Tulang betis Mohammad Danial tumbuh pantas menerusi rawatan sel stem - Utusan Malaysia

Tulang betis Mohammad Danial tumbuh pantas menerusi rawatan sel stem

Mohammad Danial menunjukkan kaki kanannya yang kian pulih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWATAN sel stem dan teknik Ilizarov berjaya mencatatkan pertumbuhan semula tulang betis pelumba negara, Mohammad Danial Syahmi Ahmad Sharil sepanjang 13 sentimeter (sm) dalam tempoh 10 bulan.

Justeru, Pakar Perunding Ortopedik Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC), Dr. Saw Khay Yong menyifatkan pertumbuhan tulang betis Mohammad Danial itu sebagai kejayaan luar biasa.

Katanya, sebelum ini pertumbuhan semula tulang dengan kadar yang dipercepat belum pernah dicapai atau didokumentasikan dalam rekod dunia.

“Rawatan bagi pertumbuhan semula tulang baharu dicatatkan KLSMC berukuran empat sentimeter,” katanya dalam sidang akhbar mengenai kejayaan rawatan sel stem terhadap pelumba muda itu di (KLSMC), baru-baru ini.Rawatan itu dilakukan pakar perubatan KLSMC.

Dr. Khay Yong berkata, kebiasaannya pertumbuhan semula tulang memakan masa dua kali lebih lama dan kualiti tulang yang dijana semula mungkin lebih rendah dibandingkan dengan kes pelumba negara itu.

Justeru, tanpa rawatan tepat pada masanya, Mohammad Danial mungkin akan kehilangan peluang berlumba lagi.

PROSES RAWATAN

Kata Dr. Khay Yong, dalam kes Mohammad Danial, beliau kehilangan tulang betis hancur iaitu Gustilo-Anderson Type IIIB.

“Dia mengalami luka parah dengan cantuman kulit terlebih pada tisu lembut yang terdedah. Penggunaan Sel Stem Darah Periferal (PBSC) dengan suntikan autologous yang menggunakan sel darah atlet itu mendorong pertumbuhan semula dan penyatuan tulang dengan Indeks Penyembuhan Tulang (BHI) dalam jangka masa singkat bagi tempoh 23 hari per sm.

“Seminggu selepas prosedur Ilizarov, PBSC akan diambil dan sel induk disuntik ke dalam tulang yang sedang tumbuh.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada tempoh pesakit menjalani rawatan dengan external fixator untuk mendapatkan ukuran panjang tulang,” katanya.

Dr. Khay Yong berkata, KLSMC itu menggabungkan sains sel stem, teknik pembedahan dan program fisioterapi untuk memperbaiki dan membaik pulih kecederaan tulang Mohammad Danial.

“Jika rawatan sel stem tidak digunakan, proses pertumbuhan tulang menggunakan kaedah tradisional akan mengambil jangka masa lama iaitu kira-kira dua tahun,” katanya.

Rawatan sel stem dan teknik Ilizarov
» Pertumbuhan semula tulang selalunya memakan masa dua kali lebih lama dan kualiti tulang yang dijana semula mungkin lebih rendah.
» KLSMC berjaya merawat lebih daripada 980 kes atau pesakit termasuk daripada luar negara dengan rawatan PBSC.

 

Dr. Khay Yong (kiri) memeriksa betis kanan Mohammad Danial yang dirawat menggunakan kombinasi sains sel stem, teknik pembedahan dan program fisioterapi.

KEMBALI BERAKSI

Tanggal 4 November 2018 menjadi sejarah hitam buat Mohammad Danial.

Pelumba muda berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan parah selepas terjatuh akibat dilanggar pelumba lain dalam perlumbaan sokongan Grand Prix Malaysia, Asia Talent Cup (ATC).

Tulang betisnya hancur kira-kira 10 sentimeter akibat kejadian itu.

Beliau ketika ditemui bersyukur dapat kembali semula ke litar perlumbaan selepas 15 bulan menjalani rawatan di pusat perubatan itu.

“Buat masa sekarang, saya sudah boleh berjalan tanpa tongkat. Saya terpaksa ubah gaya tunggangan kerana kecederaan. Tidak rasa sakit tetapi sukar untuk menilai tekanan itu ketika menekan brek,” katanya.

 

AKSI Mohammad Danial dalam kejohanan Grand Prix Malaysia, Asia Talent Cup (ATC).

Jelas beliau, semangat dirinya terus membara untuk berada di litar lumba lebih-lebih lagi sokongan ahli keluarga, rakan-rakan dan peminat sentiasa mengiringi langkahnya.

Sebagai sebahagian daripada rawatan, beliau turut menghabiskan masa di gimnasium melakukan latihan kardio bagi menguatkan semula anggota kakinya.

Atlet berasal dari Pulau Pinang itu kembali berlumba sejak Mac lalu bagi Asia Road Racing Championship di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN