KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aina Abdul mengakui sokongan luar biasa yang diterimanya ketika menyertai Eurovision Song Contest Asia 2026 membuatkan dirinya berasa tertekan kerana bimbang tidak mampu memenuhi harapan ramai.
Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 33, berkata, pengalaman menerima begitu banyak ucapan semangat dan doa sepanjang pertandingan itu merupakan sesuatu yang belum pernah dilaluinya sebelum ini.
Katanya, sokongan diterima daripada pelbagai pihak menimbulkan perasaan takut kerana dia menyedari ramai mengharapkan kejayaan daripadanya menerusi lagu Bluest Sky itu.
“Saya sebenarnya takut apabila melihat terlalu ramai yang memberikan sokongan kerana perkara itu secara tidak langsung menjadi tekanan buat saya.
“Sepanjang hidup, saya tidak pernah menerima sokongan sebegitu rupa. Ramai orang menulis ucapan ‘good luck’ kepada saya dan saya tidak pernah melalui pengalaman seperti itu sebelum ini.
“Jadi, saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan situasi berkenaan. Ia agak membebankan emosi saya kerana terasa seperti semua orang mengharapkan sesuatu daripada saya,” katanya.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena pembabitannya menerusi Eurovision Song Contest Asia 2026 di Balai Berita Bangsar, di sini, hari ini.
Pun begitu, Aina menganggap sokongan yang diterima sebagai doa dan menghargai rakan artis yang memahami perasaannya sepanjang berdepan persaingan di pentas berkenaan.
“Bagaimanapun, saya menganggap sokongan itu sebagai doa daripada rakan-rakan artis.
“Saya percaya mereka juga pernah melalui pengalaman seperti yang saya rasakan, terutama rakan artis senior yang pernah menyertai pertandingan seperti ini. Jadi, mereka tahu bagaimana perasaan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Aina turut menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan kata-kata semangat menjelang pertandingan berkenaan.
“Saya sendiri tertanya-tanya sama ada perkara itu benar-benar berlaku kerana tidak sangka beliau turut memberikan ucapan sokongan kepada saya. Saya terfikir, banyak lagi perkara yang perlu diberikan perhatian oleh beliau.
“Saya juga sedikit bimbang kerana peminat terlalu mendesak sehingga Perdana Menteri mungkin terpaksa menyampaikan ucapan itu. Namun, apa pun, terima kasih banyak-banyak atas sokongan diberikan,” katanya.
Mengulas pencapaiannya pada pertandingan itu, Aina berharap keputusan diraih menerusi penyertaannya mampu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia meskipun tidak berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik.
“Saya berharap keputusan ini dapat membanggakan semua pihak. Walaupun mungkin kita tidak berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik, kedudukan kita sebenarnya tidak jauh daripada kelompok itu, insya-Allah,” katanya.
Minggu lalu, Aina mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri berjudul Bluest Sky sebagai wakil Malaysia dalam Eurovision Song Contest Asia 2026 yang menghimpunkan peserta dari 11 negara Asia.
Aina mengumpul keseluruhan 152 mata, sekali gus menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik.











