Rendang hidangan wajib dimiliki sebagai kepala meja. Rendang ayam atau daging juga ada pelbagai jenis dan memiliki ciri tertentu berdasarkan keunikan setiap negeri.
Di Negeri Sembilan dan Melaka mungkin agak pedas rasanya, tetapi belah-belah utara tidak begitu menyengat rasa pedasnya.
Begitupun, rendang tok berasal dari Perak antara rendang paling popular dalam kebanyakan orang.
Malah sering ada dalam senarai menu di restoran di ibu kota. Menghasilkannya juga terlalu sukar cuma memakan masa bagi memastikan rempah ratusnya serasi dalam daging.
Menariknya rendang tok ini boleh dihidangkan dengan nasi atau ketupat palas. Selamat mencuba.
RESIPI RENDANG TOK
Bahan-bahan
30 tangkai cili kering direbus sehingga lembut dan dikisar halus
20 tangkai cili padi dikisar halus
2 batang serai dititik
5 ulas bawang merah dihiris nipis
3 ulas bawang putih dihiris nipis
2 sudu besar pes kunyit hidup
1 sudu kecil kunyit serbuk
2 sudu besar rempah daging serbuk
1 kg daging lembu paha atas (topside) dipotong dadu atau 2x2cm
500 ml Air
750 ml santan diperah daripada tiga biji kelapa parut dan 750 ml air
Garam secukup rasa
Cara penyediaan
1) Masukkan cili kering dan cili padi yang sudah dikisar serta serai di dalam periuk. Jerang di atas api besar dan kacau biar rata.
2) Tambah hirisan bawang merah dan bawang putih, pes kunyit hidup, kunyit serbuk, rempah daging dan daging. Balik-balikkan sehingga rata.
3) Tambah air dan masak sehingga daging empuk.
4) Kecilkan api, masukkan santan dan renihkan sehingga kuah pekat dan berwarna perang tua. Masukkan garam secukup rasa.
5) Padamkan api dan siap dihidangkan.
Terima kasih Pemilik Restoran Rebung, Datuk Ismail Ahmad.










