KUALA LUMPUR: Pelakon, Siti Khadijah menyifatkan tindakan peminat yang mahu menjodohkannya dengan aktor, Amir Ahnaf selepas digandingkan menerusi drama Cinta Dalam Sekam sebagai perkara lumrah dalam industri hiburan.
Menurut Siti, dia memahami keterujaan peminat melihat keserasian mereka sehingga ada yang berharap hubungan tersebut menjurus kepada lebih dari sebuah persahabatan
“Itu adalah lumrah bagi semua pelakon. Apabila kita membintangi sesebuah drama, pasti akan ada budaya yang suka memadankan pelakon. Sebelum ini pun ada beberapa projek saya yang membuatkan peminat ‘menjodohkan’ saya dengan gandingan lain.
“Bagi saya, apabila sesebuah projek meninggalkan impak dan akhirnya melahirkan sebuah persahabatan, itu yang saya hargai. Mungkin juga keserasian kami terlalu kuat sehingga orang masih bercakap mengenai kami walaupun drama itu sudah lama berakhir.
“Saya sangat bersyukur apabila orang nampak keserasian itu. Saya pun gembira dan selesa berkawan dengan Amir,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Telefilem Takdirnya Cinta terbitan UTV, pada Rabu.
Dalam pada itu, Siti tidak menolak kemungkinan status mereka yang masih bujang menjadi antara faktor peminat begitu kuat mahu menjodohkan mereka.
“Mungkin daripada banyak karya saya, gandingan kali ini antara yang paling kuat peminat ‘jodohkan’. Mungkin kerana kami berdua masih bujang dan faktor usia juga menyebabkan orang suka memadankan kami.
“Sebelum ini pun saya pernah melalui situasi sama menerusi projek lain. Jadi, perkara seperti ini bukan sesuatu yang baharu buat saya. Saya sudah pernah hadapinya sebelum ini,” jelasnya.
Siti bagaimanapun mengakui dia dan Amir terpaksa mengambil keputusan untuk mengurangkan interaksi di media sosial dek kerana tekanan yang diterima dari kalangan peminat.
“Sebenarnya, saya memikirkan keadaan Amir juga. Mungkin dia turut berasa tertekan. Kadang-kadang apabila saya memuat naik gambar, ada yang menanti-nantikan komen Amir.
“Pada masa sama, mungkin Amir pula fikir saya yang tertekan. Jadi, apabila kami berbincang, rupa-rupanya masing-masing mempunyai tekanan yang sama. Sebab itu kami mengambil inisiatif untuk tidak terlalu menunjukkan interaksi di media sosial,” kongsinya.
Mengakui takut dengan situasi tersebut, Siti menasihatkan agar peminat tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi terhadap hubungannya bersama Amir yanh dianggap hanya sekadar berkawan.
“Sebenarnya, saya dengan kawan-kawan memang suka komen hantaran masing-masing dan bergurau. Tetapi kali ini, orang terlalu ‘ship’ sehingga saya sendiri sudah rasa takut.
“Janganlah terlalu berharap kerana kalau tidak menjadi, ‘kapal’ itu tidak berlabuh, nanti orang pula yang sedih,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Siti kini digandingkan bersama pelakon, Zul Ariffin dan Muhsin Nadzli menerusi Telefilem Takdirnya Cinta yang disiarkan di platform penstriman digital UTV.










