My Chemical Romance bangkitkan nostalgia 62,000 peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil - Utusan Malaysia

My Chemical Romance bangkitkan nostalgia 62,000 peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penantian hampir dua dekad akhirnya terubat apabila lebih 62,000 peminat membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil, bagi menyaksikan kemunculan kumpulan rock alternatif dari Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), menerusi konsert hari pertama My Chemical Romance Live in Kuala Lumpur, semalam.

Dianjurkan Hello Universe, konsert itu menyaksikan anggota asal MCR yang terdiri daripada Gerard Way, Ray Toro, Mikey Way dan Frank Iero kembali menggegarkan pentas Malaysia selepas 19 tahun, sekali gus menghidupkan semula nostalgia menerusi deretan lagu yang pernah menjadi runut bunyi kehidupan peminat mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak awal persembahan, MCR membuktikan mereka bukan sekadar hadir untuk mengadakan konsert, sebaliknya membawa penonton mengimbau kembali zaman membesar bersama karya-karya yang sarat dengan emosi, pemberontakan dan keresahan jiwa.

Membuka tirai persembahan dengan sketsa bertemakan phantom, kumpulan itu kemudian memulakan segmen Medication Time / Anthem menerusi lagu The End, Dead! This Is How I Disappear dan The Sharpest Lives.

Tidak hanya bergantung kepada kekuatan vokal dan muzik, Gerard turut menampilkan elemen teatrikal yang menjadi antara tarikan utama persembahan MCR.

Penampilan vokalis itu dengan mulut dipenuhi dakwat hitam seolah-olah dirasuk menyuntik elemen gelap dan dramatik, sekali gus menghidupkan lagi atmosfera emo yang sinonim dengan identiti kumpulan berkenaan.

Sorakan penonton semakin bergema apabila MCR menyampaikan lagu ikonik, Welcome to the Black Parade.

Lebih mengujakan, seluruh stadium seakan-akan bertukar menjadi koir gergasi apabila lebih 62,000 penonton menyanyikan lagu berkenaan beramai-ramai, membuktikan karya itu masih mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat.

MCR kemudian meneruskan persembahan dengan I Don’t Love You sebelum mengubah rentak menerusi House of Wolves yang lebih agresif dan bertenaga.

Memasuki segmen A Gift, peminat dihidangkan dengan rangkaian lagu Cancer, Mama, Sleep, Teenagers, Disenchanted dan Famous Last Words, diikuti The End (Reprise) sebelum Blood menoktahkan separuh pertama persembahan.

Dalam pada itu, Gerard sempat berseloroh mengenai cuaca lembap di Malaysia yang sedikit mencabar sepanjang persembahan.

“Macam mana nak main dalam keadaan (cuaca) begini.

“Saya tahu persembahan ini dijadualkan semula, tetapi terima kasih kerana hadir malam ini. Terima kasih kerana menunggu lama untuk kami,” katanya.

Selepas berehat seketika, MCR kembali menghangatkan pentas menerusi Give ‘Em Hell, Kid, Na Na Na (Na Na Na Na Na Na Na Na Na) dan Our Lady of Sorrows.

Memasuki bahagian kedua persembahan, penonton terus dihiburkan dengan SING, AMBULANCE dan Cemetery Drive sebelum kumpulan itu mempersembahkan Helena yang didahului intro lebih panjang.

Suasana terus gamat apabila lagu popular I’m Not Okay (I Promise) dan Demolition Lovers menyusul, sekali gus menambah keterujaan peminat yang setia menantikan setiap lagu dipersembahkan.

Menariknya, peminat Malaysia turut bertuah apabila MCR memilih untuk menyampaikan Demolition Lovers daripada album sulung mereka, I Brought You My Bullets, You Brought Me Your Love yang diterbitkan pada 2002.

Pemilihan lagu berkenaan pastinya menjadi antara momen istimewa buat peminat lama yang mengikuti perjalanan muzik kumpulan itu sejak awal kemunculan mereka.

Malam pertama konsert berkenaan bakal menjadi satu lagi kenangan bermakna buat peminat MCR di Malaysia, lebih-lebih lagi selepas penantian selama 19 tahun untuk menyaksikan kumpulan itu kembali beraksi di pentas tempatan.

MCR dijadualkan kembali menggegarkan Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini bagi persembahan hari kedua yang pastinya dinantikan peminat, terutama bagi mendengar deretan lagi lagu popular kumpulan rock alternatif itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini