Ella, Amy Search bakal meriahkan pentas Rentak Budaya - Utusan Malaysia

Ella, Amy Search bakal meriahkan pentas Rentak Budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persembahan Ella dan Amy Search menjadi antara tarikan utama Rentak Budaya 2026 yang bakal berlangsung selama tiga hari  di River of Life dan Padang Merbok bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, berkata penganjuran itu bertujuan menghubungkan artis serta penggiat seni dan budaya dengan masyarakat menerusi pendekatan santai, terbuka dan interaktif.

“Rentak Budaya bukan sekadar pentas persembahan artis. Kita mahu masyarakat datang bersama keluarga, melihat, mencuba dan merasai sendiri kepelbagaian seni serta budaya yang kita miliki.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di River of Life, pengunjung boleh berinteraksi secara lebih dekat dengan penggiat seni, manakala di Padang Merbok kita tampilkan persembahan berskala lebih besar yang menggabungkan artis popular dengan seni kebudayaan,” katanya.

Dianjurkan Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Wilayah Persekutuan) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), acara itu turut mendapat kerjasama SENIMAN, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan (JKKN).

Di Padang Merbok, persembahan pentas bermula pukul 8 malam dengan menampilkan barisan artis popular termasuk Ella, Amy Search, Kaka Azraff, Haziq Rosebi dan Rosma Sidek.

Turut memeriahkan acara ialah persembahan Dikir Barat oleh Issey & Friends serta persembahan kebudayaan seperti Gendang Rebana, silat, tarian joget, zapin berkopak dan Gendang 24.

Pengisian itu berlangsung bersempena Hari Permainan Malaysia 2026 yang diadakan pada sebelah siang, selain kehadiran pelbagai gerai makanan dan minuman popular sepanjang tiga hari acara.

Sementara itu, River of Life menawarkan pengalaman seni dan budaya secara lebih dekat menerusi pelbagai aktiviti interaktif dari pukul 10 pagi hingga 10 malam sepanjang acara berlangsung.

Pengunjung berpeluang mengunjungi gerai jualan produk kraf, seni dan budaya serta menyertai sesi Sembang Seni, persembahan buskers, demonstrasi tarian zapin dan bengkel membuat tanjak, batik, kaligrafi serta seni khat.

Turut diadakan demonstrasi pemakaian busana Malaysia, persembahan sketsa dan pelbagai aktiviti yang membolehkan pengunjung berinteraksi secara langsung dengan penggiat seni tempatan.

Antara yang bakal menjayakan pengisian di River of Life ialah Ann Abdullah, Kumpulan Teater Hidayah, Kyoji Sky, Siddiq Band, Mie Raja Lawak dan Pak Chu Raja Lawak.

Zed berkata, penganjuran itu turut menjadi ruang untuk mendekatkan seni tradisi dengan generasi masa kini menerusi pendekatan lebih segar supaya warisan budaya terus mendapat tempat dalam masyarakat.

Rentak Budaya 2026 menyasarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk keluarga, golongan muda, peminat seni, pelancong dan pengunjung sekitar Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini