‘Menggali’ keruntuhan tamadun Rom di Pompeii

‘Menggali’ keruntuhan tamadun Rom di Pompeii

TANPA khidmat pemandu pelancong, lawatan Pompeii mungkin sekadar menghayati runtuhan bangunan-bangunan purba yang ditinggalkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BASUH pakaian guna air kencing? Ya, tidak pernah saya terfikir najis manusia yang menjijikkan boleh menjadi bahan penting dalam proses membasuh pakaian ketika zaman pemerintahan Rom dahulu.

Amonia dalam air kencing yang disimpan dalam tempoh lama bertindak sebagai bahan pencuci semula jadi untuk menghilangkan kotoran degil dan memutihkan kain. Kebiasaannya pekerja terdiri daripada hamba abdi akan memijak-mijak kain selepas direndam air kencing selama berjam-jam sehingga hilang kotoran.

Sumber najis ini diperoleh secara percuma daripada orang ramai. Bekas-bekas besar diletakkan di tepi jalan bagi memudahkan orang ramai ‘melepaskan hajat’ masing-masing.

Sesudah penuh, ia dikutip lalu dibawa ke kedai dobi. Disebabkan sumber mudah diperoleh dan percuma pula, ia menjadi industri yang menguntungkan dan setakat ini 12 sisa runtuhan kedai dobi ditemukan arkeologi di Pompeii.

Sehinggakan Maharaja Vespasian yang memerintah Rom dari abad 69 hingga 79 Sebelum Masihi (SM) memperkenalkan cukai untuk air kencing yang dikumpul di tandas-tandas awam sebagai hasil pendapatan kerajaannya.

PINTU masuk ke Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Pompeii.

Agak geli dan jijik mendengar penerangan tersebut daripada pemandu pelancong bernama Paolo sewaktu melawat Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Pompeii terletak di Naples, Itali, baru-baru ini.

Namun, apa yang dianggap kotor itu sebenarnya merupakan antara kecanggihan dan kemodenan dalam kehidupan penduduk Pompeii. Kalau tidak menggunakan khidmat Paolo yang juga seorang arkeologi, saya dan keluarga mungkin tidak tahu mengenainya.

Barangkali tanpa Paolo, lawatan saya ke situ sekadar melihat runtuhan bangunan-bangunan purba yang ditinggalkan. Pompeii adalah satu-satunya tapak arkeologi di dunia yang memberikan gambaran lengkap tentang pelan perancangan sebuah bandar Rom purba.

Terpelecok

Menyusuri kota Pompeii tanpa kasut yang sesuai memang agak memeritkan. Berjalan di atas laluan dibina daripada blok-blok batu basalt (tahan lasak) yang dipotong berbilang segi membuatkan permukaannya tidak rata.

Dua, tiga kali jugalah kaki saya terpelecok sebab tersalah langkah. Bagaimanapun, sesuatu yang mencuri perhatian saya terdapat lintasan pejalan kaki (crosswalks) untuk membolehkan penduduk menyeberang jalan tanpa terpijak air atau najis.

Saya cuba lintasan pejalan kaki ini. Nampak mudah tapi agak mencabar kerana perlu buka langkah besar, mengah jugalah!

PENULIS mencuba lintasan pejalan kaki.

Kemudahan (lintasan pejalan kaki) yang dibina daripada bongkah-bongkah batu itu juga mempunyai alur-alur bagi membolehkan roda kereta kuda melaluinya. Kaki lima juga dibina tinggi lebih 30 sentimeter dari lantai bagi memastikan pejalan kaki tidak berada terlalu dekat dengan jalan yang kotor berikutan tiada sistem perparitan bawah tanah.

Status penduduk Pompeii ditonjolkan menerusi reka bentuk dan warna kediaman masing-masing. Golongan miskin tinggal di pondok-pondok berbumbungkan jerami di luar bandar.

Kalau di bandar, mereka menghuni di insulae berbentuk pangsapuri diperbuat daripada kayu, batu bata lumpur. Biasanya ada enam hingga lapan blok setinggi tiga tingkat yang dikelompokkan.

Jika terdapat banyak warna merah pula bererti pemiliknya merupakan seorang yang kaya raya atau berpangkat. Biasanya banyak pada ruang depan bagi menarik perhatian tetamu.

BANYAK warna merah menandakan pemilik rumah seorang yang kaya raya atau berpangkat.

Bagaimanapun, kebanyakan warna merah pada dinding ini sebenarnya berasal daripada kuning atau jingga. Tapi berubah menjadi merah akibat haba letusan gunung berapi.

