Malah 'bahasa rojak'

Masalah ‘bahasa rojak’

ORANG ramai mudah menggunakan 'bahasa rojak' apabila berbual di tempat tempat awam- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Majalah Pelita Bahasa, Mac 2024, menyiarkan sajak penyair Zaleena E-Naa berjudul Bahasa Kita Bersayap Ranjau. Baris yang paling menyengat dalam sajak itu ialah ‘luluh rasa ditikam duri bangsa sendiri’. Penyair berasa terganggu kerana bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan secara bercampur aduk dengan bahasa lain atau yang disebut juga sebagai ‘bahasa rojak’

Campur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris inilah yang disebut ‘bahasa rojak’.

Mengapakah bahasa rojak menjadi kesukaan sejumlah penutur di negara kita?

Soalan ini sukar untuk dijawab. Masalah ini telah menjadi kebiasaan, sehingga tidak dapat dikawal lagi. Sesetengah orang mengatakan, pengamal ‘bahasa rojak’ berasa hebat kerana penggunaan bahasa secara bercampur aduk menandakan kebolehan mereka berbahasa asing.

Kita pernah mendengar orang berkisah secara berlebih-lebihan tentang lawatannya ke luar negara. Penceritaan dibolehkan, tetapi penceritaan yang berlebih-lebihan menandakan wujudnya gejala narsisisme, iatu kecenderungan mencari sanjungan orang terhadapnya. Ertinya, kisah lawatannya ke luar negara adalah kelebihan yang perlu ditonjolkan.

Salah satu kemungkinan merebaknya bahasa rojak adalah gejala narssisme juga.

Bagi orang berkenaan, masuknya bahasa Inggeris dalam pertuturannya adalah tanda dia berkelebihan, iaitu dia tahu lebih daripada satu bahasa.

Dia seharusnya berbangga jika dia dapat berbahasa Melayu tinggi, bukannya berbahasa rojak. Pencapaian tinggi dalam bahasa Melayu adalah petanda orang itu bersemangat kebangsaan. Namun bagi orang yang bergejala negatif, pendidikan yang diterimanya tidak membawa dia ke arah itu.

Zaleena E-Naa dalam sajaknya, mengibaratkan ‘bahasa rojak’ sebagai duri (ranjau) yang menyakitkan pencinta bahasa Melayu.

Oleh itu, dia mencadangkan serta mengajak pencinta bahasa Melayu berjuang untuk mengubati gejala yang negatif ini.

Baharu-baharu ini, ketika beberapa orang teman berbincang tentang ‘bahasa rojak‘, salah seorang bersuara mengatakan bahawa hal ini bukan masalah. Orang yang berkata demikian itu adalah pensyarah di sebuah universiti pendidikan.

Katanya, bahasa Melayu terus berkembang, jadi masuknya perkataan-perkataan Inggeris ke dalam bahasa Melayu adalah peristiwa biasa. Tambahnya, selama ini perkataan seperti ‘basikal’, ‘radio’, ‘komputer’ dan banyak lagi, asalnya bukan bahasa Melayu.

Persoalan masuknya kata pinjaman adalah perkara lain. Perkara ini tidak dianggap masalah oleh ahli-ahli bahasa. Isu ini telah dibicarakan sekian lama.

Seorang tokoh bahasa Senator Prof. Emeritus Datuk Dr. Awang Sariyan pernah mengatakan, jika semua kata pinjaman mahu disenaraikan, maka akan terhasil sebuah kamus tebal. Bahasa masyarakat yang bertamadun tidak terlepas daripada peminjaman kata.

Bahasa Inggeris pun banyak mengambil kata-kata daripada bahasa Arab dan lain-lain.

Menurut Awang, kata-kata Inggeris seperti alcohol, algebra, guitar dan banyak lagi, berasal daripada bahasa Arab. (Awang Sariyan, 1984. Isu-Isu Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 74).
Jadi, pandangan pensyarah yang menyentuh pengambilan kata ‘basikal‘, ‘radio‘ ‘komputer‘ dan lain-lain itu dianggap oleh seorang pensyarah lain (dalam perbincangan itu) sebagai terkeluar daripada landasan tema perbincangan.

Dalam tulisan ini, penulis akan mengemukakan perkara utama yang ditimbulkan oleh Zaleena E-Naa melalui sajaknya, dan juga isi perbincangan antara teman-teman yang disebutkan di atas.

Dalam sajak Zaleena, baris ini menyatakan rasa kesal kerana wujudnya bahasa rojak: hati tidak lunak menelan/ kata ibunda berbaur bahasa asing‘.

Zaleena tidak mengemukakan contoh kata-kata atau ayat-ayat Inggeris yang dimaksudkannya. Namun, kita mudah memahami maksudnya, kerana gejala berkenaan berada di keliling kita. Dalam percakapan di mana-mana, kita sering mendengar orang menyebutkan frasa ‘you all’, ‘why not’, ‘and then’, ‘which is’ , ‘very good’, ‘not so bad’ dan banyak lagi. Bagi penyair ini, penggunaan kata-kata demikian adalah ‘campur aduk meracunkan keaslian yang murni’.

Perbincangan antara beberapa orang teman telah menyentuh peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Ada yang menyebutkan pengamal bahasa rojak ialah orang-orang yang berperibadi terpecah (split personality). Mereka sedar bahawa bahasa Melayu ialah bahasa utama dalam negara, tetapi ada gangguan dalam diri mereka ketika bertutur.

Ini dikaitkan dengan gejala narsisisme yang disebutkan tadi. Bagi mereka, keupayaan berbahasa rojak adalah satu kelebihan. Dalam perbincangan yang disebut di atas, penulis berkisah untuk mendapatkan reaksi. Kisah yang penulis sampaikan ialah kisah benar. Dalam satu majlis, seorang tokoh bahasa naik ke pentas berbicara tentang perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.

Pidatonya bagus, dan hadirin secara keseluruhannya menyukai hujah dan gayanya. Apabila dia tamat berpidato dia turun, dan duduk di hadapan penulis. Penulis dapat mendengar soalannya kepada teman di sebelahnya.

Bunyi soalan itu ialah : How was my speech?
Soalan itu dijawab dalam bahasa Inggeris juga, iaitu Very good. Pemidato itu tahu berbahasa Melayu dengan baik, tetapi tetap memilih bahasa rojak ketika berbual dengan kawannya. Tampaknya kebiasaan itu sukar ditinggalkan.

Jika kita menegurnya, kita akan dianggap ‘mengajar itik berenang’, kerana orang yang kita tegur itu ialah pakar dalam bidangnya. Di atas pentas, dia ialah pemidato bahasa Melayu yang baik.

Penggunaan ‘bahasa rojak’ dalam ucapan rasmi adalah paling mendukacitakan. Ertinya, orang ini tidak memikirkan kemurnian bahasa walaupun di hadapan hadirin dalam majlis.

Seharusnya, ketika di atas pentas, bahasa Melayu hendaklah dijagai sebaik-baiknya.

Penggunaan ‘‘bahasa rojak’ di atas pentas akan mempengaruhi khalayak untuk melakukan hal yang sama. Tabiat ini akan menular. Oleh itu, selain aspek ilmu, penganjur sesuatu majlis eloklah memilih pembicara yang mencinta bahasa Melayu. – UTUSAN

Penulis ialah Sasterawan Negara ke-15, dan bekas profesor di Universiti Malaya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×