Ada antara pesakit menerima rawatan, keliru dan tertanya-tanya mengenai status Klinik My Dental Care dimiliki oleh Muslim dan patuh syariah. Ciri bagaimana ditentukan sebagai halal? Adakah dengan memiliki sijil atau rawatan dan pengurusannya berbeza?” Kata Dr. Zeefitri.
Bertitik tolak daripada pertanyaan itulah, Pengasas yang juga Ketua Pegawai Operasi My Dental Care Asia Link Berhad (MDC Asia Link Berhad), Dr. Zeefitri Saniah Bidin memperoleh idea dan rasa tanggung jawab menjalankan perniagaan klinik gigi secara patuh syariah.
Beliau ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, konsep patuh syariah dan halal juga antara cara untuk memastikan klinik terus bertahan lama.
“Jadi, apa perlu saya buat adalah perjanjian perlu adil dan tidak membuat orang sakit hati apabila kita memberi rawatan,” katanya.
Klinik My Dental Care beroperasi pada 3 September 2016 di Shah Alam. Kemudian, di Setapak pada 2018 manakala pada 2020 di Damansara dan seterusnya di Bangi pada 2021. Hingga kini klinik berkenaan memiliki sembilan cawangan di seluruh negara yang berstatus patuh syariah.
Klinik My Dental Care memperoleh status halal pada 2021.
Dr. Zeefitri berkata, meneruskan operasi klinik gigi patuh syariah dan halal tidak mudah disangka. Selain kesukaran proses dan prosedur perlu dilalui, rakan-rakan klinik gigi lain turut tidak senang dengan status dimiliki itu.
Malah ada menganggap idea mengetengahkan konsep itu sebagaimana penunggang agama menggunakannya sebagai strategi pemasaran.
HALAL
“Saya ingin memperkenalkan konsep A Leading Halal Healthcare Solution Provider. Kita tidak akan cakap ini adalah konsep halal yang terbaik. Tetapi apa yang saya mahu, semua orang boleh ikut.
“Apabila kita mengetengahkan konsep halal mestilah ia merujuk juga kepada produk halal. Jadi, kita juga menggunakan ubat gigi halal malah ubat-ubatan kepada pesakit atau pelanggan juga 100 peratus halal. Malah perkhidmatan ditawarkan juga adalah halal,” katanya.
Bagaimanapun katanya, klinik sekarang bukanlah berstatus halal tetapi lebih kepada patuh syariah.
“Kami menyasarkan akan mendapat status halal pertengahan tahun depan,” katanya.

CABARAN
Anak kelahiran Kampung Kepis, Johol, Negeri Sembilan ini memberitahu, pada peringkat awal, antara kekangan dihadapi ialah mengenai peratusan dibenarkan dalam memastikan rawatan dilakukan ke atas pelanggan tidak bersifat mengubah ciptaan Allah. Namun waktu itu tidak banyak rujukan boleh dijadikan sebagai panduan.
Dalam usaha mendapatkan status halal, beliau berurusan dengan tokoh perbankan Islam, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman.
Selepas mengutarakan hasrat membuka klinik pergigian patuh syariah, bermulalah kerjasama My Dental Care dengan Dr. Zaharudin dilantik sebagai perunding syariah merangkap rakan kongsi.
Mengulas lanjut, ibu kepada lima orang cahaya mata ini memberitahu, patuh syariah dan halal melibatkan pelbagai aspek termasuk rawatan, pinjaman, perjanjian, pakaian dan lain-lain.
“Namun pada saya, yang lebih penting ialah ia perlu jelas terutama strategi pemasaran. Klinik kami menjalankan strategi iaitu konsep halal. Daripada segi pemasaran, kami memberi rawatan khusus kepada kanak-kanak.
“Aspek pengurusan dan pentadbiran turut saya tekankan sebagai satu standard prosedur operasi (SOP) dalam merealisasikan erti patuh syariah.
“Sebagai contoh daripada aspek kakitangan atau pekerja, mereka semua perlu memakai pakaian menutup aurat. Kalau daripada segi perkhidmatan pula, kami mengamalkan proses akad. Di mana pekerja perlu diberitahu mengenai harga rawatan. Selepas pelanggan bersetuju baharulah rawatan dijalankan,” katanya memberi sedikit contoh mengenai patuh syariah diamalkan.
KHUSUS KANAK-KANAK
Mengimbau pembabitan diri dalam bidang perubatan pergigian, Dr. Zeefitri memberitahu, menjadi doktor gigi bukanlah impian utama hidupnya, sebaliknya beliau berpuas hati menjadi seorang pensyarah. Namun segala aturan itu ditentukan Allah.
“Selepas meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah pergigian di Universiti Islam Malaysia (UIA) pada 2016, suami, Dr. Aslan Bacho, 43, melihat kecenderungan saya ke arah pergigian kanak-kanak.
“Bukan sahaja kerana saya memiliki kepakaran, tetapi tidak ada lagi klinik yang betul-betul memberikan fokus kepada pergigian kanak-kanak waktu itu. Kalau di luar negara ada tetapi kita (Malaysia) belum ada,” katanya.

Dr. Zeefitri berkata, masalah pergigian kanak-kanak selalunya dirujuk kepada hospital kerana negara tidak memiliki klinik pergigian khusus kanak-kanak. Lebih spesifik klinik seperti klinik gigi palsu atau klinik pembedahan pergigian atau mulut.
Mengenai kemampuan membuka sembilan klinik dengan pantas, Dr. Zeefitri berkata, ia dilaksanakan secara smart partnership.
“Bukan mudah membuka klinik kerana kita perlu mengikut prosedur ditetapkan kerajaan dan mesti mempunyai funding yang stabil,” katanya.










