Diet salah punca gigi reput & penyakit gusi - Utusan Malaysia

Diet salah punca gigi reput & penyakit gusi

Peningkatan kaviti dan penyakit gusi, berpunca daripada perubahan diet dan kebersihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pandemik memberi impak negatif kepada banyak perkara termasuk kesihatan mulut.

Institut Dasar Kesihatan Persatuan Pergigian Amerika mendedahkan sewaktu tempoh pandemik, sebanyak 31 peratus lebih ramai mengunyah gula-gula, 21 peratus tidak memberus gigi pada waktu pagi dan 24 peratus tidak menggunakan flos.

Situasi ini mendorong berlakunya pereputan dan penyakit gusi.

Pakar Perunding Ortodontik, Dr. Mumtaj Nisah Abd. Rahim berkata, kesihatan oral yang tidak didiagnosis menyebabkan jumlah pesakit dengan penyakit gigi meningkat dengan progresif.

Katanya, ia berlaku berikutan pesakit tidak sedar mengenai perkembangan penyakit oral. Lebih-lebih lagi ia tidak dapat dilihat jelas dengan mata sendiri.

DR. MUMTAJ NISAH ABD. RAHIM

“Pereputan gigi dan masalah gusi boleh dihindari jika ia dikesan lebih awal. Kaviti ini pada peringkat akhirnya akan menembusi lapisan dentin gigi.

“Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan pereputan hingga sampai ke saraf. Malangnya, pada peringkat itu, prosedur rumit dan menyakitkan, seperti rawatan salur akar dan crown atau mungkin pengekstrakan dan implan gigi diperlukan untuk menyelamatkan gigi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Satu perempat daripada doktor gigi melaporkan peningkatan kaviti dan penyakit gusi, berpunca daripada perubahan diet dan kebersihan. Kesukaran pesakit mengakses penjagaan gigi dan takut terdedah kepada virus Covid-19, antara punca pesakit tidak mendapatkan rawatan.

ORAL & MENTAL

Dr. Mumtaj memberitahu, walaupun mudah untuk melangkau lawatan ke klinik pakar ortodontik, realitinya kesihatan oral adalah sebahagian daripada kesejahteraan fizikal, dan psikologi individu.

“Kesihatan oral dan mental saling memiliki hubung kait. Penyakit gusi dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit, termasuk diabetes, Alzheimer, penyakit kardiovaskular dan jangkitan pernafasan.

“Bersama-sama dengan pereputan gigi, ia juga dikaitkan dengan hasil sosioekonomi yang lemah. Kanak-kanak yang mempunyai kaviti, misalnya cenderung ketinggalan lebih banyak hari persekolahan dan lebih teruk daripada segi akademik berbanding mereka memiliki gigi yang sihat,” katanya.

Diabetes turut meningkatkan risiko masalah kesihatan mulut, manakala penyakit gusi dikaitkan dengan gula darah yang lebih tinggi, yang mungkin membuat anda lebih terdedah kepada diabetes jenis 2.

Institut Kesihatan Negara (NIH) mendedahkan individu mengalami gusi berdarah dan penyakit periodontal mempunyai kemungkinan lebih tinggi mengalami masalah kognitif berkaitan usia, termasuk Alzheimer dan demensia.

“Selain mendapatkan rawatan gigi setiap enam bulan sekali, individu turut disaran untuk mengamalkan kebersihan oral dengan baik,” katanya.

PENDAKAP GIGI

Dr. Mumtaj menjelaskan, bagi individu memakai pengikat gigi, mereka perlu kekal bermotivasi seperti melaksanakan kebersihan oral seperti memberus gigi tiga kali sehari menggunakan berus gigi standard, diikuti penggunaan berus interproksimal. Ubat kumur fluorida (225ppm), sekurang-kurangnya sekali sehari turut perlu.

“Amalkan diet rendah gula. Elakkan mengambil semua snek bergula dan minuman dengan gula tambahan terutamanya minuman bergas.

“Elakkan makanan keras dan melekit yang boleh memutuskan wayar atau kurungan (pendakap) pada gigi. Ia penting dalam mengurangkan kejadian kecemasan ortodontik.

“Jika teragak-agak untuk membuat janji temu kerana wabak Covid-19, ambil gambar masalah gigi dan hantar kepada pakar ortodontik bagi mendapatkan nasihat sewajarnya,” katanya.

MENGISAR GIGI

Mengisar gigi dan mengetap rahang (bruksisme) selalunya adalah berkaitan dengan stres atau kebimbangan.

Walaupun ia tidak menyebabkan simptom khusus, tetapi sesetengah orang boleh mengalami sakit bahagian muka dan sakit kepala.

“Ada juga yang mengalami kekakuan sendi rahang (sendi tempomandibular) dan otot sekeliling yang boleh membawa kepada gangguan temporomandibular (TMD),” katanya.

Dr. Mumtaj berkata, dalam jangka masa panjang, ia boleh merosakkan gigi yang mana ia boleh menyebabkan peningkatan sensitiviti dan kehilangan gigi.

Menggunakan pelindung mulut atau mouth splint pada waktu malam antara kaedah boleh mengurangkan risiko mengisar gigi.

Kaedah itu katanya, berupaya mengurangkan sensasi mengetap atau mengisar gigi. Alat ini juga membantu mengurangkan kesakitan dan mencegah kehausan gigi dan melindunginya daripada kerosakan lanjut.

Rawatan lain termasuk senaman relaksasi otot dan kebersihan tidur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN