PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay, mendedahkan dia menubuhkan kelab peminatnya untuk berkongsi perjalanan kerjayanya sebagai pengarah dan membuka ruang kepada peminat mengikuti perkembangan terkini kehidupan dan karya yang dihasilkannya.
Liyana Jasmay, 38, berkata, kelab peminat itu dibuat untuk melihat peminat yang masih mengikuti perkembangannya sejak dari dulu lagi.
“Memang saya ada peminat sejak dahulu, nama kelab peminat saya ketika itu adalah LJ Little Lovers. Tetapi sekarang mereka semua sudah besar dan masing-masing sudah ada kehidupan sendiri.
“Kami masih berhubung, cuma tidak lagi macam dulu ketika saya banyak muncul dalam filem sewaktu berusia 18 hingga 25 tahun.
“Saya tubuhkan kelab peminat ini untuk melihat sama ada masih ada lagi peminat di luar sana yang masih berminat dengan saya dan karya-karya saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Liyana, kelab peminat baharu itu diwujudkan dengan fokus berbeza kerana mahu memperkenalkan fasa kehidupannya sekarang.
“Kali ini, kelab peminat saya lebih kepada mahu berkongsi hala tuju baharu sebagai seorang pengarah. Saya juga mahu berkongsi hobi dan kehidupan saya sekarang sebagai seorang ibu.
“Saya mahu melihat peminat mengenali perjalanan saya dari dahulu sehingga sekarang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Liyana pernah memiliki kelompok penyokong yang aktif ketika berada di kemuncak populariti sebagai pelakon remaja menerusi pelbagai filem dan drama.
“Alhamdulillah, ramai juga yang memberikan komen. InsyaAllah, minggu ini kami akan mula mengadakan pelbagai aktiviti bersama ahli kelab peminat,” katanya.
Untuk rekod, LIyana Jasmay pernah membintangi beberapa filem popular seperti Papadom (2009) dan KAMI The Movie (2008). – UTUSAN










