Apa jadi bila kurang air dalam badan? - Utusan Malaysia

Apa jadi bila kurang air dalam badan?

Dr. Nor Liyana Khairuddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AIR merupakan elemen penting kepada kehidupan. Dalam tubuh manusia misalnya, ia bahan utama di dalam darah, sistem limfa dan peluh. Malah, permukaan bumi ini sendiri diliputi 71 peratus air, memberi tanda pentingnya elemen tersebut.
Namun, pernahkah kita terfikir, bagaimana air menjalankan fungsinya kepada tubuh badan?
Menjawab persoalan ini, Mingguan Malaysia mendapatkan pandangan Pegawai Perubatan yang juga Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) dari Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr. Nor Liyana Khairuddin.

KEPENTINGAN AIR KEPADA TUBUH
Katanya, air adalah penting untuk kesihatan tubuh badan.
“Air mengandungi sifar kalori dan ini boleh membantu kita menjaga berat badan dan mengurangkan pengambilan air berkalori tinggi seperti soda dan minuman ringan lain.
“Air adalah penting bagi hidrasi tubuh untuk menjalankan fungsi-fungsi penting,” katanya baru-baru ini.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI KEPADA TUBUH?
Katanya, antara fungsi air termasuk menyelaraskan suhu badan, membekalkan nutrien kepada organ tubuh badan, mem­bantu proses penghadaman yang baik dan mengelak daripada sembelit.
“Pada masa sama, ia bertindak sebagai cecair yang membawa oksigen kepada sel dalam tubuh, menjadi agen pembuang bahan toksik, malah bertindak sebagai pelincir kepada sendi dan organ kita,” katanya.

KESAN KURANG AIR
Katanya, tubuh yang kurang air terdedah kepada bermacam-macam masalah.
“70 peratus daripada badan kita adalah air. Badan kehilangan air menerusi pembuangan air kencing, pernafasan dan berpeluh. Tanpa air yang mencukupi untuk badan kita, ia akan mendatangkan pelbagai kesan negatif.
“Ia akan mengakibatkan kita letih, tidak bermaya, sakit kepala, sakit otot, sembelit dan kulit yang kering.
“Sekiranya kekurangan air pada tahap teruk sehingga menyebabkan dehidrasi melampau, seseorang boleh mengalami tekanan darah rendah, demam, sawan dan pengsan serta mengalami kerosakan buah pinggang,” jelasnya.

JENIS AIR YANG DISYORKAN
Tambahnya, meski kini terdapat pelbagai jenis air, namun air mineral adalah pilihan yang terbaik.
“Sentiasa memilih air yang berkalori rendah dan kurang kandungan gula.Kepada peminat teh dan kopi, boleh mengambil teh dan kopi tanpa gula.
“Jus buah-buahan pula, elok­lah yang dibuat sendiri tanpa tambahan gula dan pengawet,” katanya.

KUANTITI YANG PERLU
Katanya, terdapat pelbagai jawapan untuk kuantiti air yang disyorkan.
“Banyak kajian yang dijalankan untuk menjawab soalan ini. Keperluan air seseorang bergantung kepada pelbagai faktor seperti umur, cara hidup dan tahap kesihatan seseorang itu.
“Institute of Medicine pernah menyatakan untuk perempuan dewasa, lebih kurang 2.5 liter manakala untuk lelaki dewasa, kuantiti yang ideal adalah lebih kurang 3.5 liter sehari. Ini termasuk semua jenis air sama ada dari sumber makanan mahupun minuman,” katanya.
Pun begitu, katanya seseorang itu mungkin perlu mengambil jumlah yang lebih sekiranya bekerja di tempat yang panas, sedang mengandung atau aktif bersukan.
“Sementara itu, sese­orang mungkin perlu mengurangkan jumlah peng­ambilan air sekiranya mengalami masalah kesihatan buah pinggang,” terangnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya