fbpx

20 Mei 2022, 3:16 am

  TERKINI

mySalam kembali, manfaat untuk golongan B40

STAF mySalam bersama barisan hadapan di PKRC Serdang semasa program taklimat manfaat Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 tidak perlu lagi bimbang sekiranya masih belum mempunyai perlindungan diri seandainya sebarang musibah berlaku pada masa hadapan.

Hal ini kerana, Kementerian Kewangan Malaysia melalui syarikat Great Eastern Takaful  menyediakan skim Perlindungan B40 – mySalam bagi ahli mySalam yang terdiri daripada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta mana-mana individu yang layak mengikut kriteria ditetapkan kerajaan.

Menurut Ketua Skim mySalam, Khairul Anuar Che Yeop, skim takaful berkenaan masih mengekalkan manfaat dan ciri-ciri sedia ada.

Beliau menambah bahawa terdapat penambahbaikan skim pada tahun ini iaitu ahli mySalam kini berpeluang untuk mendapatkan bantuan alatan perubatan yang melibatkan proses tuntutan yang sedikit berbeza berdasarkan kelayakan bermula dari 1 April 2021 yakni ahli mySalam perlu berurusan secara terus dengan Pegawai Kerja Sosial Perubatan di setiap hospital panel bagi tujuan tuntutan.

“Sebagai contoh berkenaan manfaat bantuan alat perubatan bagi tahun ini,  ahli mySalam boleh mendapatkan bantuan sten jantung  yang layak dituntut bagi pesakit yang dimasukkan ke wad sahaja dan tidak termasuk pesakit yang menerima rawatan harian (hospital) serta rawatan di rumah.

“Selain itu, manfaat ini hanya tertakluk kepada peralatan perubatan yang diperlukan akibat daripada hospitalisasi sahaja dan tidak merangkumi  ubat-ubatan ataupun keperluan pakai buang seperti susu dan lampin penggunaan tunggal ,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Seterusnya, permohonan bantuan alat perubatan tersebut akan diproses oleh Peka B40 atau Tabung Bantuan Alat Perubatan. Setelah tuntutan diluluskan, pesakit akan menerima alatan tersebut.

“Namun begitu, perlu ditekankan bahawa terdapat had yang telah ditetapkan bagi setiap jenis alat bantuan perubatan yang disenaraikan dalam manfaat ini yang ditanggung kos pembeliannya oleh  mySalam,” katanya.

Skim mySalam merupakan inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan diberikan kerajaan secara percuma yang bertujuan memberikan perlindungan takaful kepada individu yang layak menerima manfaat melalui Tabung Amanah mySalam.

Skim tersebut menyasarkan tiga kumpulan penerima BPR iaitu individu berumur antara 18 hingga 65 tahun dan pasangan; individu bujang berumur antara 40 hingga 65 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM24,000 setahun dan individu Orang Kelainan Upaya (OKU) berumur antara 18 hingga 65 tahun serta berpendapatan kurang daripada RM24,000 setahun.

Skim ini juga memberi manfaat kepada individu sehingga RM30,000 setahun yang akan digunakan untuk semua tuntutan alatan perubatan sehingga jumlah yang diperuntukkan habis digunakan. Manfaat ini telah bermula sejak 1 April lalu.

Selain itu mySalam turut menawarkan manfaat penyakit kritikal bagi ahli yang didiagnos dengan salah satu daripada 45 penyakit kritikal dalam tempoh perlindungan akan menerima bantuan tunai sebanyak RM8,000 sekali seumur hidup selain daripada manfaat hospitalisasi sebanyak RM50 sehari, terhad kepada 14 hari setahun.

Sebagai rekod, setakat 31 Mei 2021, sejumlah RM49,534,800 tuntutan telah diluluskan kepada penerima mySalam, kelulusan RM61,023,750 bagi tuntutan Covid-19 sejak awal penularan wabak dan jumlah tuntutan bulanan tertinggi telah diluluskan kepada penerima mySalam untuk tahun ini adalah sebanyak RM11,237,350.

Kata Khairul Anuar lagi, bagi penerima yang ingin membuat tuntutan disebabkan jangkitan Covid-19, mereka yang dimasukkan ke wad akibat wabak berkenaan boleh menuntut elaun hospital sebanyak RM50 sehari, terhad kepada 14 hari setahun.

“Komplikasi yang berpunca daripada virus Covid-19 yang mengakibatkan salah satu daripada 45 jenis penyakit kritikal tersenarai boleh dituntut di bawah manfaat Penyakit Kritikal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memudahkan orang ramai membuat tuntutan, mendapatkan maklumat lanjut serta membuat semakan, pihaknya telah  mewujudkan 141 kios beroperasi di hospital panel melibatkan hospital kerajaan, hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan hospital universiti dengan dibantu kru seramai 292 orang.

“Pihak kami juga sedang dalam perancangan dan bekerjasama dengan ATM untuk menambah kios di hospital tentera seluruh negara untuk menjadikan jumlah keseluruhan kios kepada 150 buah di seluruh negara namun kami masih perlu mendapat kelulusan akibat sekatan pergerakan penuh yang berlangsung ketika ini,” katanya.

KRU mySalam Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom membuka kaunter bagi warga penjara Kluang termasuk banduan bagi penyampaian informasi dan penghantaran tuntutan.

Berkenaan cara membuat tuntutan penyakit kritikal dan hospitalisasi, orang ramai boleh merujuk langkah dan tatacara berkaitan dengan melayari www.mysalam.com.my dan mengikut arahan selanjutnya serta memuat naik beberapa dokumen tuntutan berkaitan seperti Borang Penyakit Kritikal dilengkapkan doktor yang merawat, salinan dokumen pengenalan diri dan salinan nota discaj.

Pada masa yang sama bagi mereka yang tidak mempunyai akses internet atau kurang arif dalam menggunakan cara dalam talian, mereka disarankan untuk pergi ke hospital-hospital kerajaan terdekat untuk dibantu kru mySalam dalam membuat tuntutan atau memberi penerangan lanjut mengenai skim dan sebagainya. Setiap petugas di kios mySalam telah dibekalkan dengan latihan dan peralatan yang mencukupi untuk membantu orang ramai.

“Tuntutan yang diluluskan akan dimaklumkan kepada penerima melalui mesej pesanan ringkas (SMS) dan maklumat ini juga akan dimuat naik ke portal mySalam.

“Great Eastern Takaful akan memproses bayaran untuk semua tuntutan yang berjaya dengan mengkreditkan tunai secara terus ke dalam akaun penerima manfaat seperti yang didaftarkan dengan skim BPR ,” katanya.

Selain itu, tempoh masa yang diambil untuk pembayaran tuntutan dikreditkan ke akaun penerima adalah dalam jangka masa sepuluh hari bekerja atau kurang namun tertakluk kepada penerimaan dokumen tuntutan yang lengkap.

Jelasnya, sekiranya tuntutan tersebut lulus untuk pembayaran, transaksi e-kredit akan selesai dalam jangka masa tiga hari bekerja.

“Sekiranya anda telah mengemukakan tuntutan dan 10 hari telah berlalu sejak tuntutan dikemukakan, kami mengesyorkan anda untuk log masuk ke portal mySalam bagi mendapatkan maklumat status tuntutan atau hubungi talian 1 300 88 8938,” katanya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI