KUANTAN: Penyanyi popular, Khai Bahar bakal menghangatkan Karnival Kerjaya Pahang 1st apabila tampil menghiburkan pengunjung menerusi Mini Konsert Khai Bahar & Haqiem Rusli di Kompleks Belia dan Sukan Kuantan, 26 September ini.
Lebih daripada 500 peluang pekerjaan disediakan menerusi sesi temu duga terbuka yang dianjurkan sepanjang karnival berkenaan, sekali gus memberi peluang kepada pencari kerja untuk bertemu secara langsung dengan majikan daripada pelbagai sektor.
Khai berkata, penganjuran karnival kerjaya seumpama itu merupakan satu usaha murni dalam membantu masyarakat mendapatkan pendedahan dan pengetahuan berkaitan dunia pekerjaan.
“Karnival kerjaya merupakan satu usaha murni kerajaan Pahang dalam membantu rakyat Malaysia dengan cara memberi pendedahan dan ilmu dalam mengejar kerjaya yang diimpikan oleh seseorang.
“Pelbagai ruang kerjaya untuk rakyat Pahang bertemu terus dengan majikan daripada pelbagai sektor seperti perkilangan, perkhidmatan, perhotelan, pembinaan, teknologi dan keusahawanan,” katanya.
Menurut Khai, dia berbesar hati apabila diberi peluang untuk turut serta memeriahkan program yang bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, malah menawarkan ruang hiburan kepada masyarakat.
“Khai berasa sangat berbesar hati diberi peluang hadir bersama-sama memeriahkan sebuah karnival yang membuka peluang lebih daripada 500 peluang pekerjaan, sambil dapat menghiburkan para tetamu yang hadir,” katanya.
Selain peluang pekerjaan, Karnival Kerjaya Pahang 1st turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik secara percuma untuk pengunjung termasuk Fun Run, Netball 3 On 3, e-Sport serta Supa Dupa Kanak-Kanak.
Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menerusi cabutan bertuah bernilai RM20,000 yang menawarkan hadiah antaranya motosikal, Smart TV dan jongkong emas.
Dalam pada itu, Khai ketika diminta mengulas mengenai nasihat kepada golongan yang sedang mencari pekerjaan berkata, setiap tawaran perlu dipertimbangkan berdasarkan keadaan serta perancangan masing-masing.
“Nasihat Khai agar orang ramai dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bersesuaian dengan keadaan semasa masing-masing dalam jangka masa terdekat dan jangka masa panjang ke hadapan.
“Semoga impian semua menjadi kenyataan,” katanya.
Karnival berkenaan bukan sahaja menjadi platform kepada pencari kerja untuk berinteraksi secara terus dengan majikan, malah menyediakan ruang untuk orang ramai beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga.
Kemunculan Khai Bahar dan Haqiem Rusli dijangka menjadi antara tarikan utama Karnival Kerjaya Pahang 1st yang berlangsung pada 26 September ini.











