Filem Wanted By Family ‘bawa’ Malaysia ke lebih 25 negara - Utusan Malaysia

Filem Wanted By Family ‘bawa’ Malaysia ke lebih 25 negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keterujaan penerbit dan ahli perniagaan kelahiran Iraq yang membesar di Malaysia, Abdulrahman Suud, kini berganda apabila filem terbitannya menerusi produksi Inifinity Films bersama produksi mega negara Arab, Synergy Plus, bakal ditayangkan mulai 8 Oktober depan.

Filem yang pada asalnya diberi judul Mr VIP sebelum ditukar kepada Wanted By Family atau Matlob A’liliyan dalam bahasa Arab itu bakal menemui penonton di lebih 25 negara membabitkan lebih 450 pawagam.

Menurut Abdulrahman, filem arahan Mootaz El Tomy itu juga sedang dalam proses perbincangan dan pengesahan untuk ditayangkan di Malaysia dengan bantuan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk tayangan di Malaysia, pihak kami sudah menguruskan dokumen berkaitan dengan kerjasama serta bantuan FINAS. Pihak kami juga sudah bertemu Ketua Pegawai Eksekutif organisasi berkenaan, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

“Mengikut perancangan, tayangan di Malaysia juga berkemungkinan besar pada bulan yang sama. Semoga segala yang dirancangkan akan dipermudahkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdulrahman berkata, antara lebih 25 negara yang bakal menayangkan filem lakonan bintang sensasi Arab, Karim Abdel Aziz dan Yasmine Sabri, termasuk Mesir, Qatar, Iraq, Oman, Lebanon, Kuwait, Bahrain, Syria, Maghribi, Algeria, Tunisia dan Jordan.

“Tidak ketinggalan Amerika Syarikat, Kanada, Turki, Australia, United Kingdom, Ireland, Perancis, Sepanyol, Portugal, Itali, Jerman, Switzerland dan Sweden.

“Negara lain termasuk Poland, Belgium, Belanda, Denmark, Norway, Luxembourg, Finland, Greece, Brazil dan Argentina,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai filem yang menjalani lebih 40 peratus penggambaran di Malaysia itu, Abdulrahman optimis karya berkenaan mampu menjadi medium untuk mempromosikan sektor pelancongan negara.

“Seperti yang saya tekankan dalam kenyataan sebelum ini, kecintaan saya terhadap Malaysia tiada kompromi. Sejak berusia lapan tahun lagi saya datang ke Malaysia ketika ibu bapa menerima tawaran bekerja di ibu negara.

“Saya bersekolah dan mencari rezeki di Malaysia, selain pernah menetap di Jepun dan India. Bumi Malaysia sudah memahat rasa paling istimewa dalam diri saya yang lahir tanpa prejudis.

“Justeru, saya mahu usaha menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama syarikat penerbitan filem dan televisyen dari negara Arab dapat diteruskan secara berkesinambungan,” katanya.

Tambah Abdulrahman, dia optimis filem bercorak komedi sosial yang turut dibintangi pelawak terkenal Mesir, Mostafa Khater, itu mampu meningkatkan lagi tarikan sektor pelancongan negara.

“Kalau menonton treler filem ini, peminat Karim Abdel Aziz dan Yasmine Sabri khususnya akan ‘teracun’ untuk menjejaki lokasi serta destinasi menarik di Malaysia yang dipaparkan.

“Malah, nama Malaysia sendiri disebut berulang kali dalam filem ini.

“Melihat footage treler ini sendiri, saya begitu kagum melihat bagaimana tarikan bangunan pencakar langit seperti KLCC dan Menara KL, selain Bangunan Sultan Abdul Samad, dipromosikan dengan begitu indah.

“Itulah juga yang saya sasarkan dalam penerbitan filem sebegini. Malah, ketika ini saya dalam rangka memulakan projek filem baharu dengan judul sementara One Way Ticket di Malaysia yang membabitkan lokasi lain di negara ini,” katanya.

Pada Julai lalu, media melaporkan mengenai penggambaran filem yang mengambil latar Malaysia itu.

Produksi berkenaan turut mendapat sokongan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lebih istimewa, produksi filem berkenaan turut menggunakan khidmat 220 kru tempatan, selain 33 kru termasuk barisan artis dari Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×