fbpx

Gastroparesis jejaskan kualiti hidup

Pernahkah anda berasa loya dan muntah makanan yang tidak dicerna? Ini menyebabkan anda sering mengambil cuti sakit dan menjejaskan kualiti hidup.
Malangnya, anda tidak tahu puncanya dan biasanya hanya menyangka ia disebabkan perut ‘masuk angin’. Sebenarnya anda tidak masuk angin sebaliknya gastroparesis iaitu satu keadaan yang mengganggu pergerakan spontan normal otot (motility) dalam perut.
Menurut Pakar Hepatologi dan Gastroenterologi Hospital KPJ Pasir Gudang, Johor, Dr. Nor Aizal Che Hamzah, kebiasaannya, pengecutan otot yang kuat akan menggerakkan dan menolak makanan dari perut untuk masuk ke usus kecil dan seterusnya ke bahagian saluran penghadaman anda.
“Namun, jika anda mempunyai gastroparesis, pergerakan perut akan menjadi perlahan atau tidak berfungsi langsung. Hal ini akan menyebabkan perut tidak dapat dikosongkan dengan baik dan makanan tidak dapat dihadam.
“Punca gastroparesis biasanya tidak diketahui. Kadangkala ia komplikasi penyakit diabetes dan sesetengah orang mengalami gastroparesis selepas pembedahan,” katanya.
Selain itu, terdapat punca gastroparesis termasuk ubat-ubatan tertentu seperti ubat penahan sakit opioid, sesetengah antidepresan, ubat tekanan darah tinggi dan ubat alahan, boleh menyebabkan pengosongan gastrik perlahan dan menyebabkan gejala yang sama.
Tambah beliau, bagi orang yang sudah mempunyai masalah gastroparesis, ubat-ubatan ini boleh memburukkan lagi keadaan.
“Gastroparesis boleh mengganggu pencernaan normal, menyebabkan loya, muntah dan sakit perut. Ia juga boleh menyebabkan masalah dengan paras gula darah yang tidak stabil dan malnutrisi.
“Walaupun tiada ubat yang spesifik untuk gastroparesis, perubahan pada diet pesakit, bersama-sama dengan ubat-ubatan tertentu, boleh memberikan sedikit kelegaan,” jelasnya.
Dr. Nor Aizal menambah, situasi ini selalu tidak jelas penyebab gastroparesis, tetapi dalam beberapa kes ia boleh disebabkan oleh kerosakan pada saraf yang mengawal otot perut (saraf vagus).
“Saraf vagus membantu menguruskan proses kompleks dalam saluran penghadaman anda, termasuk memberi isyarat kepada otot dalam perut untuk mengecut dan menolak makanan ke dalam usus kecil.
“Saraf vagus yang rosak tidak boleh menghantar isyarat normal kepada otot perut. Ini boleh menyebabkan makanan kekal di dalam perut lebih lama dan tidak bergerak ke dalam usus kecil untuk dihadam,” jelasnya.
Dalam keadaan teruk, saraf vagus boleh rosak disebabkan penyakit seperti diabetes atau melalui pembedahan pada perut atau usus kecil.
Pesakit juga akan berhadapan dengan masalah kerana makanan yang tidak dicerna akan mengeras dan kekal di dalam perut. Ini kerana makanan yang tidak dicerna dalam perut boleh mengeras menjadi jisim pepejal yang dipanggil bezoar. Bezoar boleh menyebabkan loya dan muntah dan mungkin mengancam nyawa jika ia menghalang makanan daripada masuk ke dalam usus kecil.
“Penyakit ini juga menyebabkan perubahan kadar gula dalam darah yang tidak stabil dan tidak menentu. Gastroparesis mengganggu pergerakan normal perut dan menyebabkan penghadaman dan penyerapan nutrien yang tidak menentu dalam usus kecil.
“Ini boleh menyebabkan perubahan, paras gula yang tidak stabil di dalam darah, sama ada gula yang terlalu tinggi (hyperglycaemia) atau terlalu rendah (hypoglycaemia). Perubahan yang tidak stabil ini boleh menjadikan penyakit diabetes teruk. Seterusnya, kawalan paras gula darah yang lemah ini pula akan menjadikan gastroparesis juga lebih serius,” jelasnya.

Simptom
Tanda dan gejala gastroparesis termasuk:
 Muntah-muntah
 Loya
 Perut kembung
 Sakit perut
 Rasa kenyang selepas makan hanya beberapa suap
 Muntah kembali makanan yang tidak dicerna, yang telah dimakan beberapa jam lalu
 Refluks asid
 Perubahan paras gula dalam darah
 Kurang selera makan
 Penurunan berat badan dan kekurangan zat makanan

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko gastroparesis:
 Kencing manis
 Pembedahan perut atau esofagus
 Jangkitan, biasanya daripada virus
 Ubat-ubatan tertentu yang memperlahankan kadar pengosongan perut, seperti ubat sakit narkotik
 Scleroderma – penyakit autoimmun
 Penyakit sistem saraf, seperti Parkinson atau multiple sclerosis
 Tiroid kurang aktif (hipotiroidisme)

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN