KUALA LUMPUR: Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) mencatat lebih 24.5 juta tontonan dan interaksi di seluruh platform, membuktikan sambutan terhadap malam kemuncak anugerah berprestij itu yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), baru-baru ini.
Jumlah tersebut merangkumi siaran malam kemuncak dan Karpet Merah AIM25, selain kandungan promosi menerusi platform media sosial, sekali gus memperluaskan capaian acara yang julung kali berlangsung di Sarawak itu.

AIM25 yang diadakan sempena sambutan Jubli Perak anugerah berkenaan turut mencatat sejarah apabila buat pertama kali membawa pentas anugerah muzik terbesar tanah air ke Kuching.
Malam kemuncak turut mencatat tempoh siaran majlis penganugerahan trofi terpanjang dalam sejarah AIM, iaitu kira-kira empat jam, tidak termasuk Karpet Merah yang berlangsung selama satu jam 30 minit.
Dari segi kemenangan, Mimifly muncul antara penerima terbanyak apabila membawa pulang lima trofi termasuk Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi Temberang.
Datuk Seri Siti Nurhaliza pula meraih empat kemenangan termasuk Vokal Wanita Terbaik menerusi Kesuma, selain Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri.
Aisha Retno turut mencatat tiga kemenangan menerusi Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik bagi [RE.HAB], selain Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi O.R.B.I.T.
Lebih istimewa, penyanyi asal Sarawak, Mawat, mencipta sejarah apabila menjadi penerima sulung kategori Lagu Borneo Terbaik menerusi Dayang Bintang.
Kategori berkenaan diperkenalkan buat pertama kali bagi memberi pengiktirafan khusus kepada karya yang mengetengahkan identiti muzik Borneo.
Malam kemuncak AIM25 turut dimeriahkan persembahan barisan artis popular termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi bersama Anggrek, Akim Ahmad, Alena Murang, Marsha Milan, Hael Husaini, Mimifly, Hujan, Estranged dan Fajar Noor.
Dalam pada itu, Ella menerima Anugerah Sri Wirama sebagai penghargaan terhadap sumbangan serta perjalanan panjangnya dalam industri muzik Malaysia.
AIM25 melabuhkan tirai dengan meraikan karya dan bakat muzik tempatan merentasi pelbagai genre serta generasi, selain membuka ruang lebih luas kepada karya dan bakat dari Borneo untuk diketengahkan di peringkat nasional.











