Tersandar, esak panjang lepas Once Upon A Time in the Middle East - Utusan Malaysia

Tersandar, esak panjang lepas Once Upon A Time in the Middle East

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA fikir, seperti bapa-bapa Asia yang lain, ayah kita jarang mengucap sayang melainkan ayat ‘jangan lupa makan’, ‘makan elok-elok’ atau ‘sudah makan?’ yang disebut berulang. Bila makin mendewasa, saya faham rasa prihatin sampai dengan cara berbeza bagi setiap orang, makanan selalu menawarkan kehangatan walau sederhana gaya masaknya.

Konsep yang sama juga dipakai oleh masyarakat seluruh dunia, termasuklah di China dengan ayat ‘hao hao chi fan’ bermaksud makan elok-elok. Ringkas dan cukup membuat rasa disayangi.

Perkara sama dilakukan Xu Fu, bersungguh-sungguh memasak hidangan lazat buat ibu dan anaknya sebelum berangkat ke Mesir demi bertugas sebagai chef masakan China di restoran Timur Tengah dalam filem Once Upon A Time in the Middle East.

Memuatkan artikel berkaitan…

Xu Fu berjanji, hanya dua tahun sahaja dia akan bertugas di Mesir demi mengumpul duit melangsaikan hutang keluarga, kemudian dia pulang. Sampai sahaja di Mesir, Xu Fu dijaga oleh Ma Junsheng iaitu pengurus dan penterjemah buat Xu Fu. Hubungan mereka makin akrab apa lagi masing-masing perlu menjaga 20 kanak-kanak yatim piatu yang hilang arah selepas perang di Timur Tengah meledak antara negara Arab dan Amerika Syarikat (AS).

Xu Fu ada hubungan yang sukar dengan ketua anak yatim iaitu Seif yang degil. Matanya macam ada amarah yang berapi-api. Dia menakutkan tapi setia. Namun lama-kelamaan hanya Xu Fu yang melembutkan hatinya melalui masakan.

Jika difikir-fikir jarang kita lihat masyarakat China dalam latar Mesir di filem, semacam segar melihat Xu Fu melilau bersama Ma Junsheng dalam percakapan dan tulisan Arab.

Ketika AS menyerang Timur Tengah, perang tercetus. Kesan-kesan perang dirakam dalam filem ini tidak hanya bangunan yang runtuh, hilang tempat tinggal tetapi juga sumber makanan.

Restoran tempat Xu Fu bekerja, Dragon Restaurant adalah satu-satunya yang dibenarkan beroperasi, membekalkan makanan kepada tentera di bawah jaminan menteri.

Kalau mahu bercakap kesan perang, ini juga salah satu daripadanya iaitu akan ada satu pihak yang lebih menang dan kaya contohnya macam Xu Fu dan pekerja di Dragon Restaurant. Kita melihat restoran China itu berubah menjadi gastrodiplomasi apabila turut menjadi bar yang menyambut tentera AS di sana walau tugas utama membekalkan makanan kepada tentera Mesir di siang hari.

Mereka paling kaya kerana menjadi ‘neutral’ memilih jauh dari konflik dua negara yang dipanggil strategic ambiguity. Takdir menghukum Xu Fu, kita kemudian melihat filem ini meletakkan kita kepada kanta lebih besar.

Perang bukan tentang konflik siapa sokong Mesir atau siapa sokong AS. Tapi perang adalah tentang siapa mangsa dan siapa pelakunya. Maka, di sinilah filem ini kemudian memberat, mengheret kita kepada realiti sebenar dihadapi kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi perang kuasa-kuasa besar.

Once Upon A Time in the Middle East tidak memaksa, tapi cukup solid bercerita membuatkan kita teresak-esak di kerusi penonton bertanyakan apa yang kita sedang lakukan di kala anak-anak terbunuh demi orang dewasa yang berebut kekuasaan.

Filem ini saya baca sebagai sebuah deklarasi China dan letak posisi mereka dalam segala konflik dunia terutamanya melibatkan AS. Juga sebagai ‘salam’ kepada dunia Arab bahawa negara mereka akan berada di belakang asalkan kanak-kanak diselamatkan – sebuah soft power yang bergaya sekali.

Xu Fu, sebelum meninggalkan Mesir sempat memasak Hiufan, iaitu nasi yang direbus bersama lauk-lauk lain buat kanak-kanak yang diselamatkan. Dia tahu, mungkin itu hidangan terakhir mereka bersama. Hiufan selalunya dimasak dalam sumber makanan yang serba serbi terbatas seperti situasi perang yang mereka alami.

Once Upon A Time in the Middle East sangat megah, solid, bergaya dan naskhah sangat cemerlang untuk sebuah filem. Ia merobek, menampar, mempersoalkan segala sesuatu walaupun selepas layar ditutup.

Anda akan tersandar di kerusi dengan linangan air mata, terngiang-ngiang dialog, ragam menjadikannya filem terbaik saya tonton setakat ini untuk 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN