SIAPA sangka, pelakon, Meerqeen, mempunyai sebab peribadi untuk akhirnya terlibat dalam naskhah horor, unsur sihir dan supernatural dalam siri Dia Perempuan Sialan. Bahkan sebelum ini, Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam pernah berkata tidak mahu berlakon cerita berunsur seram sehingga adiknya mencecah usia 10 tahun.
Selain tidak mahu adiknya berasa takut, Meerqeen mendedahkan bahawa dia menyimpan trauma masa kecil apabila pernah menyaksikan keluarganya diuji dengan kejadian mistik. Oleh itu, penglibatannya dalam naskhah ini bukanlah untuk mengejar rating sebaliknya ‘berhadapan’ dengan peristiwa masa silam yang menghantuinya.
“Mungkin cerita berunsur sihir lebih mudah diterima sebab ini apa yang orang mahukan, kita pasti akan melihat rating dan mahukan cerita diterima orang.
“Tapi untuk saya, bukan itu sebabnya. Watak Syawal ini saya ambil untuk saya atasi rasa takut dalam diri. Sebenarnya ada kejadian mistik yang pernah berlaku dalam keluarga saya yang buatkan saya trauma sejak zaman sekolah lagi.
“Tapi saya tak nak ulas lanjut sebab saya tak nak campurkan urusan keluarga dengan cerita ini. Cuma itu menjadi salah satu sebab kenapa saya mahu terlibat dalam naskhah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun karakter Syawal digambarkan sebagai lelaki yang tidak mempercayai kuasa ghaib, Meerqeen bagaimanapun bertentangan dengan karakter yang dimainkannya bahkan pernah berhadapan dengan peristiwa menyeramkan apabila terdengar namanya dipanggil entiti tidak dikenali.
“Saya percaya kewujudan benda ghaib. Pengalaman mistik atau gangguan mistik secara terus itu saya tak ada. Mungkin ada, tapi tak terlampau ekstrem sangat. Setakat orang panggil nama saya saja. Dekat set penggambaran, tak tahu nak cakap kena kacau ke tidak sebab kami semua seronok berlakon cerita ini. Selepas pengarah kata ‘cut’, kami semua gelak-gelak saja untuk hilangkan rasa seram itu. Tapi bila tiba babak seram, memang rasa seramlah sebab set pun sunyi.
“Lokasi rumah itu pun ada aura yang saya rasa agak ‘dark’. Tapi keserasian antara semua pelakon sangat baik, jadi kita seronok saja,” katanya.

Ditanya mengenai respons adik bongsunya, Shaqeel Shauqeen, penerima trofi Selebriti Tergempak 2025, Gempak Most Wanted itu ketawa apabila berkongsi adiknya sering menyakatnya di rumah.
“Saya sangat sayangkan adik lelaki saya jadi saya tak naklah ada benda ikut kacau dia ke apa. Tapi setakat ini okey saja. Adik saya pun selalu menyakat saya kadang dia jerit ‘Abang, hantu!’. Dia memang suka bergurau. Bilik saya dekat atas, dia di bawah. Kadang dia jerit ‘belakang abang ada Pocong’. Sedangkan tak ada apapun sebenarnya.
“Memang sebelum ini saya tidak mahu buat cerita hantu sebab dia,” katanya.
Pertama kali bekerjasama dengan Caitlin Halderman
Drama bersiri ini juga menjadi istimewa apabila turut menampilkan aktres Indonesia, Caitlin Halderman yang memegang watak sebagai Riska, orang gaji keluarga Riska. Bercerita mengenai keserasian bersama Caitlin, Meerqeen menyifatkan bintang negara seberang itu sangat merendah diri malah mempunyai budaya kerja yang bagus sepanjang penggambaran.
“Berlakon dengan Caitlin sangat baik, dia bukan seorang sombong walaupun namanya sudah terkenal di Indonesia. Apa yang pengarah suruh, dia akan buat tanpa membantah.
“Sesetengah pelakon yang popular sepertinya mungkin tidak akan buat macam apa yang dilakukan Caitlin dalam drama ini. Kalau disuruh tukar baju di kawasan perhentian bas pun dia akan okay sahaja. Sangat mudah bekerjasama dengannya,” katanya.
Drama Dia Perempuan Sialan atau judul antarabangsanya The Hidden Hand mengisahkan kejadian misteri membabitkan sebuah keluarga dengan unsur supernatural, thriller akibat dendam.
Turut sama menjayakan naskhah ini ialah Hannah Delisha, bersama Datin Sri Umie Aida, Nadia Aqilah, Farah Ahmad dan Amerul Affendi.











