KUALA LUMPUR: Pelakon, Siti Khadijah Halim tidak mahu terlalu memikirkan pengakuan aktor Amir Ahnaf yang secara terbuka mengakui dirinya sebagai individu diminati atau ‘crush’, sebaliknya menganggap perkara itu sekadar pujian biasa.
Siti Khadijah, 29, berkata dia mengetahui mengenai pengakuan Amir menerusi siaran langsung aktor berkenaan baru-baru ini, namun menegaskan perkara itu tidak semestinya membawa maksud hubungan mereka lebih daripada sekadar persahabatan.
“Saya ada nampak siaran langsung itu. ‘Crush’ itu sekadar ‘crush’ sahaja, macam puji ‘saya suka awak’, awak cantik hari ini atau lawa tudung hari ini.
“Ia tidak membawa maksud apa-apa yang serius,” katanya ketika ditemui di majlis pembukaan butik fizikal pertama NADA di KL East Mall, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan Amir yang sering menjadi perhatian peminat, Siti Khadijah menjelaskan mereka masih berkawan, namun tidak menolak sekiranya hubungan itu berubah ke fasa lebih serius suatu hari nanti.
“Sejujurnya saya sekadar berkawan sahaja dengan dia. Kalau ada rezeki seterusnya, adalah,” katanya.
Ditanya mengenai peminat yang kerap mengaitkan mereka sebagai pasangan, Siti Khadijah menyifatkan perkara itu sebagai lumrah, terutama apabila keserasian yang ditampilkan menerusi drama lakonan bersama berjaya mencetuskan keterujaan penonton.
Katanya, fenomena peminat menjodohkan artis bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama berlaku dalam industri hiburan.
“Bukan zaman sekarang sahaja, zaman dahulu pun penonton dah biasa buat begitu. Mungkin disebabkan keserasian kami dalam drama nampak hidup, jadi penonton terbawa-bawa. Bagi saya, itu perkara normal,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Siti Khadijah turut memberi respons terhadap pandangan peminat yang mendakwa dirinya kelihatan lebih feminin apabila berada di sisi Amir.
Menurutnya, perwatakan Amir yang lebih dominan mungkin membuatkan sisi berbeza dirinya lebih ketara apabila mereka bersama.
“Ada yang kata saya nampak lebih ‘girly’ bila dengan Amir.Mungkin orang nampak sisi lain sebab Amir perwatakannya lebih dominan bila berada di sebelah saya.
“Saya sendiri agak dominan juga, tetapi apabila bersama dia, nampak perbezaan itu. Lagipun, dia selalu ada bersama, sebab itu orang sering nampak kami berdua,” katanya.
Sementara itu, menyentuh soal percintaan, Siti Khadijah berkata dia kini lebih selesa memberikan keutamaan kepada kerjaya berbanding bersungguh-sungguh mencari pasangan.
Bagaimanapun, pelakon itu tidak menutup ruang untuk mengenali individu baharu, sebaliknya percaya soal jodoh akan hadir pada waktu yang tepat.
“Untuk berkenalan dengan sesiapa itu ada juga, tetapi saya tidaklah mencari secara beria-ia. Saya percaya orang yang tepat akan datang pada waktu yang tepat,” katanya.