Kami dibawa memasuki salah satu kediaman dinamakan Casa dei Vettii sempena pemiliknya yang merupakan bekas hamba abdi yang kaya raya, Aulus Vettius Conviva dan Aulus Vettius Restitutus.

Rumah ini dikenali kerana banyak fresko pada dinding, iaitu lukisan dihasilkan dengan cara mengecat di atas lapisan kapur yang masih basah.

Terdapat 12 lukisan kisah mitos boleh dilihat di empat buah bilik tidur dan satu ruang makan rasmi. Rumah ini dibuka semula kepada pelancong pada Januari 2023 selepas menjalani kerja-kerja pemulihan selama dua dekad.

Kami juga dibawa ke sebuah lagi kediaman, iaitu Casa del Fauno yang dibina pada abad ke-2 SM. Ia merupakan salah satu rumah golongan bangsawan paling mewah pada zaman Rom.

Setiap kediaman ini mempunyai laman dalaman di mana ada kolam di tengah-tengahnya untuk menampung air hujan. Air hujan akan masuk melalui lubang terbuka pada bumbung yang juga berfungsi menyediakan cahaya bagi menerangi ruang dalaman.

Kedua-dua kediaman ini antara binaan yang terselamat selepas letusan gunung berapi Vesuvius pada 79 Masihi. Kejadian itu mengakibatkan kota Pompeii musnah dan ribuan penduduknya terkorban serta tertimbus sedalam enam meter diliputi abu serta serpihan gunung berapi.

Akibatnya kota tersebut ‘hilang’ dalam peta selama berabad-abad sebelum ditemui semula pada akhir kurun ke-16. Rangka-rangka manusia pada detik-detik terakhir mereka sebelum terkorban boleh dilihat.

Ada yang mencangkung sambil kedua-dua tangan menekup hidung. Dipercayai menghalang daripada terhidu debu dan gas beracun yang dihasilkan oleh letusan gunung berapi. Juga ada rangka meniarap dan terlentang.

Dari Pompeii, Vesuvius kelihatan berdiri megah dan ia masih aktif. Kali terakhir meletus pada 1944.

GUNUNG berapi Vesuvius yang masih aktif boleh dilihat dari Pompeii.

Juga masih boleh dilihat runtuhan Basilica, iaitu bangunan besar berbentuk segi empat tepat dengan tiga lorong dikelilingi tiang-tiang dan serambi. Ia merupakan pusat mahkamah dengan urusan perdagangan dan kewangan turut rancak dijalankan di situ.

Ia terkenal kerana merupakan salah satu contoh binaan Rom tertua hingga memberi pengaruh kepada reka bentuk Basilica di Pompeii pada era selepas itu.

Makanan segera

Masyarakat Rom mengamalkan tabiat makan di luar rumah berikutan penemuan sekurang-kurangnya 80 thermopolia (gerai makanan segera). Thermopolia berasal daripada perkataan Greek iaitu thermos (panas) dan poleo (jual).

Minuman dan hidangan panas diletakkan dalam bekas-bekas besar yang tertanam dalam lubang-lubang pada binaan berbentuk kaunter. Sambil berdiri, mereka boleh memilih dan mengambil hidangan dari bekas-bekas ini untuk makan bersama rakan-rakan.

Masyarakat Rom juga suka mandi wap, bukan setakat untuk menjaga kebersihan dan kesihatan malah sebagai aktiviti sosial serta santai. Di Pompeii ada lima kompleks spa di mana di dalamnya terdapat ruang-ruang tertentu mengikut aturan.

Pertama, bilik persalinan; kedua kolam air sejuk; diikuti kolam air panas dan bilik sauna. Semua kompleks ini mengasingkan lelaki dan wanita.

PELANCONG melihat rangka manusia yang menekup hidung daripada terhidu debu dan gas beracun dihasilkan letusan gunung berapi.

Di Pompeii, antara industri yang maju adalah kilang roti dengan jumlah kira-kira 36 buah. Roti dibakar dalam ketuhar besar yang diletakkan di bahagian tengah ruang dapur.
Ia dihasilkan dalam aneka bentuk mengikut tempahan daripada saudagar atau peniaga jalanan dikenali sebagai libani.

Saya berkesempatan meninjau amfiteater atau arena (gelanggang). Amfiteater di Pompeii adalah yang tertua pada era Rom dibina pada 70 SM.

Ia boleh memuatkan sehingga 20,000 orang pada satu-satu masa bagi menonton pertarungan gladiator.

Tragedi Pompeii juga menjadi inspirasi kepada beberapa pengarah filem dan penerbit siri TV untuk menghasilkan karya The Last Days of Pompeii.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN