Tiada penularan wabak kolera di Selangor - Utusan Malaysia

Tiada penularan wabak kolera di Selangor

DR. SHA’ARI NGADIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan tiada kes kolera baharu dikesan sehingga kini selepas satu kes penyakit itu dilaporkan membabitkan seorang wanita tempatan dari daerah Petaling pada 21 Oktober lalu.

Menurut Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr.Sha’ari Ngadiman berkata, wanita berusia 56 tahun tersebut telah sembuh sepenuhnya selepas mendapatkan rawatan.

“Hasil siasatan mendapati pesakit mengalami gejala cirit-birit teruk dan mendapatkan rawatan pada hari yang sama di sebuah fasiliti kesihatan swasta. Kes dirawat sebagai pesakit luar dan diambil sampel najis untuk ujian.

“Keputusan ujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) menunjukkan kehadiran bakteria vibrio cholerae, serogroup 01 dan serotype ogawa. Susulan itu, semua kontak rapat telah disaring termasuk pengendali makanan yang terlibat dan pengambilan sampel persekitaran juga dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, siasatan lanjut dijalankan secara menyeluruh, namun JKNS tidak dapat mengenal pasti punca jangkitan, selain tiada kes baharu diterima pihaknya selepas itu.

“Oleh demikian, seiring dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM), JKNS ingin menegaskan bahawa penyakit kolera berupaya merebak dengan cepat dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera. JKNS akan sentiasa memantau situasi semasa di Selangor bagi membendung sebarang kemungkinan perebakan penyakit tersebut.

“Masyarakat diseru minum air yang dirawat atau dididihkan, mengamalkan kebersihan diri, mencuci tangan, mendapatkan rawatan segera sekiranya mempunyai gejala kolera dan tidak makan makanan mentah atau tidak dimasak sempurna,” ujarnya.

Berdasarkan informasi di portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), taun adalah salah satu penyakit bawaan air dan makanan yang utama, ia disebabkan oleh jangkitan bakteria.

Mereka yang dijangkiti akan mengalami cirit-birit. Gejala yang teruk boleh membawa maut kerana dehidrasi yang teruk. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya