PETALING JAYA: Kumpulan New Boyz kembali ke pentas menerusi Konsert New Boyz Meraung – Live in Singapore yang bakal berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada 5 Disember ini, selepas dua tahun tidak mengadakan persembahan.
Konsert yang bermula pukul 8 malam itu dianjurkan MSN Entertainment dan menampilkan barisan anggota New Boyz terdiri daripada Tomok (vokalis), Jay dan Afiez (gitar), Zack (bes), serta Along dan Ristoe (dram).
Menurut Tomok, pemilihan Singapura sebagai lokasi persembahan menjadi tanda penghargaan kepada peminat di negara berkenaan yang terus menyokong perjalanan seni New Boyz sejak awal kemunculan.
“Selepas dua tahun kami tidak mengadakan persembahan, New Boyz memilih untuk memulakan konsert di Singapura sebagai apresiasi kepada peminat di sini yang tidak pernah putus menyokong perjalanan seni kami sejak dahulu sehingga kini.
“Jika diimbau, Singapura adalah negara yang paling kerap New Boyz singgahi pada zaman awal kemunculan dan tanggal 5 Disember 2026 ini, kami mahu kembali dengan New Boyz Meraung – Live in Singapore, bukan sahaja untuk membangkitkan nostalgia tetapi merayakan kesetiaan semua peminat buat kami,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Konsert itu mengambil nama Meraung, lagu popular daripada album Akur yang diterbitkan pada 2000 dan masih dianggap signifikan dalam kalangan peminat New Boyz.

Menurut wakil MSN Entertainment, Aynn, pemilihan nama berkenaan dibuat bagi mengenang momen yang signifikan dengan kumpulan itu, selain menjadi pengenalan kepada peminat generasi baharu.
Selain Meraung, New Boyz turut akan mempersembahkan beberapa lagu daripada katalog mereka yang menjadi sebahagian daripada memori muzik generasi 1990-an, termasuk Sejarah Mungkin Berulang.
Tomok turut berharap konsert berkenaan dapat menghimpunkan peminat dari Brunei, Indonesia dan Malaysia untuk bersama-sama meraikan perjalanan muzik New Boyz.
Tiket ditawarkan pada harga bermula SGD99 bagi kategori Silver, diikuti Gold (SGD149), Platinum (SGD159), Diamond (SGD169) dan VIP (SGD259).
Tiket boleh dibeli menerusi SISTIC, manakala pemegang tiket VIP turut menerima kemudahan termasuk sesi bertemu dan beramah mesra bersama anggota New Boyz, pas VIP eksklusif, lanyard, poster, beg tote serta akses laluan ekspres bagi pemeriksaan barangan dagangan dan tiket.











