Sarat krim aneka warna bunga. Ada rupa bunga mawar dan kekwa, malah ada rupa bunga tidak diketahui namanya kerana ia lahir daripada imaginasi.
Yang penting kerja tangan dan halus pembuatan kek cawan itu, menjadi bualan ramai.
“Sayangnya nak makan”. Itulah reaksi umum diterima Pengasas Ummi Walid Kitchen, Nur Fasihatul Hafizah Mohd Kamarolzaman, 31, apabila setiap kali pelanggannya menerima tempahan sejambak kek cawan dinamakan cupcake bouquet.
Nur Fasihatul memulakan pembuatan kek cawan itu penghujung tahun 2019 dan semakin serius sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) awal tahun lepas.
“Idea menghasilkan kek dalam bentuk jambangan ini hasil ilham daripada pelanggan yang mahukan kek cawan dalam rupa berbeza.
“Bermula dengan try and error, maka sejak itulah bermulanya perjalanan saya sebagai pembuat kek dalam bentuk jambangan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui
baru-baru ini. Beliau ditemani suami, Mohd Azrie Rosli, 33.
Cupcake bouquet menjadi pilihan dalam kalangan pelanggan meraikan hari bahagia seperti majlis pertunangan dan ulang tahun kelahiran atau perkahwinan.
Mengulas mengenai tips mendapatkan kelopak bunga cantik bentuknya, wanita kelahiran Tasik Chini, Pahang ini memberitahu, ia memerlukan ketelitian dan fokus.
“Fokus. Kalau silap sikit, saya akan buang krim itu dan buat sekali lagi,” katanya.
RINGAN TULANG
Suami di sisi, hanya tersenyum dan mengangguk tanda mengiyakan tabiat isterinya yang cukup teliti itu.
Mohd. Azrie juga yang banyak membantu isterinya dalam menyudahkan sejambak kek itu, bagi memastikan tidak terbeban sendirian menyiapkan tempahan daripada pelanggan.
“Proses daripada membuat kek cawan hinggalah ke dekorasi kek memakan masa sehingga lima jam. Kita kena tunggu kek cawan itu sejuk dahulu, barulah boleh didekorasi. Peringkat yang paling rumit adalah membuat dekorasi,” kata Mohd. Azrie.
Mohd Azrie yang berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah di Rawang memang seorang suami yang ringan tulang.

KEK MINI
Kata Nur Fasihatul, sebelum serius dengan kek jambangan bunga, mereka berdua terlebih dahulu mencuba meniaga kek mini pasar malam dan car boot sales.
“Saya mula membuat kek sekitar awal 2019. Masa itu untuk meniaga dalam talian kami tak berapa tahu. Emak saya mencadangkan saya berniaga di pasar malam dan car boot sales.
“Alhamdulillah sambutannya amat menggalakkan tetapi tidaklah setiap hari laris sehinggalah PKP diadakan. Masa PKP itulah saya mulai serius dengan kek jambangan bunga.
“Hingga kini, hampir setiap hari kami sibuk memenuhi tempahan pelanggan,” katanya.
Karya kek ibu kepada tiga cahaya mata ini boleh dilayari di Facebook (FB) Ummi Walid Kitchen. Mengenai kek cawannya lembut, Nur Fasihatul memberitahu, resipi kek itu bukanlah resipi tradisi keluarga tetapi diperoleh di internet, diolah hingga menjadi resipi sendiri.
TERAPI MINDA
Kerja tangan Nur Fasihatul, itu sebetulnya turut dijadikan sebagai terapi kepada dirinya yang disahkan penghidap depression diorder sejak 2014.
Katanya, beliau diberitahu oleh doktor, penyakitnya itu boleh beransur kurang dengan melakukan terapi seperti memasak.
Beliau yang juga pembawa thalasemia, baru-baru ini turut disahkan doktor mengalami anxiety.
“Saya reda dengan ketentuan ini, tetapi bukanlah saya menyerah. Saya sebaliknya berusaha untuk pulih. Saya yakin dengan sokongan ahli keluarga, khususnya suami, saya akan sembuh juga kelak,” katanya.










