Lima dekad selami industri, M. Nasir belum puas terokai dunia perfileman - Utusan Malaysia

Lima dekad selami industri, M. Nasir belum puas terokai dunia perfileman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Andai perjalanan seni diibaratkan sebuah pengembaraan, barangkali masih ada persinggahan yang belum dijejaki maestro terkenal, Datuk M. Nasir meskipun sudah lebih empat dekad menyusuri bidang ini.

Walaupun ratusan melodi telah dilahirkan, pelbagai pentas telah ditakluki, nama pemuzik berusia 69 tahun itu cukup sinonim dengan karya-karya yang melangkaui batas zaman.

Namun, di sebalik segala pencapaian yang menghiasi lembaran kariernya, pemilik nama Mohamad Nasir Mohamed itu masih menyimpan sebuah impian yang belum terlunaskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada beberapa perkara lagi yang belum saya lakukan seperti filem. Walaupun saya sudah lama menceburi dunia perfileman, ada daerah-daerah yang belum saya terokai.

“Saya belum betul-betul menceburi dunia filem secara menyeluruh. Jadi, mungkin saya mahu melalui perkara itu dalam hidup ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selepas sibuk menjayakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini, penyanyi lagu Mustika itu mengakui fikirannya kini mula terarah kepada usaha menghasilkan karya perfileman dan teater.

“Saya tidak pernah memikirkan untuk berehat daripada konsert, tetapi saya sedang memikirkan perkara-perkara lain yang mahu saya lakukan seperti filem dan teater,” kongsinya.

Ditanya sama ada pembabitannya dalam teater Mansur & Liu sebelum ini menyemarakkan kembali semangat untuk menghasilkan karya pentas, M. Nasir mengakui pengalaman tersebut mula menjadi satu ketagihan.

Bagaimanapun, beliau menyedari untuk menterjemahkan sebuah impian kepada realiti bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi penghasilan sesebuah naskhah menuntut komitmen besar dari pelbagai sudut.

“Itulah yang sedang kami fikirkan dan sering bincangkan, tetapi kita tengoklah bagaimana nanti. Konsepnya belum diketahui kerana ada banyak kemungkinan. Nak buat sesuatu bukan sekadar berkata, mari kita buat. Ia banyak melibatkan soal kewangan dan kita juga perlu melihat suasana semasa.

“Perancangan itu penting untuk melakukan apa sahaja, sama ada konsert besar atau apa-apa projek dalam industri hiburan,” jelasnya.

Industri hiburan kini dinominasi orang muda

Biarpun namanya sudah terpahat kukuh dalam sejarah muzik tanah air, M. Nasir tidak pernah meletakkan dirinya sebagai figura yang perlu sentiasa mendominasi persada seni.

Sebaliknya, seniman itu cukup sedar bahawa peredaran zaman menuntut sesebuah industri memberikan ruang kepada kelahiran bakat-bakat baharu.

Baginya, pengalaman berpuluh tahun dalam dunia seni menjadikan seseorang pengkarya lebih memahami kedudukan masing-masing dalam landskap hiburan yang sentiasa berubah.

“Industri hiburan hari ini adalah industri orang muda. Orang yang sudah berusia seperti saya, kalau terlalu sibuk dengan mereka, nanti mereka kata saya ini sibuk pula.

“Jadi, kita sebagai orang yang sudah lama dalam industri ini perlu pandai-pandai mencari ruang untuk terus berkarya,” selorohnya.

Namun, M. Nasir menyifatkan perubahan itu tidak bermakna pengkarya senior perlu berhenti berkarya atau sekadar bersandar pada kegemilangan silam , sebaliknya terus berkarya dan melahirkan sesuatu yang baharu selagi masih dikurniakan daya kreativiti.

“Bagi orang yang menghasilkan karya, dia sentiasa mahu mencipta lagu baharu. Dia merasakan dirinya masih mampu dan mempunyai daya untuk menghasilkan lagu baharu. Dalam dunia media sosial sekarang, perkara itu tidak perlu terlalu difikirkan. Buat sahaja.

“Namun, kita perlu memberikan peluang kepada orang muda untuk mengekspresikan kemahiran dan bakat mereka. Ituyang penting. Kita perlu menggalakkan mereka dan kita perlu bekerjasama dengan mereka,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini