara itu boleh disebabkan masalah mental yang dipanggil kebimbangan melampau dan berlaku pada individu tertentu.
Situasi ini pernah dialami oleh beberapa selebriti di negara ini yang mendedahkan dalam akaun media sosial masing-masing berhadapan dengan gangguan kebimbangan yang melampau.
Ketika diserang penyakit ini, simptom muncul satu-persatu. Individu berkenaan berasa tapak tangannya berpeluh, susah tidur, kurang rehat, dada kerap rasa berdebar dan hilang selera makan.
Pada awalnya, mereka menyangka dapat melawan gangguan itu namun keadaan menjadi semakin teruk. Mereka rasa tertekan dan akhirnya terpaksa pergi ke hospital untuk mendapatkan kepastian penyakit yang dialami dan rawatannya.

Menurut Pengarah Urusan Konsultan Motivasi dan Kaunseling Hushim Salleh, kebimbangan melampau merujuk kepada situasi terlampau risau dengan perkara remeh sedangkan pada akal fikiran yang waras, hal itu dapat diselesaikan dengan mudah.
Antara spektrum penyakit itu adalah serangan panik yang mana kerisauan itu muncul tiba-tiba. Simptomnya pula seperti jantung berdegup kencang, nafas sesak dan badan berpeluh yang datang secara mendadak sehingga pesakit berasa ‘mahu mati’.
Jika hal ini terjadi, seseorang tidak seharusnya berdiam diri sebaliknya disaran merujuk kepada pakar psikiatri dan psikologi yang akan menilai selain mencadangkan rawatan susulan.
Pun demikian, timbul pandangan nakal kononnya penyakit kebimbangan ini dikaitkan dengan masalah jiwa, sakit mental atau dengan istilah mudah, gila.
“Terdapat beberapa punca seseorang mengalami kebimbangan melampau apabila tidak dapat mencapai target dan mengalami ketidakseimbangan dalam hidup.
“Lebih membimbangkan, masih ramai turut merasai impak pandemik pada masa ini meskipun negara sudah masuk ke fasa endemik. Isu buang kerja dilihat menjadi punca kepada masalah lain seperti pergaduhan rumah tangga dan penceraian. Ada yang meluahkan niat untuk bunuh diri. Ada pula klien remaja enggan sambung sekolah kerana ingin bekerja membantu ibu bapa,” katanya.
Mengulas lanjut, Hushim berkata, punca ini menjadi faktor seseorang mengalami kebimbangan melampau kerana mereka terlalu banyak berfikir. Situasi di tempat kerja pun turut menyumbang.
Hakikatnya, ini antara jenis penyakit mental yang lazim. Satu kajian komuniti di Malaysia menunjukkan sekitar lapan peratus rakyat dewasa negara ini mengalami gejala kebimbangan melampau. Oleh sebab penyakit itu tidak dapat dilihat secara fizikal, banyak kes yang tidak dirawat.
“Ramai salah faham kerana pemeriksaan kesihatan biasanya mendapati fizikal seseorang itu sihat, pesakit anxiety sering dianggap mengadakan-adakan masalah. Lebih buruk, ada yang tidak dapat sokongan ahli keluarga dan persekitaran.
“Salah faham ini perlu diperbetulkan kerana jika tidak dirawat, ia boleh beri kesan jangka panjang pada pesakit,” katanya.
Justeru, Hushim menasihatkan keluarga dan rakan-rakan pesakit memahami dan jangan meremehkan perasaan pesakit.
“Bantu mengendalikan tekanan. Dorong mereka mendapatkan bantuan profesional sekiranya masih belum berbuat demikian,” ujarnya lagi.

Tips bantu pekerja atasi kebimbangan melampau

Majikan perlu mempunyai dasar kerja sebelum memberi arahan kepada pekerja. Perkara ini penting bagi memastikan pekerja menyiapkan tugasan seperti ditetapkan. Sekiranya majikan atau ketua dalam kumpulan kerja tidak mempunyai dasar kerja yang jelas dan sentiasa berubah-ubah, ia pasti memberikan tekanan kepada pekerja.
Pekerja juga perlu mempunyai pengurusan waktu yang baik untuk memastikan tugasan diberikan disiapkan tanpa tertekan.
Keterbukaan kedua-dua pihak menerima kritikan atau pandangan perlu kerana memendam rasa tidak berpuas hati terlalu lama mengakibatkan seseorang mengalami masalah mental, kebimbangan melampau.
Meluaskan jaringan komunikasi.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN