KUALA LUMPUR-Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memberikan penjelasan berhubung isu kutipan dan pengagihan royalti, ketelusan organisasi pengurusan kolektif (CMO) serta pembangunan industri muzik tempatan susulan kenyataan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).
Dalam kenyataan hari ini, RIM berkata pembayaran royalti kepada pencipta bergantung pada beberapa faktor, termasuk penggunaan muzik, hak yang diamanahkan kepada CMO, kadar berdasarkan kontrak serta pendaftaran pemegang hak dengan organisasi berkaitan.
Menurut RIM, laporan royalti yang diserahkan kepada ahli CMO setiap kali pembayaran dibuat mengandungi butiran sumber dan pendapatan secara terperinci. Justeru, sebarang aduan mengenai kelewatan atau ketidakjelasan pembayaran perlu dirujuk kepada pihak yang menguruskan royalti berkenaan bagi mendapatkan penjelasan berdasarkan fakta kes.
Mengulas tindakan MACP, PPM dan RPM mencabar Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 keluaran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), RIM berkata prosiding undang-undang itu tidak seharusnya dianggap sebagai bukti bahawa organisasi berkenaan menentang ketelusan. RIM bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai merit kes kerana perkara itu masih dalam pertimbangan mahkamah.
Dalam perkembangan berkaitan, RIM menegaskan pembangunan pasaran domestik dan promosi antarabangsa perlu bergerak seiring bagi memperkukuh industri muzik Malaysia. Cadangan penubuhan Dana Eksport Muzik Malaysia bertujuan membantu artis dan syarikat muzik tempatan meneroka pasaran baharu melalui pertunjukan antarabangsa, pemasaran digital dan kerjasama strategik.
RIM turut menekankan bahawa pembiayaan kerajaan perlu disertai objektif jelas, akauntabiliti dan hasil yang boleh diukur, selain menyokong perlindungan hak cipta dalam penggunaan karya muzik untuk pembangunan kecerdasan buatan (AI). Persatuan itu menyeru semua pihak berkepentingan agar bekerjasama secara konstruktif demi memastikan industri muzik Malaysia terus berkembang secara mampan.











