Kekal nombor satu, Anas Zahrin percaya kejayaan seiring doa tanpa jemu - Utusan Malaysia

Kekal nombor satu, Anas Zahrin percaya kejayaan seiring doa tanpa jemu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan usahawan popular, Anas Zahrin terus mengukuhkan  kedudukan jenama miliknya, ANAS Cosmetics yang dibangunkan sejak hampir sedekad lalu.

Jenama diasaskan anak jati Kota Tinggi, Johor itu sejak 2017 terus mencatat pelbagai kejayaan dan pencapaian membanggakan, termasuk menerusi platform e-dagang seperti TikTok Shop dan Shopee.

Terbaharu, ANAS Cosmetics sekali lagi mencuri perhatian apabila disenaraikan sebagai jenama nombor satu di TikTok Shop Malaysia, mengatasi jenama tempatan lain dengan jualan hampir 12 juta unit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pencapaian itu berdasarkan laporan Echotik Blog bertarikh 8 Julai lalu yang berkongsi data, berita, tip dan strategi berkaitan platform TikTok serta penjanaan pendapatan menerusi platform berkenaan.

Menurut laporan itu, produk kosmetik dan kecantikan kekal antara pilihan popular pengguna TikTok di seluruh dunia, termasuk jenama seperti Medicube dan Unilever di beberapa pasaran antarabangsa.

Mengulas pencapaian berkenaan, Anas berkata kejayaan tersebut bukan alasan untuk dirinya berbangga secara berlebihan, sebaliknya menjadi ukuran bahawa produk tempatan, khususnya keluaran usahawan Bumiputera, mampu mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

“Setiap hari saya tidak pernah putus berdoa agar perjalanan perniagaan kosmetik dan penjagaan peribadi saya terus memberi manfaat kepada ramai orang.

“Ternyata, di sebalik keadaan ekonomi yang tidak menentu dan persaingan pelbagai produk di TikTok, barangan kosmetik keluaran saya masih menjadi pilihan ramai.

“Menjadi yang pertama di TikTok Shop bukan tiket untuk saya mendabik dada. Sebaliknya, pencapaian itu menjadi kayu pengukur bahawa memang ada produk keluaran tempatan atau Bumiputera yang boleh diterima ramai.

“Kita boleh bangga dengan produk keluaran anak tempatan. Jika jenama terkenal dari luar negara boleh berjaya, kita juga mampu mengikuti jejak mereka atau menjadi lebih baik,” katanya.

Anas yang berangkat ke Tanah Suci, Makkah hari ini bagi menunaikan umrah berkata, kejayaan yang diraih itu turut menjadi pembakar semangat untuknya terus memperkukuh perniagaan.

Malah, April lalu, ANAS Cosmetics turut mencatat pencapaian membanggakan apabila unggul dalam tiga kategori TikTok Shop 2026.

Jenama berkenaan menduduki tangga pertama bagi kategori Pencipta Kandungan dan Penjual Tempatan, selain tempat ketiga bagi kategori Penjual dalam skop kecantikan, kesihatan dan penjagaan peribadi di Malaysia.

“Alhamdulillah, saban tahun saya diiktiraf di TikTok. Usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Ungkapan keramat itu tidak akan lekang dalam diri.

“Setiap hari menjadi penanda baharu dan motivasi untuk terus maju ke hadapan.

“Baru-baru ini, saya juga cukup teruja kerana berjaya mencapai jualan RM1 juta dalam tempoh satu sesi penstriman langsung di TikTok.

“Pada awalnya, tiada siapa yang percaya, malah ada yang sinis dan ketawa apabila saya memilih untuk menjadikan platform TikTok sebagai medan perniagaan.

“Namun akhirnya, saya berjaya membuktikan bahawa platform ini juga mampu menjadi medan rezeki untuk saya dan dikongsi dengan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang Anugerah TikTok Malaysia 2023 bagi kategori TikTok Shop Creator of the Year itu berkata, kejayaan yang dikecapi turut didorong doa ibu tersayang, Hajah Hamida Dan.

Katanya, sokongan keluarga, sahabat serta kakitangan yang tidak pernah jemu memberikan dorongan juga menjadi antara kekuatan untuknya terus mengembangkan perniagaan.

“Selain doa mak dan keluarga, sahabat tersayang serta staf juga menjadi individu yang tidak henti-henti menyokong perniagaan ini.

“Terima kasih tidak terhingga dari dalam hati saya. Doakan saya terus melakar sejarah dan terbang lebih tinggi.

“Doakan saya dikelilingi orang yang baik-baik supaya saya dapat berkongsi rezeki dengan lebih ramai insan.

“Semoga Allah SWT terus mengurniakan rezeki yang melimpah-ruah dan tidak putus-putus. Bukan saya yang hebat, tetapi doa mustajab mak yang tidak pernah penat dipanjatkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anas berkata, beliau turut dilantik TikTok sebagai mentor kepada pencipta kandungan lain menerusi program TikTok Shop Creator Icon musim kedua.

Menurutnya, personaliti media sosial dan usahawan, Khairul Aming turut bertindak sebagai mentor dalam gerakan yang diusahakan TikTok itu.

“Selain itu, beberapa ahli perniagaan hebat turut diundang, termasuk Datuk Seri Aliff Syukri sebagai tetamu untuk berkongsi pengalaman mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini