KUALA LUMPUR : Filem The Day We Start Again yang mengetengahkan kisah kegagalan, pengkhianatan dan kecekalan manusia dalam mengejar impian, memulakan penggambaran pada 6 Oktober lalu.
Filem terbitan bersama Xingyu Group dan platform hiburan interaktif VYBE itu diterbitkan oleh Lomo Pictures, dengan Dr. Kervis Soo menggalas empat tanggungjawab utama sebagai penerbit, ketua perancang, penulis skrip dan pengarah.
Produksi berkenaan turut membabitkan Aron Koh sebagai penerbit, Ryon Lee sebagai penerbit eksekutif, DY Loh selaku pengarah eksekutif dan Eelin Ooi sebagai penyelaras produksi.
Filem itu menghimpunkan barisan pelakon tempatan serta generasi baharu pencipta kandungan, termasuk pelakon Taiwan, Bruce Chiu dan Charlene An Yu Chin. Turut membintangi naskhah berkenaan ialah Lay Kar Heng, Olio Tan, Henn dan Yuan Teng, selain penyertaan penyanyi, pempengaruh, hos siaran langsung serta DJ.
Penerbit eksekutifnya, Ryon Lee, berkata filem itu mengisahkan sekumpulan individu biasa yang nekad menghasilkan sebuah filem meskipun terpaksa berdepan penipuan, tekanan hidup dan kegagalan yang menguji kepercayaan serta semangat mereka.
Menurutnya, jalan cerita berkenaan berpusat pada dua beradik yang masing-masing berdepan liku kehidupan selepas impian mereka tidak kesampaian.
“Si abang pulang ke kampung dan menjual ikan masin selepas gagal dalam perniagaan, manakala si adik kembali dari Taiwan selepas menuntut ilmu dalam bidang perfileman. Namun, ketika akhirnya mendapat peluang untuk menghasilkan filem, dia pula menjadi mangsa penipuan.
“Bersama individu lain yang turut melalui kegagalan masing-masing, mereka berusaha meneruskan projek berkenaan sehingga selesai. Kisah ini bukan sekadar mengenai usaha menghasilkan sebuah filem, sebaliknya turut menyentuh soal impian, kepercayaan dan keberanian untuk bangkit semula apabila berdepan kesukaran,” katanya.
Ryon berkata, penceritaan itu turut mencerminkan pemerhatiannya terhadap industri perfileman Malaysia dan realiti kehidupan, khususnya perjuangan individu yang cuba mencari kekuatan untuk meneruskan perjalanan selepas berdepan kekecewaan.

Sementara itu, DY Loh berkata pihak produksi mahu memberikan ruang lebih besar kepada idea generasi muda bagi memastikan filem berkenaan bukan sahaja mempunyai penceritaan yang mendalam, malah tampil segar dan dekat dengan penonton masa kini.
Antara watak yang diketengahkan ialah lakonan Charlene An Yu Chin sebagai seorang wanita yang sekian lama menjaga warga emas di penghujung hayat mereka.
Terperangkap dalam rutin harian yang berat dan berulang, kehidupannya mula berubah selepas menyertai projek filem kumpulan berkenaan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya.
Bruce Chiu pula berkata, beliau menerima tawaran berkenaan kerana tertarik dengan karakter yang diberikan dan mahu meneroka sisi berbeza dirinya menerusi lakonan.
Bagi Lay Kar Heng, peluang membawa watak utama buat kali pertama menjadi pengalaman bermakna, selain berharap dapat menghiburkan penonton dan membina keserasian secara semula jadi dengan pelakon lain.
Dr. Kervis berkata, filem itu dibiayai sepenuhnya olehnya dengan hasrat mengangkat pengalaman getir seperti pengkhianatan, kemalangan, kemurungan dan kehilangan arah sebagai sebahagian daripada penceritaan yang dekat dengan kehidupan manusia.
“Filem ini membawa mesej bahawa saat paling sukar dalam kehidupan bukanlah pengakhiran kepada segala-galanya. Setiap orang pasti berdepan cabaran dan ada kalanya kehilangan arah, tetapi kita masih mempunyai pilihan untuk bangkit serta memulakan semula perjalanan hidup.
“Walaupun produksi ini memerlukan penambahbaikan berterusan dalam pelbagai aspek, kami akan terus berusaha sehingga filem ini disiapkan. Apa yang penting ialah semangat untuk meneruskan perjuangan dan memastikan cerita yang ingin disampaikan dapat sampai kepada penonton,” katanya.
Kira-kira 90 peratus penggambaran filem itu dijalankan di Malaysia, termasuk Kuala Lumpur dan Kluang, Johor, manakala penggambaran tambahan dirancang di Luang Prabang, Laos.
Penggambaran dijangka selesai pada pertengahan November ini sebelum filem berkenaan ditayangkan pada tahun hadapan.
Selain aspek penerbitan, The Day We Start Again turut menjadi sebahagian daripada usaha menghubungkan industri perfileman dengan ekosistem kandungan digital, teknologi dan media di bawah Xingyu Group serta rakan kerjasamanya.
Antara entiti yang terlibat ialah VYBE App, Shiguang Xingyu Zocco, Prism Media Hub, XY Code dan rangkaian kandungan berkaitan kecerdasan buatan (AI MCN), yang merangkumi sumber pencipta kandungan, produksi filem serta platform digital bagi meluaskan pengedaran dan capaian kepada golongan muda.
VYBE App akan berperanan sebagai penghubung antara filem, pengguna muda, pencipta kandungan dan hiburan digital. Menerusi kerjasama dengan ekosistem pencipta Shiguang Xingyu, kandungan filem itu dirancang untuk diperluas kepada video pendek, kandungan artis, rakaman di sebalik tabir serta pelbagai format media sosial.
Xingyu Group turut menggabungkan kandungan filem dan sumber bakat dengan pembangunan AI MCN, selain bekerjasama dengan syarikat teknologi perisian XY Code bagi meneroka pendekatan baharu dalam penghasilan kandungan di luar kaedah pembikinan filem tradisional.
Sementara itu, Prism Media Hub, rakan kerjasama BrandThirty Sdn. Bhd. yang diuruskan oleh Desmond Chen dan Chali Tew, akan menyokong perancangan media, pengedaran kandungan serta pengurusan media digital bagi memperkukuh publisiti dan liputan berita filem berkenaan.
Kerjasama itu sekali gus memperluas skop The Day We Start Again daripada sebuah produksi filem kepada usaha merangkumi perfileman, penciptaan kandungan, media dan platform digital.











