TUSUKAN atau suntikan hujung jari, rutin biasa bagi penghidap diabetes untuk memantau paras glukosa.
Ia perlu dilakukan beberapa kali sehari dalam memastikan ia berada dalam julat glukosa normal.
Kaedah itu bukan sahaja agak menyakitkan malah menimbulkan kesulitan untuk mendapatkan bacaan tepat.
Baru-baru ini pemantauan paras glukosa adalah lebih mudah, menyenangkan dan menjadi satu rutin harian FreeStyle Libre diperkenalkan.
Ia memberikan bacaan glukosa tepat dan segera tanpa memerlukan tusukan atau suntikan pada jari.
Ia memiliki sensor kecil yang dipasang di belakang lengan untuk mengukur paras glukosa bagi setiap minit.
Menerusi filamen kecil dengan kepanjangan 5.5 milimeter, ia dimasukkan betul-betul di bawah kulit dan kekal terletak di tempatnya dengan pad pelekat kecil.
Imbasan pantas sensor menggunakan alat pembaca kecil memberikan bacaan glukosa semasa dan gambaran terperinci paras glukosa pengguna.
Tanpa memerlukan tusukan jari, suatu rutin yang menyakitkan atau pelarasan harian. Ia membolehkan terapi atau perubahan gaya hidup dapat dilakukan dengan lebih baik.
Teknologi pengawasan glukosa secara berterusan (CGM) terulung di dunia ini, boleh digunakan penghidap diabetes dalam kalangan dewasa hinggalah kanak-kanak berusia empat tahun dan ke atas.
PILIHAN
Pengurus Besar Bahagian Penjagaan Diabetes di Abbott, Robert Wagner berkata, teknologi diperkenalkan itu memberikan lebih pilihan kepada pesakit dalam menguruskan diabetes. Sama ada menerusi pelarasan diet, ubat-ubatan atau gaya hidup.
“Teknologi ini berupaya memberikan maklumat berguna. Antaranya paras glukosa semasa, sejarah glukosa selama lapan jam, penunjuk trend perubahan paras glukosa dan masa di dalam julat normal.
“Kami teruja memperkenalkan sistem ini dalam usaha membantu rakyat negara ini memanfaatkan teknologi yang telah mengubah cara berjuta-juta orang menguruskan diabetes di peringkat global,” katanya.
Sementara itu Pakar Runding Endokrinologi, Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Zanariah Hussein berkata, pemantauan sendiri paras glukosa darah menerusi tusukan jari mungkin menyebabkan ketidakselesaan dan kesulitan malah kadangkala menimbulkan tekanan sosial.
Katanya kajian dilakukan memperlihatkan kelebihan teknologi pemantauan glukosa yang baharu dalam menawarkan pilihan lebih mudah dan menyenangkan bagi penghidap diabetes adalah suatu keperluan.
Ujian klinikal dan data kajian real-world menunjukkan, pengguna sistem atau teknologi baharu itu, dapat mengawal paras glukosa.

Sama ada dengan lebih baik iaitu mengalami tempoh hiperglisemia dan hipoglisemia lebih singkat atau kadar kemasukan hospital serta paras hemoglobwin HbA1C lebih rendah. Pesakit turut boleh menikmati kualiti kehidupan lebih baik.
Kajian RELIEF di Perancis melibatkan kira-kira 75,000 penghidap diabetes, menunjukkan penggunaan teknologi baharu itu berupaya mengurangkan bilangan kemasukan hospital berkaitan ketoasidosis dalam kalangan penghidap diabetes Jenis 1 dan Jenis 2.
Data daripada Daftar Diabetes Kebangsaan Sweden pula menyatakan, penghidap diabetes Jenis 1 dan Jenis 2 dapat mengurangkan paras HbA1c mereka apabila menggunakan sistem teknologi baharu dalam tempoh tiga hingga sembilan bulan.










