fbpx

Awas, artritis reumatoid serang orang muda

Dr. Badrul Shah Badaruddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA biasa mendengar bahawa golongan tua terdedah kepada pelbagai penyakit berkaitan sendi. Namun, ini bukan bermakna orang muda bebas atau terkecuali daripada dihinggapi penyakit yang disebut artritis ini.

Artritis adalah penyakit sendi yang menyebabkan rasa sakit, kaku, bengkak dan kemerahan pada bahagian yang dihidapi.

Terdapat 10 jenis artritis yang diketahui, bagaimanapun lima jenis yang paling biasa dihidapi masyarakat seluruh dunia, iaitu osteoartritis, fibromyalgia, gout, artritis rheumatoid, dan lupus.

Antara kesemua jenis sakit sendi itu, artritis reumotoid kini paling kerap menyerang golongan muda. Artritis reumatoid adalah gangguan keradangan kronik yang memberi kesan pada dinding sendi.

Menurut Pakar Bedah Ortopedik, Artritis dan Sukan Hospital ALTY Orthopedic, Datuk Dr. Badrul Shah Badaruddin, artritis reumatoid adalah penyakit autoimun dan sistemik, yang bermakna ia mampu menyerang seluruh badan.

“ Sesiapa sahaja berpotensi untuk menghidap artritis reumatoid, tanpa mengira peringkat usia, malah lapan dalam setiap 100,000 individu berusia 18 hingga 34 tahun didapati menghidap artritis reumatoid. Di Malaysia, lebih kurang lima dalam 1,000 individu mengalami kondisi ini,” katanya.

Tambah beliau, terdapat beberapa punca penyakit ini boleh menyerang golongan muda. Ini termasuk jantina yang menunjukkan penyakit ini kerap menyerang wanita. Selain itu, tabiat merokok turut meningkatkan risiko dan menjadikan keadaan lebih teruk.

“Faktor genetik turut dikaitkan walaupun tiada gen khusus yang menyebabkan artritis reumatoid, terdapat kecenderungan genetik yang memerlukan sesuatu pencetus untuk memulakannya. Tidak ketinggalan, mereka yang obesiti atau berat badan berlebihan akan memberi tekanan pada sendi,” jelasnya.

Tanda-tanda awal

Menurut Dr. Badrul, antara tanda-tanda awal artritis reumatoid adalah kekejangan pada mana-mana bahagian sendi kecil. Ia biasanya terjadi pada tangan dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa.

“ Kekejangan ini lazimnya berlaku secara beransur-ansur, namun ia juga boleh terjadi serta-merta. Ia juga boleh menyerang pada waktu pagi atau selepas tempoh ketidakaktifan yang lama. Apabila sendi menjadi kejang, pergerakan individu akan terjejas.

“Pesakit juga akan mengalami sakit sendi yang biasanya akan menjadi lebih ringan selepas mengalami kekejangan, dan kesakitan boleh dirasai walaupun ketika sedang berehat. Jari-jemari dan pergelangan tangan adalah anggota paling kerap terkesan, dan kesakitan juga boleh dialami pada lutut, bahu, kaki dan pergelangan kaki. Sakit sendi menjejaskan kualiti hidup kerana aktiviti ringkas seperti menaip atau memasak juga boleh menjadi amat menyakitkan,” katanya.

Pesakit juga akan mengalami keradangan sendi dan boleh menyebabkan sendi kelihatan lebih besar. Malangnya, pembengkakan sendi bersimetri juga merupakan tanda kewujudan penyakit ini.

Tambah Dr. Badrul, keradangan boleh memberi kesan terhadap tendon dan ligamen, lantas menjurus kepada kecacatan yang mampu membataskan julat pergerakan (range of motion), maka tugas-tugas yang mudah akan menjadi lebih sukar untuk dilakukan.

“Apabila anggota sendi mengalami keradangan, ia akan memberi tekanan pada saraf dan menjurus kepada kekebasan atau sensasi sesemut, khususnya di tangan dan mungkin tidak menyelesakan serta mengkhuatirkan,” ujarnya.

Mereka yang mengalami simptom-simptom tersebut harus memberi perhatian ke atas petanda lain. Misalnya, jika demam dan mengalami mana-mana simptom ini, maka ia mungkin memberi indikasi mengenai kewujudan artritis reumatoid.

Tambahnya, meskipun begitu, ia merupakan petanda dan simptom yang paling lazim sahaja. Kajian mendapati 40 peratus individu yang mempunyai artritis reumatoid juga mengalami tanda-tanda dan simptom yang tidak melibatkan sendi.

Artritis reumatoid juga boleh menjejaskan banyak anggota badan lain selain sendi. Ia meliputi kulit, mata, paru-paru, jantung, buah pinggang, kelenjar liur, tisu saraf, sumsum tulang dan saluran darah.

“Mereka yang berusia 35 tahun ke bawah perlu memikirkan tentang cara mencegahnya dari awal dan mengambil langkah yang betul untuk mengurangkan risiko kekejangan dan sakit sendi. Terdapat bukti jelas menunjukkan korelasi antara artritis dan gaya hidup seseorang. Dengan kekal aktif secara jasmani, ia dapat memelihara kebolehan kita untuk bergerak.

“Memandangkan penyakit artritis reumatoid sukar dijangka, langkah pencegahan adalah mustahak. Hentikan tabiat merokok, kekalkan berat badan pada paras sihat dan hadkan pendedahan terhadap pencemaran alam,” katanya.

Walaupun penyakit ini tiada penawarnya, Dr. Badrul yakin, keupayaan rawatan telah berkembang dengan pesat sejak kebelakangan ini dan rawatan yang dimulakan pada peringkat awal terbukti bermanfaat.

“Jika anda mengalami kesakitan, jangan pandang mudah. Paras daya toleransi kesakitan bagi generasi yang muda mungkin lebih tinggi, namun ia tidak bermakna anda boleh culas, tubuh badan anda berkomunikasi menggunakan kaedah seperti ini. Kesihatan tulang dan sendi harus diutamakan pada setiap masa sama ada kita sedang dilatari pandemik atau sebaliknya,” katanya.

Artritis reumatoid adalah penyakit yang boleh datang pada bila-bila masa, tanpa mengira peringkat usia. Oleh itu, rujuk pakar kesihatan, buat pemeriksaan dan ambil langkah sewajarnya.

Rawatan
Penjagaan sendi yang optimum adalah mustahak
Senaman sendi – Boleh mendapat nasihat daripada jurupulih anggota.
Splint dan alat modifikasi. Rawatan dan rundingan dengan jurupulih cara kerja adalah penting untuk memberi tunjuk ajar perlindungan dan penggunaan sendi yang lebih berkesan.
Ubat penahan sakit seperti NSAIDs (non-steroidal anti-inflammatory drugs)
Ubat-ubatan untuk mengelakkan kerosakan sendi (disease-modifying anti-rheumatic drugs) seperti sulphasalazine, methotre xate dan leflunomide – ia tidak bertindak serta-merta.
Steroid – Kadang­kala diperlukan meredakan keradangaan sementara menunggu ubatan DMARD bertindak. Tidak digunakan secara berpanjangan. Pembedahan – Diperlukan bagi kes tertentu di mana terdapat kerosakan sendi teruk.

POPULAR

KOSMO! TERKINI