Kita perlu membesarkan anak yang tahu bahawa kekuatan bukan lesen untuk menyakiti - Uyaina Arshad - Utusan Malaysia

Kita perlu membesarkan anak yang tahu bahawa kekuatan bukan lesen untuk menyakiti – Uyaina Arshad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad, menyifatkan isu buli, keganasan dan penderaan membabitkan kanak-kanak sebagai perkara yang perlu diberi perhatian bersama, bukan hanya diletakkan di bahu pihak sekolah dan guru.

Uyaina menerusi perkongsian di media sosial turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan kenalan Allahyarham Irene Sofiya, selain berharap keadilan dapat ditegakkan.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga, sahabat dan mereka yang mengenali arwah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan syurga menjadi tempat abadinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dan semoga keadilan dapat ditegakkan. Saya tidak boleh berhenti fikir, apa yang sedang berlaku dengan anak-anak kita di sekolah? Kenapa semakin kerap kita dengar tentang buli, keganasan, penderaan dan kejadian-kejadian yang langsung tidak pernah kita bayangkan boleh berlaku dalam ruang yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita belajar dan membesar?” katanya di Threads hari ini.

Sebagai ibu kepada tiga anak lelaki yang masih kecil, Uyaina mengakui bimbang memikirkan keselamatan anak-anak, namun pada masa sama turut mempersoalkan tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan anak yang dibesarkan tidak memudaratkan orang lain.

“Sebagai ibu kepada tiga anak lelaki yang masih kecil,  saya takut. Bukan sahaja takut kalau sesuatu berlaku kepada anak-anak saya, tetapi saya juga takut memikirkan adakah saya sedang membesarkan anak-anak lelaki yang tahu bagaimana untuk menjaga dan tidak memudaratkan manusia lain?

“Sebab tanggungjawab kita sebagai ibu bapa bukan sekadar memastikan anak kita pandai dan berjaya. Kita juga perlu membesarkan anak yang tahu bahawa kekuatan bukan lesen untuk menyakiti,” katanya.

Menurut Uyaina, pendidikan mengenai empati, rasa hormat, pengawalan emosi dan keberanian untuk menghentikan perbuatan salah perlu diterapkan kepada anak-anak sejak kecil.

“Bagaimana nak membesarkan anak yang ada empati? Yang tahu menghormati. Yang tahu mengawal marah dan tidak melenting di luar kawalan apabila kena ‘reject’. Yang berani cakap ‘stop’ apabila kawan-kawan mula melampaui batas. Dan yang tahu bahawa diam ketika melihat orang lain dizalimi juga ada kesan dan akibatnya,” katanya.

Uyaina berkata, ibu bapa juga perlu mengubah cara melihat isu buli dengan tidak hanya memikirkan bagaimana memastikan anak mereka tidak menjadi mangsa, sebaliknya turut memastikan anak tidak menjadi individu yang memangsakan orang lain.

“Mungkin kita bukan hanya patut bertanya, ‘Macam mana nak pastikan anak kita tak jadi mangsa?’ Tetapi mula bertanya, ‘Macam mana nak pastikan anak kita tidak menjadi orang yang memangsakan orang lain?’

“Biasanya sekolah dan guru selalu dipersalahkan apabila ada sesuatu berlaku di perkarangan sekolah. Tapi serius, ini bukan tanggungjawab sekolah sahaja. Ini tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya. Kerana untuk membesarkan seorang anak, kita memerlukan seluruh masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Uyaina berpandangan perbincangan mengenai isu besar seperti empati, kemarahan, kuasa, rasa hormat, buli dan undang-undang perlu dimulakan sejak anak masih kecil, bukan hanya apabila mereka meningkat dewasa.

“Saya secara peribadi rasa kita kena mula bercakap dengan anak-anak kita tentang benda-benda besar. Dan bukan tunggu bila mereka besar.

“Bercakap tentang empati, tentang marah, tentang kuasa, tentang hormat, tentang buli, tentang undang-undang dan tentang setiap tindakan yang salah, akan ada akibat yang menanti,” katanya.

Uyaina turut menegaskan bahawa pembentukan sahsiah anak bukan terletak pada satu pihak sahaja kerana rumah, sekolah dan masyarakat masing-masing memainkan peranan dalam membentuk generasi akan datang.

“Rumah membentuk anak. Sekolah membentuk persekitaran. Dan masyarakat membentuk generasi yang seterusnya.

“Kita semua ada bahagian yang perlu dimainkan. Untuk Allahyarham Irene Sofiya, dan untuk setiap anak yang sepatutnya masih mempunyai masa depan yang panjang di hadapan mereka, semoga kita tidak hanya bersedih dan mula bertindak,” katanya.

Uyaina bagaimanapun menjelaskan pandangan yang dikongsikan itu adalah pendapat peribadinya sebagai seorang ibu dan menjadi peringatan kepada dirinya sendiri serta ibu bapa lain untuk sama-sama melakukan refleksi terhadap peranan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN