Cabaran dan rintangan emosi wanita - Utusan Malaysia

Cabaran dan rintangan emosi wanita

Wanita perlu bangkit dengan penuh semangat untuk meningkatkan keyakinan diri melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang terutama kerjaya mereka sendiri agar lebih berdikari, dihormati dan dihargai. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap tahun masyarakat global meraikan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac. Begitu juga Malaysia meraikan Hari Wanita Antarabangsa dengan tema ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ pada 2021.

Pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu mengadakan program yang melambangkan prihatin bagi merai serta menghargai wanita yang banyak memainkan peranan dan fungsinya untuk keluarga, masyarakat dan negara. Tidak kurang juga program yang membangkitkan kesedaran wanita tentang penjagaan kesihatan khususnya kesihatan mental.

Wanita dalam usaha kerasnya untuk mendapatkan hak dan penghargaan dalam pelbagai sektor sama ada pendidikan, pekerjaan, perkahwinan dan keluarga mereka menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan yang menguji kekuatan jiwa, mental dan spiritual wanita.

Bagi yang tidak mempunyai kekuatan mental, emosi dan spiritual mereka mudah mengalami tekanan yang boleh membawa kepada kemurungan seterusnya menjejaskan kesihatan mental mereka.

Menurut Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang ke-3, lebih ramai wanita mengalami masalah mental (55%) berbanding lelaki (45%).

Walaupun peratus menunjukkan masalah kesihatan mental melanda wanita dan lelaki pada kadar yang lebih kurang sama, namun ada masalah-masalah tertentu yang hanya melanda wanita atau melanda wanita lebih daripada lelaki.

Wanita terdedah kepada lebih banyak faktor sama ada biologi, psikososial dan budaya yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental yang menjejaskan kebahagiaan dan ketenangan jiwa wanita.

BUANG STEREOTAIP WANITA BERKERJAYA

Antara faktor yang dikenalpasti ialah diskriminasi dan ketidakadilan gender. Wanita sering dikaitkan menjadi mangsa penderaan seksual dan keganasan rumah tangga.

Ini disebabkan oleh faktor budaya dan tradisi sesebuah masyarakat yang masih mempunyai fikiran bahawa wanita adalah golongan kedua dan dibawah penguasaan lelaki yang tidak diberi layanan yang sama, baik dalam sektor pekerjaan, kekeluargaan mahupun ekonomi.

Wanita yang mempunyai kerjaya yang baik sering dilabel sebagai tidak pandai mengurus rumah tangga.

Wanita yang ingin berjaya, baik dalam kerjaya dan rumah tangga terpaksa melaksanakan tanggungjawab dua kali ganda lebih daripada kaum lelaki.

Wanita yang ingin keluar daripada budaya dan tradisi, iaitu mempunyai kerjaya yang baik dan menjawat jawatan penting serta terlibat dalam kepimpinan dalam organisasi sering dilabel sebagai individu yang tidak pandai mengurus rumah tangga, mengabaikan anak-anak dan suami serta tidak mendengar atau patuh kepada suami.

Semua pandangan yang stereotaip dan penglabelan ini menyebabkan wanita berada dalam dilema dan kebiasaannya mengundur diri dalam kerjaya walau mempunyai kebolehan, keupayaan dan kemahiran yang tinggi serta berpotensi untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Sekiranya, terus berkerjaya, tanggungjawab wanita semakin bertambah iaitu untuk mengimbangi antara pengurusan rumah tangga dan kerjaya.

Tanggunjawab yang semakin bertambah, jika tiada pertambahan sistem sokongan menyebabkan wanita stres dalam menjayakan tanggungjawab mereka dan menjejaskan kesihatan mental dan kebahagiaan mereka.

 

KEBAHAGIAAN WANITA

Kini, pada setiap 20 Mac setiap tahun, masyarakat global menetapkan adalah Hari Kebahagiaan untuk semua orang dengan tema kini adalah Kekal Tenang.

Mendepani cabaran, wanita perlu bangkit dengan penuh semangat untuk meningkatkan keyakinan diri melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang terutama kerjaya mereka sendiri agar lebih berdikari dan dihormati serta dihargai.

Wanita perlu bangkit daripada menjadi bahan eksploitasi dan pemangsa. Wanita yang mempunyai kebahagiaan dalam hidup biasanya adalah wanita yang mempunyai sumber kewangan sendiri, berjaya dalam kerjaya, kuat berpegang kepada ajaran agama dan adab serta mempunyai sebuah keluarga yang stabil. Ini adalah sumber kebahagiaan bagi wanita.

Namun, kebahagiaan itu adalah bersifat subjektif. Ini kerana ia bersifat dalaman. Psikologi Islam melihat kebahagiaan jiwa adalah sesuatu yang bersifat rohaniah atau dalaman.

Perkara yang bersifat rohaniah dan dalaman ini sukar untuk ditentukan secara mata kasar. Namun begitu, orang yang hidup dalam kebahagiaan dapat dikaji melalui sudut material dan sudut emosinya.

Sudut material seperti memiliki keperluan asas hidup yang mencukupi seperti tempat kediaman, kereta, pekerjaan, keluarga, jawatan dan sebagainya yang menjadi sumber kepada keselesaan hidupnya.

Dari sudut emosi pula boleh dikaji melalui pernyataan emosi seperti emosi gembira, suka, ceria, tenang dan kasih sayang.

BAHAGIA
Ahli psikologi Islam Ibn Miskawih, membahagikan bahagia kepada:
* Kebahagiaan sementara: Kebahagiaan yang ada hadnya dan akan hilang satu ketika nanti seperti bahagia kerana berpangkat, memiliki harta yang banyak dan sebagainya.
* Kebahagiaan abadi: Kebahagiaan yang kekal yang dapat dirasai berterusan di dunia dan akhirat. Antaranya ialah kesihatan badan dan jiwa, memiliki ilmu yang bermanfaat, berterusan dalam amal soleh, memiliki iman yang teguh, mendapat keredaan Allah dan lain-lain.

  • Penulis ialah Profesor Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pengarah, Institut Islam Hadhari, UKM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN